Monday, December 20, 2010

MAS susun semula penerbangan, operasi di India

2010/12/21
PENERBANGAN Malaysia (MAS) akan menyusun semula penerbangan dan operasinya di India bagi mencapai sasaran pertumbuhan penumpang antara 30 hingga 40 peratus pada tahun depan di negara itu.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS bagi Asia Selatan, Azahar Hamid, berkata sebelum ini operasi syarikat penerbangan itu di India agak terjejas susulan kelembapan berikutan krisis kewangan global. Bagaimanapun, situasi kembali pulih tahun ini apabila faktor muatan syarikat itu di India kembali meningkat mencecah 80 hingga 90 peratus sejak Januari lalu dan pesawatnya hampir penuh setiap hari dari lapangan terbang utama negara itu. “Tahun depan, kami sasar kadar pertumbuhan muatan 30 hingga 40 peratus. Kami catat prestasi sangat kukuh di India. Berdasarkan kepada unjuran pasaran kami, trafik keluar dari India sangat kukuh dan positif,” katanya di New Dehli, semalam.

Syarikat penerbangan nasional itu terbang ke lima bandar raya utama India iaitu Bangalore, Chennai, Delhi, Hyderabad dan Mumbai.

Sebagai sebahagian daripada strategi 2011 di India, MAS akan menyusun semula kekerapannya ke destinasi berkenaan.

MAS akan memulakan dua penerbangan harian berbanding satu perkhidmatan penerbangan harian ke Chennai iaitu pintu masuk utama ke Malaysia.
Ia akan memperkenalkan penerbangan pagi setiap hari ke Delhi bermula April, peningkatan daripada perkhidmatan mingguan lima hari kini.

Ia juga adalah tambahan kepada penerbangan malam setiap hari yang sedia ada.
MAS juga akan menyediakan penerbangan setiap hari dari Bangalore dan Hyderabad ke Malaysia pada 2011.

No comments:

Post a Comment