Monday, January 24, 2011

Sime Darby mula tanam sawit di Liberia April

Oleh Mohd Zin Ali

2011/01/25
ANAK syarikat perladangan Sime Darby Bhd, Sime Darby Plantation Sdn Bhd akan memulakan kerja penanaman di ladang seluas 220,000 hektar yang diperolehnya di Liberia pada April ini.

Naib Presiden Eksekutif Sime Darby Plantation, Franki Anthony, berkata buat permulaan ia akan membabitkan penanaman sawit di kawasan seluas 10,000 hektar. Beliau berkata, sebagai pelabur utama di negara di benua Afrika itu, kerajaan Liberia sentiasa memerhatikan perkembangan Sime Darby Plantation Liberia Inc (SDPLI), iaitu anak syarikat milik penuh Sime Darby Plantation. “Dengan pilihan raya di Liberia yang semakin hampir, kerajaannya sedang memerhatikan perkembangan SDPLI dan berharap pembukaan kawasan ladang berkenaan dapat membantunya menangani masalah pengangguran di negara itu dengan menyediakan kira-kira 25,000 peluang pekerjaan.

“Justeru, kami akan memulakan penanaman bermula April ini dengan permulaan membabitkan kawasan ladang seluas 10,000 hektar,” katanya ketika lawatan media ke ladang sawit syarikat itu di Pulau Carey, Selangor, semalam.

Pada 2009, Sime Darby Plantation memperoleh konsesi selama 63 tahun bagi memajukan tanah seluas 220,000 hektar di benua Afrika itu untuk ditanam dengan kelapa sawit dan getah.

Di bawah konsesi itu, SDPLI dibenarkan membuka ladang sawit dan getah di beberapa wilayah republik itu, iaitu di Bomi, Grand Cape Mount, Gbarpolu dan Bong.
Mengenai sama ada Sime Darby Plantation mempunyai cadangan meluaskan perniagaannya ke negara Afrika lain, Anthony berkata, pihaknya belum memutuskan untuk berbuat demikian.

“Saya tidak menolak ada beberapa negara Afrika yang turut berpotensi, tetapi buat masa ini tumpuan kami ialah di Liberia.

“Jika keadaan dan situasi mengizinkan, ia tidak mustahil.

“Namun, satu kajian daya maju perlu dilakukan terlebih dulu untuk melihat keberkesanannya dalam jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Sime Darby Plantation bercadang menambah kawasan ladang sawitnya di Indonesia berikutan mempunyai baki 80,000 hektar daripada simpanan tanahnya yang berjumlah sebanyak 287,391 hektar di republik itu.

No comments:

Post a Comment