Tuesday, December 21, 2010

Maxwell mahu bina kilang baru di China

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2010/12/22
MAXWELL International Holdings Bhd, pengeluar dan pereka kasut sukan untuk jenama terkemuka global seperti Kappa, Diadora, Brooks dan FILA yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia bulan depan, bercadang membina kilang baru di Jinjiang, daerah Fujian China.

Ia katanya, bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran sebanyak sekali ganda kepada 16 juta pasang kasut setahun. Pengerusi Eksekutifnya, Jenny Li Kwai Chun, berkata kerja awal pembinaan kilang bernilai RM37.5 juta itu sudah bermula dan ia dijadualkan siap pada 2012. “Empat barisan pengeluaran baru akan ditempatkan di kilang baru itu berbanding empat barisan pengeluaran sedia ada dengan keupayaan mengeluarkan lapan juta pasang kasut setahun ketika ini.

“Peningkatan keupayaan pengeluaran itu sekali gus membolehkan kami berkembang dalam persekitaran amat kompetitif pada masa depan,” katanya pada majlis pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan di Kuala Lumpur, semalam.

Maxwell International adalah syarikat pegangan pelaburan berpangkalan di Fujian, China. Ia menerusi anak syarikat milik penuhnya, Zhenxung Shoes, adalah pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pengeluar reka bentuk tulen (ODM) kasut sukan yang kebanyakannya untuk pasaran eksport.

Kwai Chun berkata, kos pembinaan kilang baru itu akan dibiayai dana dalaman kumpulan dan pinjaman bank.
Beliau berkata, sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Januari ini, Maxwell International membuat IPO sebanyak 63.75 juta saham biasa baru bernilai 40 sen sesaham yang ditawarkan pada harga 54 sen seunit.

Daripada jumlah itu, 20 juta diperuntukkan bagi langganan awam, manakala baki adalah tawaran persendirian, katanya.

Beliau berkata, pihaknya mensasar menjana RM34.425 juta daripada IPO berkenaan dengan RM12 juta daripadanya akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baru, meningkatkan usaha pembangunan reka bentuk (RM6 juta), modal kerja (RM9.675 juta), dan baki perbelanjaan penyenaraian.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan segmen pembangunan reka bentuknya untuk kekal kompetitif, kumpulan itu katanya, bercadang meningkatkan reka bentuk produk daripada purata semasa 1,000 setahun kepada 1,500 setahun.

Ditanya sama ada kumpulan itu bercadang mengembangkan operasi perniagaannya di negara ini, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan sedemikian buat masa ini.

Sebanyak empat syarikat China sudah disenarai di Bursa Malaysia setakat ini - Xingquan International Sports Holdings Ltd, Multi Sports Holdings Ltd, XiDeLang Holdings Ltd dan K-Star Sports Ltd.

OSK Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja jamin dan ejen tawaran bagi IPO berkenaan.

No comments:

Post a Comment