Sunday, December 26, 2010

Yamato mahu beroperasi September

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2010/12/27
Syarikat penghantaran bungkusan labur RM686j

YAMATO Holdings Co, antara peneraju aktiviti penghantaran bungkusan Jepun, bercadang untuk operasi di Malaysia menjelang September depan dengan anggaran pelaburan mencecah RM686 juta, dalam usaha meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara. Syarikat yang berpangkalan di Ginza, Tokyo itu kini menguasai sehingga 41 peratus pasaran penghantaran dari pintu ke pintu Jepun dan adalah pesaing rapat kepada Sagawa Express dan Nippon Express. Sumber industri berkata, bagi cadangan beroperasi di Malaysia, ia dilaksanakan menerusi sebuah syarikat perkongsian dikenali sebagai Yamato Transport (M) Sdn Bhd (Yamato Transport).

“Yamato Holdings bakal mengadakan urus niaga kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan bagi penubuhan Yamato Transport.

“Menerusi urus niaga itu Yamato Holdings akan membeli saham baru bernilai kira-kira 1.8 bilion yen (RM686 juta) atau 60 peratus pegangan dalam Yamato Transport.

“Rakan kongsi dari Malaysia yang menguasai baki 40 peratus pegangan dalam Yamato Transport akan mengendali operasinya di negara ini,” katanya kepada Berita Harian tanpa mendedahkan nama dan maklumat terperinci syarikat rakan kongsi dari Malaysia itu.
Bagaimanapun, jelasnya, rakan kongsi dari Malaysia itu, akan membelanjakan kira-kira 300 juta yen (RM11.4 juta) untuk membeli trak dan membina kemudahan bagi penyediaan perkhidmatan penghantaran dalam tahun pertama operasinya.

“Buat masa ini, tak perlulah didedahkan lagi nama syarikat tempatan itu, namun syarikat berkenaan adalah syarikat yang sudah lama menjalankan perniagaan penghantaran bungkusan di negara ini.

“Malaysia akan menjadi negara kelima selain Jepun yang diterokai Yamato Holdings,” katanya.

Buat permulaan, katanya, Yamato Transport akan menubuhkan enam pusat penghantaran di Malaysia dengan sejumlah 30 hingga 40 kenderaan penghantaran serta 30 kakitangan.

Sumber berkata, Yamato Holdings bercadang menawarkan Malaysia perkhidmatan yang hampir sama seperti ditawarkan di Jepun.

“Di Jepun, Yamato Holdings menyediakan perkhidmatan yang membolehkan pelanggannya menetapkan tarikh dan masa penghantaran dari rumah, pejabat, hotel, lapangan terbang dan sebagainya.

“Syarikat itu yakin pasaran di Malaysia akan berkembang selaras peningkatan pendapatan penduduknya, justeru meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatannya,” katanya.

Selain Malaysia, Yamato Holdings juga bercadang memulakan operasinya di Hong Kong pada Februari ini, diikuti Thailand dan Indonesia pada awal 2012

No comments:

Post a Comment