Sunday, December 26, 2010

Tony sedia pertimbang jual F1 Team Lotus

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/27

Pemilik utama mahu selesai pertikaian dengan PROTON

DATUK Seri Tony Fernandes, pemilik utama pasukan Formula Satu (F1) Team Lotus, sedia mempertimbangkan penjualan pasukan itu kepada PROTON Holdings Bhd, pemilik pengeluar kenderaan Group Lotus Plc, jika pengeluar kereta nasional itu bersetuju 'membeli pada harga yang wajar'. Sumber rapat tokoh perniagaan itu berkata, hasrat penjualan Team Lotus yang dulunya dikenali sebagai Lotus Racing itu, bukan bertujuan mengaut keuntungan, tetapi bagi memastikan kemelut perebutan hak penggunaan nama Lotus, dapat diselesaikan dengan segera. “Masyarakat umumnya mengetahui Tony membeli Team Lotus serta hak penggunaan namanya daripada David Hunt yang memiliki nama dan pasukan lumba itu, secara sah.

“Pembelian itu bertujuan melindungi pelaburan Tony dan rakan perniagaannya selepas mengetahui Group Lotus ingin menamatkan kontrak pelesenan lima tahunnya bersama pasukan F1 pertama Malaysia itu hanya disebabkan beberapa alasan tidak munasabah,” kata kepada Berita Harian ketika ditemui di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Namun begitu, jelasnya, berlaku salah faham ‘yang serius’ oleh pengurusan Proton dan beberapa pihak lain yang menganggap Team Lotus turut berada di bawah Group Lotus.

“Perkara ini jika berpanjangan akan merugikan banyak pihak termasuk industri automotif dan sukan permotoran negara. Justeru, bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara adil, Tony kini sedang mempertimbangkan penjualan Team Lotus kepada PROTON ‘dengan harga sepatutnya’,” katanya.
Tony bersama dua lagi rakan perniagaannya, sebelum ini membeli Lotus Racing daripada Team Lotus Venterus Ltd (TLV), pemegang hak sukan dan jenama permotoran F1 Lotus, iaitu pasukan yang dibangunkan oleh David Chapman, pada September lalu.

Dua lagi pemiliknya ketika ini ialah Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamaruddin Meranun; dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Tiga tokoh perniagaan itu, kemudiaan menukar pasukan Lotus Racing kepada Team Lotus bagi perlumbaan musim baru F1 2011.

Pertikaian berhubung hak penggunaan jenama Lotus itu kini sedang didengar di Mahkamah Tinggi United Kingdom.

Pengerusi Proton, Datuk Nadzmi Salleh, mengeluarkan kenyataan tidak akan membenarkan pasukan Lotus Racing menggunakan nama Lotus untuk berlumba pada musim 2011 memandangkan PROTON adalah pemilik jenama Lotus, dan akan menghalang penggunaan nama itu tanpa kebenaran serta menyekat penajaan.

Pertikaian perebutan hak penggunaan nama Lotus itu bukan baru kerana sebelum Group Lotus, sebelum dibeli PROTON, pernah mencabar hak penggunaan nama Lotus yang dimiliki TLV itu di mahkamah sejak 1996, namun gagal.

Lotus Racing, kata sumber, adalah entiti asing yang dikendali dan diuruskan oleh pihak pengurusan dan pemilik berbeza yang lengkap dengan logo korporat yang berlainan.

No comments:

Post a Comment