Tuesday, January 11, 2011

Transaksi antara bank guna telefon bimbit

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2011/01/12
MEPS perkenal khidmat e-mobile dalam tahun ini

MALAYSIAN Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS), penyedia tunggal perkhidmatan pembayaran antara bank di Malaysia, akan memperkenalkan kemudahan transaksi perbankan antara bank menerusi telefon bimbit pada pertengahan tahun ini. Pengerusi MEPS, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata pengenalan perkhidmatan e-mobile itu adalah inovasi baru bagi memajukan industri perkhidmatan kewangan di Malaysia. Ia, katanya akan ditawarkan kepada semua bank serta pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di negara ini.

“Adalah penting membuka perkhidmatan ini kepada semua bank dan syarikat telekomunikasi untuk semua jenis telefon bimbit kerana hanya dengan cara itu jumlah penggunaan perkhidmatan ini akan meningkat,” katanya selepas majlis perasmian bangunan MEPS@Horizon di Bangsar South, Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MEPS, Mohd Suhail Amar Suresh.

Bangunan berharga RM60 juta yang menempatkan ibu pejabat MEPS dan kemudahan pusat data berteknologi tingginya itu, dirasmikan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Abdul Wahid berkata, pengenalan perkhidmatan itu juga bertujuan menyokong inisiatif e-pembayaran yang dibangunkan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Dalam memperkenalkan perkhidmatan ini, faktor berkaitan caj yang bakal dikenakan kepada pengguna akan turut diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Suhail berkata, MEPS akan meluaskan perniagaannya ke peringkat serantau dengan menawarkan perkhidmatan ke beberapa negara rantau ini tahun ini.

Beliau berkata, kini syarikat itu sedang berbincang dengan beberapa pihak termasuk di Arab Saudi, Filipina dan Bangladesh.

“Kami menjangka dapat memulakan perkhidmatan di Arab Saudi pada suku keempat tahun ini, manakala di Filipina dan Bangladesh masing-masing pada suku kedua,” katanya.

Jelasnya, MEPS turut meneroka peluang meluaskan perkhidmatannya ke Jepun, Australia dan New Zealand.

Katanya, MEPS juga bercadang menawarkan perkhidmatan pemindahan wang menerusi ATM di Malaysia ke dalam akaun bank di negara asing yang sudah mengadakan kerjasama dengannya

No comments:

Post a Comment