Monday, January 10, 2011

Takaful tubuh pusat pembelajaran agensi

2011/01/11
SYARIKAT Takaful Malaysia Bhd akan menubuhkan pusat pembelajaran agensi dikenali Takaful myStar Academy dalam usaha mencapai sasaran 2,500 ejen tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohamed Hassan Kamil, berkata bilangan ejen agensi Takaful Malaysia meningkat kepada 800 ejen aktif dengan 45 Peneraju Agensi yang berdedikasi sejak memperkenalkan Wakalah atau model agensinya pada Mac tahun lalu. “Agensi Runcit akan mengambil lebih ramai peneraju agensi untuk mencapai sasaran kepada 100 agensi secara keseluruhannya. “Melalui sasaran ini, syarikat merancang lebih banyak aktiviti bagi meningkatkan pertumbuhan bilangan ejen agensi, termasuk pasaran bergerak bagi melaksanakan pengambilan pekerja yang agresif di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamed Hassan berkata, pelbagai fakulti latihan khusus disediakan kepada ejen syarikat menerusi pusat pembelajaran itu.

“Modul profesional terpilih yang khusus ini akan membantu ejen kami meningkatkan pengetahuan produk, jualan dan kemahiran mereka di samping membuka potensi mereka kepada kecemerlangan dalam perniagaan agensi ini,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Takaful Malaysia turut mengumumkan pelantikan Mohd Suhaimi Ahmad yang memiliki pengalaman bekerja lebih 17 tahun dalam industri insurans khususnya agensi runcit sebagai Pengurus Besar Agensi Runcit.
Beliau berkata, bagi 2011 ini, Takaful Malaysia menyasarkan meraih lebih 30,000 kes untuk takaful keluarga individu baru dengan jumlah sumbangan sasaran sekurang-kurangnya RM750 juta pada tahun akhir kewangan.

“Perniagaan agensi memainkan peranan penting dalam menyumbang ke arah pertumbuhan syarikat,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment