Wednesday, August 18, 2010

Mydin rancang tambah 41 cawangan

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/08/19
MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin), merancang membuka 41 lagi pasar raya besar dan beberapa pasar raya mini Mydin di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini membabitkan nilai pembangunan kasar kira-kira RM1.6 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pembukaan cawangan berkenaan akan membantu Mydin memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri peruncitan di negara ini.
Kami merancang meluaskan lagi rangkaian pasar raya besar Mydin dan pasar raya mini dalam tempoh dua tahun ini sebagai usaha membantu dan memberi peluang usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera memasarkan produk keluaran mereka. Kini kami sudah membeli 14 bidang tanah bernilai RM165 juta di beberapa lokasi utama di seluruh negara bagi tujuan pembinaan cawangan baru Mydin itu, katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Komuniti AmBank-MyKasih di Pasar Raya Mydin USJ Subang Jaya, semalam.

Mydin kini beroperasi dengan 57 cawangan termasuk empat pasar raya besar, 18 emporium, 24 pasar raya mini (MyMYDIN), tiga kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam (My Mart) dan selebihnya enam kedai francais Mydin Mart.

Ameer Ali, antara lokasi utama yang bakal dibina cawangan baru Mydin termasuk di Kuching, Kota Kinabalu, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Kota Bharu, Kuantan, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Seremban dan Kajang.

Kami kini sedang mengkaji beberapa pilihan untuk membiayai pelan perkembangan ini yang mana antara lain termasuk menggunakan dana dalaman syarikat, menerusi pinjaman bank atau bina dan pajak, katanya.
Mengenai prospek jualan tahun ini, Ameer Ali berkata, pihaknya mengunjurkan jualan meningkat kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.35 bilion tahun lalu.

Katanya, unjuran pertumbuhan jualan itu dibuat sejajar peningkatan aliran pertumbuhan ekonomi domestik yang menyaksikan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna.

Beliau menambah, operasi perniagaan Mydin di Lembah Klang terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan jualan syarikat, disusuli operasi perniagaan di Melaka.

Bagi menyemarakkan lagi jualan produk PKS, Ameer Ali berkata, Mydin akan menggiatkan kempen termasuk menyediakan ruang pameran khas bagi menempatkan produk PKS di semua premisnya di seluruh negara.

Setakat ini, kami berpuas hati dengan produk PKS yang menepati kriteria tetapi PKS mesti memikirkan produk lain yang diperlukan pasaran, katanya sambil menggesa peserta PKS untuk mempelbagaikan hasil keluaran produk mereka dengan menceburi pengeluaran kraftangan, pakaian dan aksesori dan tidak hanya menumpukan kepada produk hasil makanan.

No comments:

Post a Comment