Tuesday, December 14, 2010

Lonjak jualan Panabiz

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/12/15
Panasonic sasar tingkat sumbangan pengedaran 15 peratus

PANASONIC Malaysia Sdn Bhd, menyasarkan meningkatkan sumbangan jualan rangkaian rakan niaganya, Panabiz kepada lebih 15 peratus tahun depan daripada 10 peratus ketika ini. Pengarah Urusannya, Jeff Lee, berkata Panabiz adalah rakan niaga yang mengkhusus kepada pengedaran produk perniagaan bersepadu Panasonic bagi pelbagai sektor meliputi korporat, komersial dan kewangan. Katanya, Panasonic telah mewujudkan 15 rangkaian Panabiz yang pakar dalam penyelesaian produk perniagaan dari Jepun itu sejak diperkenalkan awal tahun lalu.

“Kami merancang meningkatkan cawangan Panabiz tahun depan, tetapi kami perlu memastikan hanya syarikat berpotensi dan berdaya saing menjadi rakan niaga kami.

“Kami menyasarkan meningkatkan sumbangan jualan Panabiz kepada 15 peratus tahun depan, daripada hanya 10 peratus ketika ini,” katanya kepada Berita Harian selepas majlis perasmian ibu pejabat dan bilik pameran Panasonic baru yang dimiliki oleh Tamico Bell Holdings Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor semalam.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran Tamico Bell, Yap Ming Sin dan Pengarah Kewangannya, Wan Tuck Choy.
Beliau berkata, bilik pameran terbaru itu yang mengguna pakai konsep eko dan akan disusuli penggunaan sistem solar tahun depan, akan diperluaskan ke semua rangkaian Panabiz secara berperingkat.

“Bilik pameran terbaru ini menunjukkan usaha berterusan Panasonic menerusi perkongsian perniagaan dengan rakan niaga dalam membawa peningkatan teknologi kepada pelanggan perniagaan dan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Yap berkata, syarikat melabur kira-kira RM10 juta bagi membangunkan ibu pejabat dan bilik pameran yang ditempatkan dalam bangunan seluas 20,000 meter persegi di Temasya Industrial Park U1, Shah Alam.

Katanya, bilik pameran yang direka berdasarkan ciri digital berkonsepkan eko itu memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat, mengalami dan berinteraksi dengan rangkaian produk menyeluruh Panasonic dalam persekitaran sebenar.

Pelanggan juga, katanya, dapat menikmati pengalaman dinamik menerusi tiga kategori produk diketengahkan iaitu penyelesaian sistem perniagaan bersepadu, produk audio visual dan perkakasan rumah.

Dalam pada itu, katanya Tamico Bell yang menyediakan kepakaran dalam bidang telekomunikasi dan khidmat pakar keselamatan menyasarkan jualan RM80 juta tahun depan daripada RM50 juta tahun ini

No comments:

Post a Comment