Thursday, January 20, 2011

Dana amanah mata wang asing dilancar

2011/01/21
AMBANK Group melancarkan dana amanah baru yang dikenali sebagai AmCurrency Income II khusus bagi pelabur yang mahu mencari pulangan berpotensi daripada pasaran mata wang antarabangsa dan pada masa yang sama menikmati perlindungan insurans.

Bank itu dalam kenyataannya berkata, produk berkaitan pelaburan jangka pendek bertempoh tiga tahun itu juga menyediakan jaminan 100 peratus selepas tempoh matang. Pengarah Urusan Perbankan Runcitnya, Datuk Mohamed Azmi Mahmood, berkata dana itu diperkenalkan susulan sambutan pasaran menggalakkan yang diterima bagi AmCurrency Income pertamanya yang dilancarkan pada Jun tahun lalu. “Ekonomi global pulih dengan kukuh manakala aktiviti ekonomi yang rancak berikutan prospek positif telah membawa kepada pasaran mata wang dinamik yang menyediakan peluang menarik bagi pelabur,” katanya dalam kenyataan itu.

Bank itu berkata, pelabur akan memiliki akses sekumpulan mata wang terdiri daripada 10 mata wang antarabangsa cair manakala perlindungan insurans hayat ditaja jamin AmLife Insurance Bhd, anak syarikat milik penuh AmBank Group.

Mata-mata wang berkenaan adalah dolar Amerika Syarikat (AS), yen Jepun, pound British, dolar New Zealand, krone Norway, euro, dolar Australia, krona Sweden, dolar Kanada dan franc Switzerland.

Mohamed Azmi berkata, prestasi dana itu akan dipantau bagi membolehkan pelabur mendapat keuntungan daripada kenaikan dan penurunan kadar mata wang itu.
“Dengan strategi pelaburan berhemat diguna pakai, dana itu dijangka menyaksikan prestasi stabil,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment