Sunday, January 30, 2011

PROTON, PERODUA tolak cadangan bergabung

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/01/30

Dua pengeluar kereta nasional gagal capai kata sepakat

CADANGAN penggabungan dua pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif negara, mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Sumber industri berkata, ini berikutan kegagalan kedua-dua syarikat itu untuk mencapai kata sepakat berhubung bidang penggabungan yang disyorkan se- lepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan mengenainya.

Katanya, perkara seperti kos penggabungan, persoalan mengenai peranan pemegang saham utama selepas penggabungan serta sinergi operasi minimum hasil daripada penggabungan itu menjadi antara punca utama kegagalan cadangan berkenaan.

“Cadangan penggabungan PROTON dengan PERODUA gagal dimuktamadkan buat masa ini, kerana ada pihak yang keberatan untuk memenuhi beberapa syor yang diketengahkan.

“Sebab lain ialah kerana ada pihak yang melihat prospek penggabungan itu tidak membawa manfaat besar kepadanya, dan hanya menawarkan sinergi operasi yang minimum, selain akan turut menimbulkan ketidak-selesaan dikalangan pemegang sahamnya.
“Justeru, selepas penelitian dan perbincangan terperinci di kalangan pihak yang terbabit baru-baru ini, cadangan penggabungan itu digugurkan buat masa ini,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cadangan penggabungan PROTON-PERODUA yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal tahun lalu itu bagi memastikan kedua-dua pengeluar kereta nasional itu terus berdaya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberikan manfaat besar kepada ekosistem industri automotif secara keseluruhannya.

Bagi melihat sama ada cadangan penggabungan itu boleh dilaksanakan atau tidak, kerajaan mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengetuai program bagi menjalankan kajian daya maju mengenainya.

Difahamkan, kajian daya maju itu dilaksanakan oleh firma penyelidikan Frost & Sullivan yang bertindak sebagai ejen rasmi MITI.

Firma itu mengambil masa kira-kira empat bulan bagi mengumpul maklum balas dan kajian, termasuk mengenal pasti bidang yang boleh PROTON dan PERODUA bekerjasama bagi memastikan ekosistem industri automotif negara beroleh manfaat besar daripadanya.

Laporan itu dikatakan telah diserahkan kepada MITI untuk diperhalusi pada Disember lalu.

Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Selasa minggu lalu berkata, cadangan penggabungan PROTON dan PERODUA tidak membabitkan unsur paksaan atau desakan, sebaliknya perlu dipersetujui oleh kedua-dua pemegang saham syarikat berkenaan.

“Sebenarnya, ada banyak kaedah untuk bekerjasama antara dua syarikat automotif tempatan itu seperti pembangunan vendor atau penyumberan komponen. Namun, ia bukan proses yang mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment