KOTA KINABALU 16 Jan. 2011 - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) menawarkan penerbangan terus antarabangsa bagi laluan Kota Kinabalu-Perth, Australia bermula semalam.
Hari ini, penerbangan sulung dari Perth yang membawa 155 penumpang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 7.55 pagi.
Pesawat B737-800 yang turut membawa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun itu disambut oleh Pengerusi MAS, Tan Sri Munir Majid .
Munir berkata, penerbangan terus ke Australia itu merupakan destinasi kedua antarabangsa syarikat penerbangan tersebut dari Kota Kinabalu selepas pelancaran Kota Kinabalu sebagai hab Timur MAS pada Oktober lalu.
"Pengenalan Perth melakarkan komitmen kami untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai hab timur kami, pintu masuk ideal untuk perjalanan antara Australia, China, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan Korea.
"Malah, perkhidmatan baru Kota Kinabalu-Perth bukan hanya menyediakan lebih pilihan kepada pelanggan, tetapi turut mempercepatkan peluang pembangunan dalam perdagangan serta pelancongan Malaysia dan Australia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena ketibaan penerbangan terus MAS dari Perth ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin.
Perth menjadi destinasi kedua penerbangan terus MAS selepas Haneda, Tokyo sejak syarikat penerbangan itu secara rasmi melancarkan hab timurnya pada Oktober tahun lalu.
Menurut Munir, perkhidmatan penerbangan terus itu akan ditawarkan tiga hari seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu.
"Bagi meraikan perkhidmatan pertama ini, MAS turut menawarkan tambang promosi sehala serendah RM597 bermula 16 Januari hingga 30 Jun ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan syarikat penerbangan komuniti, Firefly tidak akan menjejaskan keupayaan MAS kerana kedua-duanya mempunyai segmen pasaran yang berbeza.
Sunday, January 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment