Monday, August 16, 2010

B-Retail giat usaha kembang operasi

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/08/17
BERJAYA Retail Bhd (B-Retail), syarikat yang menjadi entiti penyenaraian bagi Singer (Malaysia) Sdn Bhd dan 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd akan giat melaksanakan pelan pengembangannya tahun ini menerusi pembukaan cawangan baru kedua-dua cabang perniagaannya itu.

Anak syarikat Berjaya Corporation Bhd (BCorp) itu merancang menambah kira-kira 100 francaisi baru kedai serbaneka 7-Eleven serta sehingga 20 cawangan kedai Singer baru tahun ini.
Pengarah Eksekutif 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Ng Su Onn, berkata kumpulan yang ketika ini mempunyai 1,127 cawangan 7-Eleven di seluruh negara dengan 58 dikendalikan francaisi akan menjadikan program francais sebagai pelan pengembangannya untuk tahun ini. Beliau berkata, perbelanjaan modal bagi setiap cawangan 7-Eleven ialah antara RM200,000 hingga RM250,000 dengan separuh daripada cawangan baru berkenaan akan dibuka di Lembah Klang.

“Rancangan pengembangan bergantung kepada permintaan, justeru, selagi ada permintaan daripada khalayak maka kami akan memenuhinya,” katanya selepas majlis penyenaraian B-Retail di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam.

Hadir sama, Pengerusi B-Retail, Tan Sri Tan Kok Ping dan Pengarah Urusan Singer (Malaysia), Yeap Dein Wah.

B-Retail membuat kemunculan sulung yang baik di Bursa Malaysia apabila urus niaga sahamnya dibuka pada dua peratus lebih tinggi pada 51.5 sen berbanding harga tawarannya, 50 sen untuk mencatatkan premium 1.5 sen.
Pada jam 5 petang, saham B-Retail ditutup sama dengan harga tawaran 50 sen dan ia muncul saham paling aktif didagangkan, menyaksikan sebanyak 61.157 juta saham bertukar tangan.

Mengenai kemungkinan kerjasama sinergi antara 7-Eleven dan Singer, Ng berkata kedua-dua syarikat mempunyai segmen pasaran runcit yang berbeza dari segi operasi perniagaan dan pelanggan.

“Bagaimanapun, memandangkan gedung 7-Eleven di luar negara boleh melaksanakan pembayaran bil, satu kemungkinan yang mungkin boleh dilaksanakan ialah kutipan bil untuk rangkaian barangan Singer.

“Kami perlu membuat pelaburan besar dalam sistem gedung 7-Eleven bagi membolehkannya menjadi kenyataan. Jika sistem itu sudah disediakan, maka kami akan mempertimbangkan kerjasama seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Yeap berkata, selain rancangan untuk membuka cawangan baru, kumpulan turut merancang untuk memoden dan menaik taraf semua 561 cawangan kedai Singer di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment