Sunday, January 23, 2011

UMW Holdings perkukuh segmen minyak, gas

Oleh Suffian A Bakar

2011/01/24

O&G beri sumbangan ketara selepas berdepan rintangan

UMW Holdings Bhd, antara konglomerat terbesar negara yang disenaraikan di Bursa Malaysia, akan memberikan tumpuan khusus mengukuhkan segmen minyak dan gasnya (O&G) bagi membolehkan bahagian perniagaan itu kembali mencatat keuntungan tahun ini.

Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulannya yang baru, Datuk Syed Hisham Syed Wazir, berkata secara keseluruhannya, segmen automotif akan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat ini. Bagaimanapun, katanya, pihaknya melihat potensi pertumbuhan lebih ketara bakal disumbangkan segmen O&G mulai tahun ini, selepas berhadapan beberapa rintangan sebelumnya. “Pelantar penggerudian NAGA 2 sudah beroperasi dan ia akan menjana pendapatan penuh tahun ini. Selain itu, kami juga pada peringkat akhir memuktamadkan rundingan untuk menyewakan NAGA 3 kepada sebuah syarikat minyak utama dunia, yang mana dijangka beroperasi seawal April depan.

“Kami melihat arah aliran sektor itu kembalinya rancak ekoran aktiviti cari gali di kalangan syarikat minyak global ketika ini yang dilihat sebagai isyarat positif kepada pertumbuhan segmen O&G tahun ini,” katanya dalam satu temu bual di Shah Alam, baru-baru ini.

Tahun lalu Amerika Syarikat (AS) mengenakan cukai anti-lambakan ke atas paip yang diimport dari China, sekali gus memberikan kesan kepada syarikat bersekutu UMW, Wuxi Seamless Oil Pipe Co yang berpangkalan di China.

Syed Hisham berkata, masalah itu sudah ditangani dan Wuxi dijangka kembali mencatat keuntungan tahun ini.
Beliau berkata, sebagai langkah sokongan syarikat bersekutu UMW di India, United Seamless Tubulaar Pte Ltd, yang terbabit dalam pengeluaran paip untuk industri O&G sudah beroperasi secara komersial sejak Ogos tahun lalu.

Syarikat dengan keupayaan mengeluarkan 300,000 tan paip itu akan menjana pendapatan mulai tahun ini, katanya.

“Terdapat tanda-tanda 2011 akan lebih produktif lagi dengan harga minyak mentah kekal tinggi melepasi AS$90 setong.

“Saya yakin segmen O&G akan kembali meraih untung tahun ini. Ia adalah keutamaan,” katanya.

Ketika ini, sekitar 80 peratus daripada pendapatan UMW disumbang perniagaan automotif, merangkumi pengedaran, jualan, pembuatan dan pemasangan kenderaan jenama Toyota, Perodua dan Lexus. Baki disumbang segmen O&G, segmen peralatan dan pengilangan.

Beliau meletak sasaran untung mengimbangi sumbangan segmen automotif dan bukan automotif pada nisbah 50:50 dalam tempoh lima tahun akan datang.

UMW melantik Syed Hisham sebagai Presiden dan Ketua Eksekutifnya yang baru pada 1 Oktober tahun lalu menggantikan Datuk Abdul Halim Harun yang bersara pada 30 September 2010 selepas menerajui kumpulan itu sejak 2001.

No comments:

Post a Comment