Sunday, January 23, 2011

Projek sosial majukan Telenor

Oleh Azli Ayob

2011/01/24
TELENOR Group, syarikat telekomunikasi global yang mempunyai kepentingan dalam DiGi.Com Bhd, menyifatkan pembabitan kumpulan itu dalam aktiviti kemasyarakatan menjadi antara penyumbang kepada kejayaannya di pasaran Asia.

Selain di Malaysia, gergasi telekomunikasi dari Norway itu mempunyai operasi telekomunikasi mudah alih di Thailand menerusi DTAC, Grameenphone (Bangladesh), Uninor (India) dan Telenor Pakistan. Telenor menjalankan pelbagai kegiatan kemasyarakatan di negara di mana ia beroperasi dengan sesetengah daripada program itu dirangka khusus bagi memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Pengarah Bahagian Tanggungjawab Korporat Telenor Group, Ola-Jo Tandre, berkata pembabitan dan sumbangan kumpulan itu dalam memajukan masyarakat di mana ia beroperasi turut menjadikan Telenor syarikat pilihan pelabur.

“Semakin ramai pelabur berminat dan memilih melabur dalam syarikat yang mempamerkan tanggungjawab sosial yang baik.

“Justeru, sesebuah syarikat itu bukan saja perlu mempunyai tadbir urus korporat yang baik, tetapi benar-benar melakukan sumbangan kepada masyarakat,” katanya dalam satu temubual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tandre berkata, antara kegiatan kemasyarakatan yang pernah dijalankan Telenor di Asia adalah membantu peniaga wanita di kawasan luar bandar Bangladesh menjalankan perniagaan berkaitan telefon secara kecil-kecilan.
“Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi, program sosial Telenor tertumpu kepada usaha melaksanakan tanggungjawab kami bagi membantu masyarakat berkomunikasi tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Selepas melaksanakan projek sosial itu, Tandre berkata, pasaran Grameenphone di Bangladesh semakin berkembang sehingga menjadi penyedia telekomunikasi mudah alih terbesar di negara itu hari ini dengan jumlah pelanggan kira-kira 23 juta orang.

Telenor mempunyai 55.8 peratus kepentingan dalam Grameenphone.

Tandre berkata, sejak memasuki pasaran Asia pada 1997, kumpulan itu tidak pernah mengabaikan aspek tanggungjawab sosial yang ternyata memberi banyak manfaat kepada kumpulan selain dapat meningkatkan kesedaran pengguna mengenai jenamanya.

“Matlamat kami untuk cuba memahami kehendak masyarakat setempat dan seterusnya membangunkan produk dan perkhidmatan serta merangka program yang boleh memberikan sumbangan positif kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment