Thursday, December 23, 2010

Lolipop buka kilang di Malaysia

Oleh Che Wan Badrul Alias

2010/12/24
Syarikat Turki labur RM31.3 juta kembang perniagaan rantau Asia

DURUKAN Confectionery Inc, syarikat pengeluar gula-gula Durukan Lolipop yang berpangkalan di Turki, akan membuka kilang pengeluarannya di Malaysia bernilai AS$10 juta (RM31.3 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong pelan pengembangan di rantau ini.

Apabila terlaksana kelak, kilang pengeluaran itu akan diuruskan Venture Distribution Sdn Bhd, pemegang hak eksklusif pengedaran jenama Durukan di Malaysia, Brunei dan Singapura ketika ini. Pengarah Komersial Venture Distribution, Kevin Jesudass, berkata ia adalah sebahagian rancangan jangka panjang dalam pelan pengembangan produk Durukan di rantau ini yang kini pesat berkembang. Katanya, pihak pengeluar sudah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukkan bagi membina sebuah kilang dengan kos anggaran AS$10 juta (RM31.3 juta) bagi menyokong dan meningkatkan pengeluaran serta pengedaran produk ke beberapa negara serantau.

Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk dijadikan hab pengedaran serantau, namun sebelum rancangan pembinaan kilang terlaksana kami perlu terlebih dulu mengukuhkan jenama Durukan di pasaran tempatan, Singapura dan Brunei.

Mereka mahu membuka kilang di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun, mereka amat berminat untuk membukanya di sini bagi menyokong pengedaran produk di rantau ini serta untuk pasaran Afrika Selatan, katanya kepada media selepas Pelancaran Gula-Gula Durukan di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu dihadiri Ketua Eksekutif Kumpulan Haltrex Group Private Limited, Mohd Azul dan Duta Turki, HE Serap Ataay.
Jesudass berkata, syarikat yakin menerusi keupayaan pengedaran dalam negara yang mantap, ia mampu mencapai sasaran pemerolehan pendapatan sekurang-kurangnya AS$3 juta bagi tahun pertama jualan di pasaran domestik.

Katanya, pihaknya merancang untuk meluaskan pasaran gula-gula Durukan Lolipop ke dua lagi negara jiran iaitu Brunei dan Singapura dengan eksport masing-masing bermula minggu depan dan awal Januari tahun depan

No comments:

Post a Comment