Thursday, December 30, 2010

6 pasar raya besar Giant dibuka 2011

2010/12/31
GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd akan membuka enam lagi cawangan pasar raya besar Giant tahun depan bagi mengukuhkan lagi penguasaan dalam pasaran runcit tempatan.

Ketua Pegawai Operasinya, Tom Herriott, berkata cawangan baru itu akan dibuka secara berperingkat, dengan dua cawangan di Kuala Lumpur dan bakinya di beberapa kawasan di negeri Pantai Timur. “Kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan bagi mengembangkan konsep runcit moden kepada orang ramai dan pada masa sama, memberi lebih banyak kemudahan kepada orang ramai di bawah satu bumbung. “Giant yang sinomin dengan slogan ‘Harga Rendah Setiap Hari, Pelbagai Pilihan dan Nilai Hebat’ ketika ini mempunyai kira-kira 144 cawangan termasuk yang terbaru di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembu-kaan Giant Lukut, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib serta Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ho Mun Hao.

Giant cawangan Lukut berkeluasan kira-kira 4,000 meter persegi itu mampu memuatkan pelbagai rangkaian produk terdiri daripada makanan segar, barang keperluan asas, barang elektrik dan pakaian.

Pasar raya besar berkenaan yang dibina dengan kos lebih RM48 juta, menempatkan kira-kira 55 kedai menjual pelbagai barangan seperti butik pakaian, kasut, produk telekomunikasi, farmasi dan restoran.
Herriott berkata, kira-kira 80 peratus daripada lebih 90,000 produk yang dijual di pasar raya berkenaan terdiri daripada produk tempatan dan bakinya diimport dari pelbagai negara.

“Kami menawarkan lebih banyak produk tempatan kerana mahu memberi peluang kepada usahawan tempatan mengembang dan memperkenalkan produk mereka di pasar raya ini,” katanya

Wednesday, December 29, 2010

Nasim bawa masuk Peugeot 308 CC

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/12/30


308 CC bakal mengukuhkan lagi jenama Peugeot dalam segmen coupe cabriolet tempatan.Model kereta sport convertible dua pintu berada dalam pasaran 6 Januari

NASIM Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia akan membuka tirai 2011 dengan melancarkan model 308 CC baru pada 6 Januari ini. Ketua Eksekutifnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, berkata model convertible dua pintu itu adalah yang pertama daripada tiga model baru yang akan dilancarkan syarikat itu tahun depan. Beliau berkata, 308 CC baru dengan reka bentuk bergaya dan sporty serta ciri mewah dan teknologi termaju itu, bakal mengukuhkan lagi jenama Peugeot dalam segmen coupe cabriolet tempatan.

“Model coupe cabriolet kami sebelum ini, 207 CC adalah peneraju pasaran dalam segmennya dan kami percaya 308 CC baru ini juga akan popular dalam segmen pasaran khusus ini.

“Peugeot adalah pengeluar kereta pertama memperkenalkan model coupe cabriolet menerusi 401 pada 1930an dan 308 CC baru ini akan mengukuhkan kedudukan Peugeot sebagai peneraju pasaran dalam segmen itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Peugeot 308 CC baru itu akan ditawarkan pada harga pengenalan RM200,000. Kereta itu akan turut serta dalam pameran bergerak Nasim yang akan diadakan di Pusat Beli-Belah Bangsar pada 7 hingga 9 Januari ini.
Model itu menggambarkan falsafah Peugeot iaitu ‘Gerakan dan Emosi’ dengan penekanan kukuh terhadap reka bentuk, teknologi dan meletakkan emosi di tengah-tengah pengalaman permotoran.

308 CC baru itu menampilkan gaya sporty di bahagian luaran menerusi lampu utama xenon, lampu belakang LED, rim aloi 18-inci dan reka bentuk ‘diffuser’ belakang berkembar.

Di bahagian dalamnya, 308 CC menampilkan kemasan kulit mewah yang dipadankan dengan gaya model cabriolet berprestij, skrin resolusi tinggi 7 inci boleh lipat, sistem Hi-Fi JBL, penyaman udara dua zon serta kerusi kulit elektrik premium di bahagian depan yang dilengkapi funsi memori untuk kerusi sebelah pemandu.

Ia dilengkapi bumbung lipat elektrik dua bahagian yang hanya mengambil masa 20 saat untuk dilipat sepenuhnya bagi menjadikannya sebuah model coupe dinamik atau cabriolet yang menawan.

Aspek keselamatan juga adalah ciri utama 308 CC yang mana model itu dilengkapi enam beg udara serta beg udara bahagian tepi kepala pertama di dunia.

Model itu dijana enjin petrol suntikan terus turbo tekanan tinggi Peugeot yang berupaya menghasilkan 156 kuasa kuda dan 240 Nm daya kilasan yang dilengkapi sistem transmisi enam kelajuan dengan ciri tiptronik dan sport.

Sunday, December 26, 2010

Yamato mahu beroperasi September

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2010/12/27
Syarikat penghantaran bungkusan labur RM686j

YAMATO Holdings Co, antara peneraju aktiviti penghantaran bungkusan Jepun, bercadang untuk operasi di Malaysia menjelang September depan dengan anggaran pelaburan mencecah RM686 juta, dalam usaha meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara. Syarikat yang berpangkalan di Ginza, Tokyo itu kini menguasai sehingga 41 peratus pasaran penghantaran dari pintu ke pintu Jepun dan adalah pesaing rapat kepada Sagawa Express dan Nippon Express. Sumber industri berkata, bagi cadangan beroperasi di Malaysia, ia dilaksanakan menerusi sebuah syarikat perkongsian dikenali sebagai Yamato Transport (M) Sdn Bhd (Yamato Transport).

“Yamato Holdings bakal mengadakan urus niaga kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan bagi penubuhan Yamato Transport.

“Menerusi urus niaga itu Yamato Holdings akan membeli saham baru bernilai kira-kira 1.8 bilion yen (RM686 juta) atau 60 peratus pegangan dalam Yamato Transport.

“Rakan kongsi dari Malaysia yang menguasai baki 40 peratus pegangan dalam Yamato Transport akan mengendali operasinya di negara ini,” katanya kepada Berita Harian tanpa mendedahkan nama dan maklumat terperinci syarikat rakan kongsi dari Malaysia itu.
Bagaimanapun, jelasnya, rakan kongsi dari Malaysia itu, akan membelanjakan kira-kira 300 juta yen (RM11.4 juta) untuk membeli trak dan membina kemudahan bagi penyediaan perkhidmatan penghantaran dalam tahun pertama operasinya.

“Buat masa ini, tak perlulah didedahkan lagi nama syarikat tempatan itu, namun syarikat berkenaan adalah syarikat yang sudah lama menjalankan perniagaan penghantaran bungkusan di negara ini.

“Malaysia akan menjadi negara kelima selain Jepun yang diterokai Yamato Holdings,” katanya.

Buat permulaan, katanya, Yamato Transport akan menubuhkan enam pusat penghantaran di Malaysia dengan sejumlah 30 hingga 40 kenderaan penghantaran serta 30 kakitangan.

Sumber berkata, Yamato Holdings bercadang menawarkan Malaysia perkhidmatan yang hampir sama seperti ditawarkan di Jepun.

“Di Jepun, Yamato Holdings menyediakan perkhidmatan yang membolehkan pelanggannya menetapkan tarikh dan masa penghantaran dari rumah, pejabat, hotel, lapangan terbang dan sebagainya.

“Syarikat itu yakin pasaran di Malaysia akan berkembang selaras peningkatan pendapatan penduduknya, justeru meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatannya,” katanya.

Selain Malaysia, Yamato Holdings juga bercadang memulakan operasinya di Hong Kong pada Februari ini, diikuti Thailand dan Indonesia pada awal 2012

Hotel Lost World of Tambun hampir siap

2010/12/27
HOTEL Lost World (LWH) yang kini pada peringkat akhir pembinaan dijangka beroperasi Februari depan bagi memberi kemudahan penginapan kepada pengunjung Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT).

Pengurus Besar Lost World of Tambun, Calvin Ho, berkata taman tema itu menerima pengunjung dengan sebahagian besarnya dari utara tanah air. "Pembinaan hotel empat tingkat itu sedang rancak dijalankan dan ia diharap dapat memudahkan pengunjung untuk menikmati keseronokan ditawarkan taman tema itu. “Hotel berkenaan dijadual beroperasi tidak lama lagi dengan harga penginapan berpatutan," katanya di Ipoh, baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah pengunjung dari dalam dan luar negara ke taman tema itu terus bertambah dan pada tahun ini yang akan berakhir tidak lama lagi, Lost World of Tambun menjangkakan jumlah itu akan mencecah 600,000 orang.

Jumlah kedatangan pengunjung itu melonjak sehingga 25 peratus berbanding kedatangan pengun-jung pada 2009 yang hanya mencatat 500,000 pengunjung, katanya.

“Jumlah ini membuktikan taman tema ini semakin mendapat tempat di hati pelancong," katanya.
Ho berkata, keunikan lokasi taman tema yang berlatarkan bukit batu kapur menjadikannya destinasi digemari untuk percutian keluarga.

“Pada hujung minggu, taman ini terus menjadi tumpuan ramai pengunjung kerana kerana ia menawar-|kan lima tarikan utama seperti taman air, taman pantai, kolam air panas, zoo binatang peliharaan dan taman harimau," katanya. – BERNAMA

Tony sedia pertimbang jual F1 Team Lotus

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/27

Pemilik utama mahu selesai pertikaian dengan PROTON

DATUK Seri Tony Fernandes, pemilik utama pasukan Formula Satu (F1) Team Lotus, sedia mempertimbangkan penjualan pasukan itu kepada PROTON Holdings Bhd, pemilik pengeluar kenderaan Group Lotus Plc, jika pengeluar kereta nasional itu bersetuju 'membeli pada harga yang wajar'. Sumber rapat tokoh perniagaan itu berkata, hasrat penjualan Team Lotus yang dulunya dikenali sebagai Lotus Racing itu, bukan bertujuan mengaut keuntungan, tetapi bagi memastikan kemelut perebutan hak penggunaan nama Lotus, dapat diselesaikan dengan segera. “Masyarakat umumnya mengetahui Tony membeli Team Lotus serta hak penggunaan namanya daripada David Hunt yang memiliki nama dan pasukan lumba itu, secara sah.

“Pembelian itu bertujuan melindungi pelaburan Tony dan rakan perniagaannya selepas mengetahui Group Lotus ingin menamatkan kontrak pelesenan lima tahunnya bersama pasukan F1 pertama Malaysia itu hanya disebabkan beberapa alasan tidak munasabah,” kata kepada Berita Harian ketika ditemui di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Namun begitu, jelasnya, berlaku salah faham ‘yang serius’ oleh pengurusan Proton dan beberapa pihak lain yang menganggap Team Lotus turut berada di bawah Group Lotus.

“Perkara ini jika berpanjangan akan merugikan banyak pihak termasuk industri automotif dan sukan permotoran negara. Justeru, bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara adil, Tony kini sedang mempertimbangkan penjualan Team Lotus kepada PROTON ‘dengan harga sepatutnya’,” katanya.
Tony bersama dua lagi rakan perniagaannya, sebelum ini membeli Lotus Racing daripada Team Lotus Venterus Ltd (TLV), pemegang hak sukan dan jenama permotoran F1 Lotus, iaitu pasukan yang dibangunkan oleh David Chapman, pada September lalu.

Dua lagi pemiliknya ketika ini ialah Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamaruddin Meranun; dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Tiga tokoh perniagaan itu, kemudiaan menukar pasukan Lotus Racing kepada Team Lotus bagi perlumbaan musim baru F1 2011.

Pertikaian berhubung hak penggunaan jenama Lotus itu kini sedang didengar di Mahkamah Tinggi United Kingdom.

Pengerusi Proton, Datuk Nadzmi Salleh, mengeluarkan kenyataan tidak akan membenarkan pasukan Lotus Racing menggunakan nama Lotus untuk berlumba pada musim 2011 memandangkan PROTON adalah pemilik jenama Lotus, dan akan menghalang penggunaan nama itu tanpa kebenaran serta menyekat penajaan.

Pertikaian perebutan hak penggunaan nama Lotus itu bukan baru kerana sebelum Group Lotus, sebelum dibeli PROTON, pernah mencabar hak penggunaan nama Lotus yang dimiliki TLV itu di mahkamah sejak 1996, namun gagal.

Lotus Racing, kata sumber, adalah entiti asing yang dikendali dan diuruskan oleh pihak pengurusan dan pemilik berbeza yang lengkap dengan logo korporat yang berlainan.

Thursday, December 23, 2010

Lolipop buka kilang di Malaysia

Oleh Che Wan Badrul Alias

2010/12/24
Syarikat Turki labur RM31.3 juta kembang perniagaan rantau Asia

DURUKAN Confectionery Inc, syarikat pengeluar gula-gula Durukan Lolipop yang berpangkalan di Turki, akan membuka kilang pengeluarannya di Malaysia bernilai AS$10 juta (RM31.3 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong pelan pengembangan di rantau ini.

Apabila terlaksana kelak, kilang pengeluaran itu akan diuruskan Venture Distribution Sdn Bhd, pemegang hak eksklusif pengedaran jenama Durukan di Malaysia, Brunei dan Singapura ketika ini. Pengarah Komersial Venture Distribution, Kevin Jesudass, berkata ia adalah sebahagian rancangan jangka panjang dalam pelan pengembangan produk Durukan di rantau ini yang kini pesat berkembang. Katanya, pihak pengeluar sudah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukkan bagi membina sebuah kilang dengan kos anggaran AS$10 juta (RM31.3 juta) bagi menyokong dan meningkatkan pengeluaran serta pengedaran produk ke beberapa negara serantau.

Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk dijadikan hab pengedaran serantau, namun sebelum rancangan pembinaan kilang terlaksana kami perlu terlebih dulu mengukuhkan jenama Durukan di pasaran tempatan, Singapura dan Brunei.

Mereka mahu membuka kilang di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun, mereka amat berminat untuk membukanya di sini bagi menyokong pengedaran produk di rantau ini serta untuk pasaran Afrika Selatan, katanya kepada media selepas Pelancaran Gula-Gula Durukan di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu dihadiri Ketua Eksekutif Kumpulan Haltrex Group Private Limited, Mohd Azul dan Duta Turki, HE Serap Ataay.
Jesudass berkata, syarikat yakin menerusi keupayaan pengedaran dalam negara yang mantap, ia mampu mencapai sasaran pemerolehan pendapatan sekurang-kurangnya AS$3 juta bagi tahun pertama jualan di pasaran domestik.

Katanya, pihaknya merancang untuk meluaskan pasaran gula-gula Durukan Lolipop ke dua lagi negara jiran iaitu Brunei dan Singapura dengan eksport masing-masing bermula minggu depan dan awal Januari tahun depan

Laman web pengusaha IKS ke pasaran global

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pengusaha industri kecil sederhana (IKS) kini boleh memasarkan produk mereka ke pasaran global dengan kos yang murah menerusi laman web yang diasaskan oleh Virtual Scope Sdn. Bhd.

Pengarah Eksekutifnya, Zawahir Abdullah berkata, kos membangunkan laman web yang tinggi menyebabkan ramai pengusaha IKS tidak mampu memasarkan produk mereka menggunakan laman web.

Katanya, kebanyakan peniaga IKS menggunakan blog yang mempunyai keupayaan yang terhad.

"Tidak ramai peniaga terutama bumiputera menggunakan laman web profesional kerana enjin yang digunakan menelan perbelanjaan ribuan ringgit.

"Faktor itu menyebabkan kami menawarkan pakej yang murah untuk membantu peniaga memiliki laman web sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran 'MyOwnWeb2u.com' (MOW) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang Gandum di sini malam semalam.

Zawahir berkata, kos yang murah dikenakan bagi membangunkan satu laman web hanya RM365 bagi tempoh setahun.

"Pakej yang begitu murah iaitu pada kadar RM1 sehari dan ia adalah percuma untuk tahun berikutnya," katanya.

Menurutnya, ciri-ciri mesra pengguna menjadi asas kepada reka bentuk setiap halaman bagi memudahkan peniaga yang tiada kepakaran dalam bidang teknologi untuk menggunakannya.

"Setiap halaman web itu direka secara profesional yang menekankan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan sesiapa yang mengenali Internet," katanya.

Wednesday, December 22, 2010

PROTON cadang keluar kereta sport

2010/12/23
Syarikat automotif rancang model mirip Lotus

PROTON Holdings Bhd bercadang mengeluarkan kereta sport mirip Lotus dengan dua tempat duduk dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besar Perancangan Korporatnya, Dr Badrulhisham Mohd Ghazali, berkata kereta sport keluaran syarikat automotif nasional itu bukanlah jenis hatchback seperti keluaran PROTON Satria Neo. Ia dalam perancangan ketika ini. Kita tengok dalam tempoh setahun atau setahun setengah, katanya kepada media selepas memberikan bantuan beg sekolah kepada 47 anak yatim dari rumah Balqis pada Karnival PROTON di Kota Bharu, Kelantan semalam. Badrulhisham berkata, sebagai langkah meningkatkan jualan dan prestasi PROTON, pihaknya akan memperkenalkan model kereta baru setiap lima tahun.

Beliau berkata, contoh terdekat adalah keluaran PROTON Saga yang mana PROTON akan memperkenalkan platform terbaru untuk kereta itu dalam tempoh lima tahun.

Sekarang ini, PROTON Saga menggunakan platform atau chasis PROTON Savvy dan ia digunakan sejak lapan tahun lalu.

Komitmen PROTON seterusnya adalah meningkatkan mutu kereta keluaran kami, kami akan menukarkan kereta baru bagi PROTON Saga bagi tempoh setiap lima tahun.
Beliau berkata PROTON Saga FL adalah versi yang ditingkatkan untuk pengguna hasil daripada maklum balas pelanggan yang inginkan kelainan dan pihaknya menerima tempahan 1,000 unit untuk kenderaan itu.

PROTON Saga FL adalah model kereta sub-compact yang mempunyai 1.3 silinder enjin Campro berharga RM37,548 hingga RM44,998.

Bagi PROTON Inspira pula, katanya pihaknya akan memperkenalkan model dipertingkatkan melalui edisi terhad PROTON Inspira.

Katanya, kenderaan itu akan melalui beberapa tambahan aksesori termasuk skirting, sport rim lebih besar serta ruang dalaman yang lebih kemas.

Malah, katanya, hasil maklum balas, pengguna menyukai PROTON Inspira yang berkapasiti 2.0 silinder berbanding model 1.8 silinder dan perkara itu adalah diluar jangkaan pihaknya.

PROTON Inspira adalah pertukaran teknologi dengan Mitsubishi bagi model Lancer dan PROTON memperkenalkan model itu yang berkapasiti silinder 1.8 dan 2.0, berharga antara RM78,999 dan RM 91,999 seunit BERNAMA

Tuesday, December 21, 2010

Maxwell mahu bina kilang baru di China

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2010/12/22
MAXWELL International Holdings Bhd, pengeluar dan pereka kasut sukan untuk jenama terkemuka global seperti Kappa, Diadora, Brooks dan FILA yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia bulan depan, bercadang membina kilang baru di Jinjiang, daerah Fujian China.

Ia katanya, bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran sebanyak sekali ganda kepada 16 juta pasang kasut setahun. Pengerusi Eksekutifnya, Jenny Li Kwai Chun, berkata kerja awal pembinaan kilang bernilai RM37.5 juta itu sudah bermula dan ia dijadualkan siap pada 2012. “Empat barisan pengeluaran baru akan ditempatkan di kilang baru itu berbanding empat barisan pengeluaran sedia ada dengan keupayaan mengeluarkan lapan juta pasang kasut setahun ketika ini.

“Peningkatan keupayaan pengeluaran itu sekali gus membolehkan kami berkembang dalam persekitaran amat kompetitif pada masa depan,” katanya pada majlis pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan di Kuala Lumpur, semalam.

Maxwell International adalah syarikat pegangan pelaburan berpangkalan di Fujian, China. Ia menerusi anak syarikat milik penuhnya, Zhenxung Shoes, adalah pengeluar peralatan tulen (OEM) dan pengeluar reka bentuk tulen (ODM) kasut sukan yang kebanyakannya untuk pasaran eksport.

Kwai Chun berkata, kos pembinaan kilang baru itu akan dibiayai dana dalaman kumpulan dan pinjaman bank.
Beliau berkata, sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Januari ini, Maxwell International membuat IPO sebanyak 63.75 juta saham biasa baru bernilai 40 sen sesaham yang ditawarkan pada harga 54 sen seunit.

Daripada jumlah itu, 20 juta diperuntukkan bagi langganan awam, manakala baki adalah tawaran persendirian, katanya.

Beliau berkata, pihaknya mensasar menjana RM34.425 juta daripada IPO berkenaan dengan RM12 juta daripadanya akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baru, meningkatkan usaha pembangunan reka bentuk (RM6 juta), modal kerja (RM9.675 juta), dan baki perbelanjaan penyenaraian.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan segmen pembangunan reka bentuknya untuk kekal kompetitif, kumpulan itu katanya, bercadang meningkatkan reka bentuk produk daripada purata semasa 1,000 setahun kepada 1,500 setahun.

Ditanya sama ada kumpulan itu bercadang mengembangkan operasi perniagaannya di negara ini, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai perancangan sedemikian buat masa ini.

Sebanyak empat syarikat China sudah disenarai di Bursa Malaysia setakat ini - Xingquan International Sports Holdings Ltd, Multi Sports Holdings Ltd, XiDeLang Holdings Ltd dan K-Star Sports Ltd.

OSK Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja jamin dan ejen tawaran bagi IPO berkenaan.

Monday, December 20, 2010

MAS susun semula penerbangan, operasi di India

2010/12/21
PENERBANGAN Malaysia (MAS) akan menyusun semula penerbangan dan operasinya di India bagi mencapai sasaran pertumbuhan penumpang antara 30 hingga 40 peratus pada tahun depan di negara itu.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS bagi Asia Selatan, Azahar Hamid, berkata sebelum ini operasi syarikat penerbangan itu di India agak terjejas susulan kelembapan berikutan krisis kewangan global. Bagaimanapun, situasi kembali pulih tahun ini apabila faktor muatan syarikat itu di India kembali meningkat mencecah 80 hingga 90 peratus sejak Januari lalu dan pesawatnya hampir penuh setiap hari dari lapangan terbang utama negara itu. “Tahun depan, kami sasar kadar pertumbuhan muatan 30 hingga 40 peratus. Kami catat prestasi sangat kukuh di India. Berdasarkan kepada unjuran pasaran kami, trafik keluar dari India sangat kukuh dan positif,” katanya di New Dehli, semalam.

Syarikat penerbangan nasional itu terbang ke lima bandar raya utama India iaitu Bangalore, Chennai, Delhi, Hyderabad dan Mumbai.

Sebagai sebahagian daripada strategi 2011 di India, MAS akan menyusun semula kekerapannya ke destinasi berkenaan.

MAS akan memulakan dua penerbangan harian berbanding satu perkhidmatan penerbangan harian ke Chennai iaitu pintu masuk utama ke Malaysia.
Ia akan memperkenalkan penerbangan pagi setiap hari ke Delhi bermula April, peningkatan daripada perkhidmatan mingguan lima hari kini.

Ia juga adalah tambahan kepada penerbangan malam setiap hari yang sedia ada.
MAS juga akan menyediakan penerbangan setiap hari dari Bangalore dan Hyderabad ke Malaysia pada 2011.

Labur RM500j tambah 4 hospital

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2010/12/21
Pusat perubatan KPJ Healthcare bakal ada 24 seluruh negara

KPJ Healthcare Bhd, kumpulan penjagaan kesihatan terbesar negara, akan membuka empat lagi hospital baru di negara ini dengan jumlah pelaburan sehingga RM500 juta. Pengarah Urusan (KPJ Healthcare), Datin Paduka Siti Sadiah Sheikh Bakir, berkata penambahan itu akan menjadikan keseluruhan rangkaian pusat perubatan KPJ Healthcare sebanyak 24 unit berbanding hanya 20 sekarang. Katanya, empat pusat perubatan baru yang kini dalam proses pembinaan ialah di Bandar Baru Klang yang dijangka dibuka tahun depan, manakala tiga lagi iaitu Pasir Gudang dan Muar di Johor serta Sabah, bakal siap menjelang 2012.

“Pada dasarnya KPJ Healthcare merancang membuka banyak lagi pusat perubatan bagi membolehkan rakyat negara ini menikmati kemudahan kesihatan sewajarnya dan Kementerian Kesihatan meluluskannya.

“Kos untuk pembinaan pusat perubatan baru di Sabah membabitkan hampir RM200 juta; Bandar Baru Klang (RM100 juta); Pasir Gudang (antara RM70 juta hingga RM90 juta) dan Muar (RM70 juta),” katanya di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian anugerah persijilan akreditasi Malaysia bagi Kualiti Kesihatan (MSQH) kepada pusat perubatan bawah KPJ Healthcare iaitu Perdana Specialist Hospital Kota Bharu.
Pada majlis sama, hospital itu juga diberi nama baru iaitu KPJ Perdana Specialist Hospital.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perubatan, Jabatan Kesihatan negeri, Dr Azman Yaacob; Ketua Penilai MSQH, Dr Mary Abraham dan Pengerusi KPJ Perdana Specialist Hospital, Aminudin Dawan.

Siti Sadiah berkata, pembinaan rangkaian pusat perubatan di seluruh negara ini juga membolehkan kumpulan itu memantapkan lagi pembabitannya dalam bidang pelancongan kesihatan memandangkan hospital yang dibangunkan itu adalah bersempadan dengan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

Wednesday, December 15, 2010

Berjaya lancar BCARD

2010/12/16
BERJAYA Corporation Bhd, menerusi anak syarikatnya BLoyalty Sdn Bhd melancarkan program kad kesetiaan terbarunya, BCARD dengan sasaran menarik sehingga sejuta pemegang kad itu menjelang 2012.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Robin Tan, berkata pemegang kad kini boleh menikmati mata ganjaran di 33 rakan niaganya yang turut serta dalam program itu. Katanya, mata ganjaran boleh diperoleh menerusi pelbagai jenama menerusi kumpulan Berjaya seperti Starbucks, Kenny Rogers Roasters, Krispy Kreme Doughnuts, Borders dan sebagainya. “Program kad kesetiaan ini dilancarkan bagi menghimpunkan semua jenama menerusi kumpulan Berjaya dan jenama lain bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan kami.
“BCARD mempunyai rangkaian kukuh dengan lebih 30 rakan niaga dari industri makanan dan minuman, hotel, resort dan percutian. Kami juga menjangkakan ia meningkat kepada 40 rakan niaga akhir bulan ini menerusi perbincangan positif dengan beberapa syarikat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kad itu di Kuala Lumpur, semalam

Tuesday, December 14, 2010

Lonjak jualan Panabiz

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/12/15
Panasonic sasar tingkat sumbangan pengedaran 15 peratus

PANASONIC Malaysia Sdn Bhd, menyasarkan meningkatkan sumbangan jualan rangkaian rakan niaganya, Panabiz kepada lebih 15 peratus tahun depan daripada 10 peratus ketika ini. Pengarah Urusannya, Jeff Lee, berkata Panabiz adalah rakan niaga yang mengkhusus kepada pengedaran produk perniagaan bersepadu Panasonic bagi pelbagai sektor meliputi korporat, komersial dan kewangan. Katanya, Panasonic telah mewujudkan 15 rangkaian Panabiz yang pakar dalam penyelesaian produk perniagaan dari Jepun itu sejak diperkenalkan awal tahun lalu.

“Kami merancang meningkatkan cawangan Panabiz tahun depan, tetapi kami perlu memastikan hanya syarikat berpotensi dan berdaya saing menjadi rakan niaga kami.

“Kami menyasarkan meningkatkan sumbangan jualan Panabiz kepada 15 peratus tahun depan, daripada hanya 10 peratus ketika ini,” katanya kepada Berita Harian selepas majlis perasmian ibu pejabat dan bilik pameran Panasonic baru yang dimiliki oleh Tamico Bell Holdings Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor semalam.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran Tamico Bell, Yap Ming Sin dan Pengarah Kewangannya, Wan Tuck Choy.
Beliau berkata, bilik pameran terbaru itu yang mengguna pakai konsep eko dan akan disusuli penggunaan sistem solar tahun depan, akan diperluaskan ke semua rangkaian Panabiz secara berperingkat.

“Bilik pameran terbaru ini menunjukkan usaha berterusan Panasonic menerusi perkongsian perniagaan dengan rakan niaga dalam membawa peningkatan teknologi kepada pelanggan perniagaan dan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Yap berkata, syarikat melabur kira-kira RM10 juta bagi membangunkan ibu pejabat dan bilik pameran yang ditempatkan dalam bangunan seluas 20,000 meter persegi di Temasya Industrial Park U1, Shah Alam.

Katanya, bilik pameran yang direka berdasarkan ciri digital berkonsepkan eko itu memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat, mengalami dan berinteraksi dengan rangkaian produk menyeluruh Panasonic dalam persekitaran sebenar.

Pelanggan juga, katanya, dapat menikmati pengalaman dinamik menerusi tiga kategori produk diketengahkan iaitu penyelesaian sistem perniagaan bersepadu, produk audio visual dan perkakasan rumah.

Dalam pada itu, katanya Tamico Bell yang menyediakan kepakaran dalam bidang telekomunikasi dan khidmat pakar keselamatan menyasarkan jualan RM80 juta tahun depan daripada RM50 juta tahun ini

Maxis langgan HSBB TM

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2010/12/15


SUNDIP bertukar dokumen perjanjian dengan Zamzamzairani sambil diperhatikan Raja Arshad (dua dari kiri), Joseph dan Mohamed Sharil (dua dari kanan) di Kuala Lumpur, semalam.Perjanjian babitkan pembekalan akses pukal selama 10 tahun

MAXIS Communications Bhd muncul syarikat telekomunikasi pertama yang melanggan prasarana Jalur Lebar kelajuan Tinggi (HSBB) yang dimajukan Telekom Malaysia Bhd (TM). Perjanjian bagi pembekalan akses pukal selama 10 tahun itu dimeterai anak syarikat Maxis, Maxis Broadband Sdn Bhd dengan TM semalam.

Monday, December 13, 2010

Tune Talk kembang operasi ke Thailand

2010/12/14
TUNE Talk Sdn Bhd, sebuah syarikat menerusi Tune Group mengembangkan perniagaannya ke Thailand menerusi penubuhan Tune Talk Thailand.

Ini susulan perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat itu dengan firma berpangkalan di Bangkok, King International Resource Zone Co Ltd (KIRZ). Tune Talk Thailand akan diperbadankan sebagai pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) dan pengedar semula perkhidmatan tanpa wayar kepada TOT Public Company Ltd iaitu syarikat telekomunikasi milik kerajaan negara itu. Tune Talk akan memiliki 49 peratus kepentingan Tune Talk Thailand yang dijangka beroperasi pertengahan bulan depan, manakala bakinya oleh KIRZ.

MoU berkenaan dimeterai di Bangkok oleh Pengerusi Tune Talk, Datuk Seri Tony Fernandes dan wakil KIRZ, Julpas Tom Kruesopon yang akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Tune Talk Thailand.

Mengulas perkembangan itu, Tony berkata, Tune Talk Thailand adalah langkah pertama kumpulan itu untuk menjadi peserta MVNO Asean dan dengan perkembangan di Thailand, ia menyasar untuk memberikan kadar perayauan dan panggilan tempatan lebih baik untuk pengguna yang bergerak antara Malaysia dan Thailand.

“Asean mempunyai penduduk seramai 600 juta orang dan ini mewakili satu pasaran yang besar untuk diteroka,” katanya.
Tune Talk dilancarkan sebagai perkhidmatan komersial di Malaysia pada Ogos tahun lalu dan dikendalikan sebagai MVNO menggunakan rangkaian meluas Celcom Axiata Bhd.

Sehingga kini ia telah mengaktifkan 1.5 juta pengguna dengan menawarkan kadar rata terendah untuk perkhidmatan suara, pesanan dan data.

Syarikat itu adalah penyedia perkhidmatan rangkaian dan aplikasi berlesen dengan Blok Pernomboran diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dell rancang perluas rakan kongsi runcit

2010/12/14
PENYEDIA penyelesaian pengkomputeran, Dell, yang mencatatkan pertumbuhan dua angka di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun lalu, merancang mengembangkan lagi perniagaannya di negara ini.

