Monday, December 20, 2010

Labur RM500j tambah 4 hospital

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2010/12/21
Pusat perubatan KPJ Healthcare bakal ada 24 seluruh negara

KPJ Healthcare Bhd, kumpulan penjagaan kesihatan terbesar negara, akan membuka empat lagi hospital baru di negara ini dengan jumlah pelaburan sehingga RM500 juta. Pengarah Urusan (KPJ Healthcare), Datin Paduka Siti Sadiah Sheikh Bakir, berkata penambahan itu akan menjadikan keseluruhan rangkaian pusat perubatan KPJ Healthcare sebanyak 24 unit berbanding hanya 20 sekarang. Katanya, empat pusat perubatan baru yang kini dalam proses pembinaan ialah di Bandar Baru Klang yang dijangka dibuka tahun depan, manakala tiga lagi iaitu Pasir Gudang dan Muar di Johor serta Sabah, bakal siap menjelang 2012.

“Pada dasarnya KPJ Healthcare merancang membuka banyak lagi pusat perubatan bagi membolehkan rakyat negara ini menikmati kemudahan kesihatan sewajarnya dan Kementerian Kesihatan meluluskannya.

“Kos untuk pembinaan pusat perubatan baru di Sabah membabitkan hampir RM200 juta; Bandar Baru Klang (RM100 juta); Pasir Gudang (antara RM70 juta hingga RM90 juta) dan Muar (RM70 juta),” katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian anugerah persijilan akreditasi Malaysia bagi Kualiti Kesihatan (MSQH) kepada pusat perubatan bawah KPJ Healthcare iaitu Perdana Specialist Hospital Kota Bharu.
Pada majlis sama, hospital itu juga diberi nama baru iaitu KPJ Perdana Specialist Hospital.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perubatan, Jabatan Kesihatan negeri, Dr Azman Yaacob; Ketua Penilai MSQH, Dr Mary Abraham dan Pengerusi KPJ Perdana Specialist Hospital, Aminudin Dawan.

Siti Sadiah berkata, pembinaan rangkaian pusat perubatan di seluruh negara ini juga membolehkan kumpulan itu memantapkan lagi pembabitannya dalam bidang pelancongan kesihatan memandangkan hospital yang dibangunkan itu adalah bersempadan dengan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment