Wednesday, December 29, 2010

Nasim bawa masuk Peugeot 308 CC

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/12/30


308 CC bakal mengukuhkan lagi jenama Peugeot dalam segmen coupe cabriolet tempatan.Model kereta sport convertible dua pintu berada dalam pasaran 6 Januari

NASIM Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia akan membuka tirai 2011 dengan melancarkan model 308 CC baru pada 6 Januari ini. Ketua Eksekutifnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, berkata model convertible dua pintu itu adalah yang pertama daripada tiga model baru yang akan dilancarkan syarikat itu tahun depan. Beliau berkata, 308 CC baru dengan reka bentuk bergaya dan sporty serta ciri mewah dan teknologi termaju itu, bakal mengukuhkan lagi jenama Peugeot dalam segmen coupe cabriolet tempatan.

“Model coupe cabriolet kami sebelum ini, 207 CC adalah peneraju pasaran dalam segmennya dan kami percaya 308 CC baru ini juga akan popular dalam segmen pasaran khusus ini.

“Peugeot adalah pengeluar kereta pertama memperkenalkan model coupe cabriolet menerusi 401 pada 1930an dan 308 CC baru ini akan mengukuhkan kedudukan Peugeot sebagai peneraju pasaran dalam segmen itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Peugeot 308 CC baru itu akan ditawarkan pada harga pengenalan RM200,000. Kereta itu akan turut serta dalam pameran bergerak Nasim yang akan diadakan di Pusat Beli-Belah Bangsar pada 7 hingga 9 Januari ini.
Model itu menggambarkan falsafah Peugeot iaitu ‘Gerakan dan Emosi’ dengan penekanan kukuh terhadap reka bentuk, teknologi dan meletakkan emosi di tengah-tengah pengalaman permotoran.

308 CC baru itu menampilkan gaya sporty di bahagian luaran menerusi lampu utama xenon, lampu belakang LED, rim aloi 18-inci dan reka bentuk ‘diffuser’ belakang berkembar.

Di bahagian dalamnya, 308 CC menampilkan kemasan kulit mewah yang dipadankan dengan gaya model cabriolet berprestij, skrin resolusi tinggi 7 inci boleh lipat, sistem Hi-Fi JBL, penyaman udara dua zon serta kerusi kulit elektrik premium di bahagian depan yang dilengkapi funsi memori untuk kerusi sebelah pemandu.

Ia dilengkapi bumbung lipat elektrik dua bahagian yang hanya mengambil masa 20 saat untuk dilipat sepenuhnya bagi menjadikannya sebuah model coupe dinamik atau cabriolet yang menawan.

Aspek keselamatan juga adalah ciri utama 308 CC yang mana model itu dilengkapi enam beg udara serta beg udara bahagian tepi kepala pertama di dunia.

Model itu dijana enjin petrol suntikan terus turbo tekanan tinggi Peugeot yang berupaya menghasilkan 156 kuasa kuda dan 240 Nm daya kilasan yang dilengkapi sistem transmisi enam kelajuan dengan ciri tiptronik dan sport.

No comments:

Post a Comment