Pengurus Besar Dell Sales Malaysia Sdn Bhd, Yuri Zaharin Wahab, berkata ketika ini Dell mempunyai kira-kira 600 rakan kongsi runcit dan ia akan terus dikembangkan. “Dell sentiasa dikenali bagi tempahan dalam talian dan secara terus, tetapi kami juga faham yang pelanggan ada kalanya mahu melihat dan menyentuh produk kami. “Akan ada banyak program runcit pada masa akan datang dan kami menyasarkan kempen bagi semua produk pengguna kami," katanya pada temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, Dell akan terus menjadi peserta utama dan penyumbang kepada industri ICT di Malaysia dengan operasinya di Cyberjaya dan Pulau Pinang.

Sejajar dengan ini, Dell akan melancarkan produk dan perkhidmatan baru bagi menyediakan kepada keperluan pengguna dan juga perniagaan.

Satu daripada produk itu ialah komputer peribadi mudah alih, Dell Streak, iaitu tablet lima inci menggunakan kuasa Android OS yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat ini.
"Dell memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam mengeluarkan komputer peribadi (PC) dan komputer notebook. Jadi bagi kami ia adalah evolusi mudah untuk membangunkan Dell Streak, bergerak daripada PC dan komputer notebook kepada peranti mudah alih ini," kata Yuri.

Dell juga akan terus memperkenalkan produk baru bagi pasaran tempatan termasuk komputer riba dan desktop bagi pengguna dan juga perniagaan, serta rangkaian stesen kerja, server dan produk storan terutama bagi perniagaan.

Sejak kilang pertamanya dibina pada 1995 di Bayan Lepas, Dell telah mengembangkan operasinya di Malaysia dan ketika ini mempunyai tiga kemudahan terletak di Bukit Minyak dan Bayan Lepas di Pulau Pinang dan di Cyberjaya. –

Setem permainan tradisional bersama Upin dan Ipin dilancar

Pengurus Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Maisara Noor Ahmad menunjukkan setem Upin dan Ipin pada majlis pelancarannya di Hotel Time Square, Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 13 Dis. – Pos Malaysia Berhad memperkenalkan koleksi setem dan sampul surat hari pertama yang terbaru bertemakan permainan tradisional masa lapang bersama Upin dan Ipin dan kawan-kawan sempena minggu setem 2010.

Koleksi setem tersebut mengandungi tiga reka bentuk setem selain sampul surat hari pertama, folder, lembaran mini dan kad maksimum yang direka eksklusif oleh Les Copaque.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata, usaha Pos Malaysia memasukkan konsep pemuliharaan seni dan budaya dalam setem yang dikeluarkan wajar dipuji kerana ia berjaya menerapkan aspirasi 1Malaysia.

Sejajar dengan itu, beliau turut menggalakkan para pengusaha industri seni tempatan untuk menghasilkan program khas di televisyen yang memberi fokus kepada sejarah permainan tradisional sebagai usaha memartabat dan memperkenalkan budaya permainan itu kepada generasi hari ini.

‘‘Saya percaya, ia juga merupakan peluang untuk pengusaha-pengusaha seni tempatan menggalakkan lagi perniagaan mereka dalam bidang masing-masing.

‘‘Saya yakin generasi hari ini tidak tahu tentang permainan-permainan tradisional itu, kita tidak mahu ia lapuk ditelan waktu jika terus dibiarkan tenggelam begitu sahaja,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan setem dan sampul surat hari pertama permainan tradisional masa lapang bersama Upin dan Ipin dan kawan-kawan sempena minggu setem 2010, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar.

Pada majlis itu, Pos Malaysia turut meraikan seramai 120 anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari rumah Nur Salam, rumah Titian Kaseh dan Asrama Damai dengan menyampaikan RM5,000 bagi setiap rumah kebajikan tersebut.

Joseph berkata, kementerian gembira jika koleksi setem dan sampul surat hari pertama itu dapat menarik minat kanak-kanak untuk mempelajari dan menghidupkan semula permainan-permainan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, hobi mengumpul setem yang semakin dilupakan perlu disemarakkan kembali kerana ia boleh memberi faedah dan keuntungan kepada para pengumpul.

‘‘Setiap koleksi setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia pada setiap tahun mempunyai keistimewaannya terutama apabila koleksi-koleksi lama dicari semula oleh pihak tertentu dan pengumpul setem boleh menjualnya 20 atau 30 kali ganda daripada harga sebenar,’’ kata beliau.

Sementara itu, Syed Faisal memberitahu, semua koleksi yang dikeluarkan dianggap unik kerana dicetak sebagai setem berpelekat dengan keratin dan sekali gus menjadikan ia sebagai koleksi setem pertama di Asia yang mempunyai rekaan seperti itu.

Beliau berkata, setem dan sampul surat atau bahan filateli itu dicetak di Belanda dengan teknik offset dan UV Spot serta dakwat bersinar.

Sunday, December 12, 2010

Khidmat baru internet DiGi

2010/12/13
DIGI Telecommunications Sdn Bhd memperkenalkan rangkaian tawaran Internet DiGi baru yang termasuk Smart Plan tambahan untuk telefon pintar, pakej telefon dan pakej pra-bayar DiGi Blackberry dalam usaha mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Internet mudah alih di negara ini.

Ketua Pemasaran Produknya, Loh Keh Jiat, berkata tawaran baru itu membuktikan komitmen DiGi untuk menjadikan perkhidmatan internet mudah alih relevan dan mampu milik untuk semua golongan pengguna.
“Ini adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan agresif jaringan Digi Turbo 3GTM untuk lebih banyak kawasan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam. Katanya, pakej DiGi Smart Plan Lite khusus untuk pelanggan pengguna data kasual.

“Mereka hanya perlu membayar yuran bulanan sebanyak RM33 untuk menikmati capaian internet sehingga 300 megabait (MB) tanpa komitmen penggunaan bagi panggilan dan SMS,” katanya. – BERNAMA

Thursday, December 9, 2010

Khazanah, Camco jalin kerjasama

2010/12/10
Tubuh syarikat perkongsian bangunkan projek pengurangan pengeluaran karbon

KHAZANAH Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia dan Camco International, peneraju dan pelaksanaan projek tenaga bersih global, akan bekerjasama untuk melaksanakan projek pengurangan pengeluaran karbon. Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak menubuhkan sebuah syarikat perkongsian yang dikenali sebagai Camco South East Asia akan mempunyai modal berbayar AS$30 juta. “Khazanah akan menguasai 40 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat berkenaan dan bakinya dipegang oleh Camco International,” katanya pada majlis pelancaran Camco South East Asia di Kuala Lumpur, semalam.

Khazanah kini menguasai 23.6 peratus kepentingan dalam Camco International, yang disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London.

Camco International mempunyai pengalaman 20 tahun dalam projek pembangunan, penyampaian teknikal dan dasar karbon.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, yang menghadir majlis itu, berkata Rang Undang-undang Tenaga Boleh Diperbaharui akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan.
Ia katanya, akan merangkumi penetapan peraturan ‘Feed-in-Tariff’ (FiT) seperti yang dijangkakan oleh sebahagian besar peserta industri.

Pengarah Camco South East Asia, Shahazwan Harris, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu biogas dan biomass sebagai tambahan kepada peluang pelaburan dalam industri itu.

Kini, syarikat itu memiliki 24 kontrak di Asia Tenggara, yang mana tertumpu kepada projek pembangunan karbon kredit.

Shahazwan, yang juga Pengarah Pelaburan Khazanah, berkata sayap pelaburan kerajaan itu menjangka pulangan pelaburan sebanyak 20 peratus setahun daripada pelaburan baru itu.

Khazanah juga melabur dalam KCS Green Energy, syarikat memproses bahan buangan kepada tenaga di China.

"Kami sudah pun memiliki kilang di China dan dua lagi dalam fasa pembinaan.
Pembangunan mapan adalah sektor pertumbuhan baru kepada Khazanah dan kami akan terus meninjau peluang dalam negara dan seberang laut," kata beliau.

Katanya, Khazanah lebih bersikap memilih dan berdisiplin dalam merebut sebarang peluang yang akan memberi pulangan kepada unjurannya.

Wednesday, December 8, 2010

TNB kembang operasi elektrik ke Yaman

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/09


CHE KHALIB (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Fouad Hayel sambil diperhatikan Moggie (kiri) pada majlis memeterai LoU di Kuala Lumpur, semalam.Pembinaan loji jana kuasa dikaji

TENAGA Nasional Bhd (TNB) akan mengembangkan operasinya ke Yaman termasuk membina loji jana kuasa tenaga elektrik di negara itu tidak lama lagi. Ia susulan perjanjian persefahaman (LoU) yang dimeterainya dengan konglomerat terbesar Yaman, National Trading Company (NATCO) bagi meneroka pelbagai bidang dalam industri tenaga di republik berkenaan. Selain membina loji jana kuasa, syarikat utiliti nasional itu turut akan bekerjasama dengan NATCO meneroka perniagaan membekalkan peralatan elektrik seperti transformer kuasa dan peralatan suis, selain membantu melatih kakitangan Public Electricity Corp (PEC), syarikat utiliti yang dimiliki Kerajaan Yaman.

Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata Yaman amat memerlukan kapasiti tambahan tenaga elektrik untuk dibekalkan bukan saja kepada penduduknya, malah untuk peserta industri, khususnya dalam sektor pembuatan di negara itu.

“Hanya 40 peratus daripada 24 juta jumlah penduduk Yaman yang mempunyai sambungan tenaga elektrik di rumah masing-masing dan ini menunjukkan potensi tinggi permintaan tenaga di republikterbabit.

“Berdasarkan potensi ditambah kerjasama dengan NATCO, ia menyediakan peluang terbaik TNB membina loji jana kuasa tenaga di negara itu dan kami akan melaksanakan kajian daya maju sebelum memutuskannya,” katanya selepas mewakili TNB memeterai LoU dengan NATCO yang diwakili Pengarah Hayel Saeed Anam (HSA), Fouad Hayel Saeed, semalam. HSA adalah syarikat induk kepada NATCO.
LoU itu disaksikan Duta Besar Yaman ke Malaysia, Abdulla Mohamed Ali Al-Montaser; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; dan Ketua Eksekutif Asian Finance Bank, Datuk Mohamed Azahari Kamil.

Che Khalib berkata, jika kajian daya maju itu menghasilkan keputusan positif, TNB memerlukan tiga tahun untuk membangun dan menyiapkan sebuah loji jana kuasa biasa di Yaman.

Mengenai pelaburan yang akan dibuat, beliau berkata: “Pembinaan loji jana kuasa yang mengeluarkan kapasiti tenaga 100 megawatt memerlukan pelaburan sekitar AS$120 juta (RM377 juta).”

Sementara itu, Fouad Hayel berkata, Kerajaan Yaman berminat mendapatkan sokongan dan kepakaran TNB bagi membantu menyediakan khidmat nasihat pembangunan projek jana kuasa.

“Ia bukan saja menawarkan tenaga kepada Yaman, malah membantu negara itu memasuki era pembangunan berasaskan perindustrian perdagangan dunia,” katanya

Wednesday, December 1, 2010

EON Bank pikat 80,000 pelanggan kad kredit

2010/12/02
EON Bank Bhd menyasar meningkatkan bilangan pemegang kad kreditnya kepada lebih 650,000 tahun depan berbanding kira-kira 570,000 kini menerusi usaha promosi dan tawaran produk tambah nilai yang lebih menarik.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Michael Lor, berkata langganan dan perbelanjaan menggunakan kad kredit dikeluarkan bank itu dijangka meningkat tahun depan sejajar pertambahan kuasa beli susulan kedudukan ekonomi yang bertambah baik.
Tahun ini, katanya, segmen perniagaan kad EON Bank mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 14 peratus, manakala 15 peratus bagi perbelanjaan kad kredit. “Kami menyasar menarik 80,000 pemegang kad kredit baru tahun depan, daripada 570,000 orang ketika ini susulan prospek ekonomi lebih baik.
“Segmen perniagaan kad EON Bank dijangka terus mengukuh tahun depan, dengan jangkaan pertumbuhan pinjaman kad antara 10 hingga 12 peratus,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah sempena tayangan perdana global filem tajaannya iaitu The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader di Kuala Lumpur, semalam.

Lor berkata, kempen tajaan filem itu meningkatkan perbelanjaan kad kredit GSC-EON Bank lebih 10 peratus berbanding bulan sebelumnya sejak dilancarkan pertengahan September lalu.

“Promosi dan kempen ini telah menyumbang pertumbuhan positif kepada perniagaan kad kami dan kami juga menjangkakan prestasi positif yang sama dari produk lain dalam portfolio kad kredit bank.
“Selain itu, kami juga mengukuhkan kesetiaan pemegang kad kredit GSC-EON Bank dengan pengurang bilangan pemegang yang rendah dan rekod pengaktifan lebih tinggi berdasarkan perbandingan bulanan,” katanya.

TIME Connects tawar akses internet 50 Megabit sesaat

2010/12/02
PENGGUNA di Mont Kiara dan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, meliputi Jalan Bukit Bintang, Imbi, Sultan Ismail dan Raja Chulan, berpeluang menikmati akses internet terlaju di negara ini sehingga 50 Megabit sesaat menerusi penyambungan TIME Connects yang ditawarkan Time dotCom Bhd (TIME).

Ketua Eksekutifnya, Afzal Abdul Rahim, berkata rangkaian fiber optik sepenuhnya yang dibangunkan syarikat itu kini beroperasi di 30,000 kediaman dan pejabat di dua kawasan terbabit dengan 16,000 lagi kediaman dan pejabat akan disambungkan awal tahun depan. “Tahap kelajuan internet seperti ini belum pernah dinikmati sebelum ini, tetapi ia hari ini satu realiti. “Bayangkan anda kini boleh muat turun video seberat 500 Megabit dalam masa satu minit empat puluh saat berbanding hampir sejam sebelum ini atau muat turun dua Gigabit tayangan berdefinisi tinggi (HD) kurang daripada tujuh minit dengan jaminan kepuasan menonton tanpa gangguan atau gambar yang terhenti-henti,” katanya pada majlis mengumumkan perkhidmatan penyambungan fiber optik sepenuhnya itu di Kuala Lumpur, semalam.

Afzal berkata, perkhidmatan itu sesuai bagi menyokong kebanyakan aplikasi jalur lebar perniagaan seperti memindahkan data, e-mel, melayari laman web, tontonan video, persidangan video, e-perniagaan dan aplikasi berasaskan internet lain.

Beliau berkata, tiga perkhidmatan ditawarkan iaitu TIME Fibre Broadband khusus untuk pelanggan runcit, manakala TIME Fibre Internet Basic dan TIME Fibre Internet Plus untuk perniagaan.

TIME Fibre Broadband ditawarkan pada harga serendah RM99 sebulan.
TIME Fibre Internet Basic ditawarkan dalam empat pakej dengan caj bulanan antara RM148 hingga RM818 sebulan, manakala TIME Fibre Internet Plus pula ditawarkan dalam tiga pakej dengan caj bulanan daripada RM688 hingga RM1,888, katanya.

Pada majlis sama penyedia rumusan dan penyelesaian telekomunikasi talian tetap itu turut memperkenalkan logo baru syarikat.

Afzal berkata, asas kepada perkhidmatan penyambungan fiber optik sepenuhnya oleh TIME itu adalah lima gerbang koridor raya fiber optik utama merentasi utara-selatan dan timur-barat Semenanjung yang siap sepenuhnya baru-baru ini.

Beliau berkata, buat masa ini perkhidmatan itu ditumpukan sekitar Lembah Klang yang dibahagikan kepada 10 zon dengan fasa berikutnya ialah di kawasan Bangsar-Damansara disusuli Subang-Sunway

UMW mula keluar, bekal minyak pelincir Repsol

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/02
Syarikat sasar catat jumlah jualan 20,000 tan setahun

KUMPULAN UMW, syarikat yang lebih dikenali dengan perniagaan automotif, akan mula mengeluar dan membekalkan minyak pelincir jenama Repsol untuk pasaran tempatan dan beberapa negara Asia. Ia berikutan termeterainya perjanjian antara UMW dengan Repsol yang menyaksikan syarikat Malaysia itu dilantik sebagai pengeluar dan pembekal rasmi minyak pelincir syarikat berpangkalan di Madrid, Sepanyol itu. Produk itu akan dipasarkan ke pasaran tempatan, China dan negara lain di rantau ini termasuk Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Myanmar.

“Perjanjian itu dimeterai antara Pengarah Eksekutif Pemasaran Repsol Bahagian Eropah, Pascual Olmos; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; serta dua Pengarah Eksekutif UMW Corporation Sdn Bhd, Azhar Harun dan Suseela Menon,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Kini, selain menjalankan perniagaan berteraskan automotif, kumpulan itu turut menawarkan tiga lagi aktiviti perniagaan iaitu minyak dan gas, peralatan serta pengilangan dan kejuruteraan.

Kumpulan itu berkata, perjanjian dengan syarikat penapis petroleum ke-15 terbesar dunia itu adalah bagi tempoh lima tahun.
“Dijangkakan menjelang akhir tempoh itu, jualan minyak pelincir Repsol oleh UMW akan mencecah 20,000 tan setahun, bersamaan lebih daripada 25 peratus jualan tahunan minyak pelincir itu di pasaran Sepanyol,” katanya.

UMW berkata, selain meneroka di pasaran baru, usaha sama projek dengan Repsol juga berupaya membantu syarikat yang aktif dalam perlumbaan MotoGP menerusi Repsol Honda Team itu memperluaskan teknologi, daya saing dan jenamanya dalam dua pasaran yang pesat membangun seperti Malaysia dan China.

Ketika ini, Repsol memasarkan produk minyak pelincirnya menerusi wakil pengedar di lebih 60 negara di Amerika, Eropah dan Asia.

Syarikat itu turut beroperasi di Indonesia, Jepun, Filipina dan Taiwan di mana ia memiliki kemudahan pengeluaran dan rangkaian pengedaran di pasaran berkenaan.

Repsol memiliki teknologi yang luas dalam rangkaian pengeluaran minyak pelincir yang menepati kualiti piawaian dalam industri automotif, motosikal dan sektor industri.

AEON labur RM200j bina cawangan ke-28

2010/12/02
AEON Co (M) Bhd, pengendali rangkaian peruncitan berpangkalan di Jepun, melabur RM200 juta untuk membina sebuah lagi cawangan baru di Rawang, Selangor.

Pengarah Urusannya, Nagahisa Oyama, berkata projek pembinaan cawangan itu akan bermula pada Januari depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun. “Cawangan itu adalah gedung beli-belah ke-28 milik AEON di negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Orang Salji Terbesar di Malaysia yang diperbuat daripada Botol Plastik Kitar Semula, di Pusat Membeli-Belah AEON, Bandaraya Melaka, semalam. Majlis itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abd Rahman.

Oyama berkata, cawangan yang bakal dibina itu di atas tapak seluas lima hektar dan mempunyai lebih 100 kedai untuk disewa kepada peniaga, selain pasar raya utama untuk cawangannya.

Katanya, syarikat itu merancang membuka satu atau dua cawangan baru tahun depan dan satu daripadanya sudah dimuktamadkan, manakala satu lagi cawangan masih dalam peringkat kajian.

Antara kawasan yang menjadi perhatiannya adalah Ipoh, Sungai Petani dan kawasan sekitar Pulau Pinang.
Namun, Oyama tidak menolak kemungkinan membuka cawangan baru di kawasan Pantai Timur.

Mengulas mengenai usaha syarikat itu membina orang-orang salji daripada botol plastik kitar semula, Oyama berkata, program itu adalah sebahagian usaha syarikat untuk menanam minat kitar semula di kalangan masyarakat.

“Saya mendapat idea untuk melaksanakan program ini apabila terlihat botol plastik terapung di Sungai Melaka ketika berjalan-jalan di sekitar sungai itu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 50 kanak-kanak Rumah Anak Yatim Negeri Melaka, Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah dan Calvary Care Home, diraikan dan turut dihiburkan oleh Duta Yayasan Aeon, Datuk Siti Nurhaliza.