Tuesday, January 11, 2011

Top Glove tinjau ambil alih firma sarung tangan

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/01/12
Kedudukan kewangan kukuh peluang terbaik tingkat kapasiti

PENGILANG sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd sedang meninjau membuat pengambilalihan tahun ini bagi mengembangkan operasinya susulan kedudukan kewangannya yang kukuh dengan jumlah tunai melebihi RM340 juta. Pengerusinya, Tan Sri Lim Wee Chai, berkata tahun ini adalah tahun terbaik untuk syarikat menilai beberapa syarikat pengeluar sarung tangan getah berpotensi berikutan persekitaran pasaran yang semakin positif. Katanya, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada pemilik kilang sarung tangan getah yang berminat melepaskan kepentingan mereka, namun pengambilalihan itu hanya akan membabitkan syarikat yang berpotensi menyumbang secara positif kepada pertumbuhan Top Glove.

“Pengambilalihan dan penggabungan (M&A) sering berlaku ketika persekitaran yang mencabar apabila ada syarikat yang ingin dilepaskan disebabkan tidak diurus dengan baik atau pemegang saham terbesar ingin menjualnya untuk memperoleh tunai, jadi ia peluang yang besar kepada kami meningkatkan kapasiti.

“Tahun ini adalah tempoh yang terbaik selepas menunggu sejak tahun lalu, kerana kami mahu M&A ini dilaksanakan dengan kos yang efektif dan syarikat yang kami beli perlu dinilai supaya sesuai dengan operasi perniagaan teras dan pemasaran kami,” katanya pada sidang media pembentangan keputusan suku pertama Top Glove di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam tempoh suku pertama berakhir 30 November lalu, Top Glove mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM491.5 juta, menurun sembilan peratus berbanding RM541.4 juta yang dicatatkan suku sebelumnya.
Keuntungan bersihnya turut menurun 20 peratus kepada RM36.1 juta dalam suku berkenaan daripada RM45 juta yang dicatat pada suku keempat tahun lalu.

Wee Chai berkata, penurunan keuntungan itu disebabkan harga getah yang tinggi apabila ia meningkat sehingga 57 peratus selain kelemahan dolar Amerika Syarikat.

Justeru, katanya, syarikat akan melaksanakan beberapa strategi bagi memacu pertumbuhan jangka panjang termasuk memperuntukkan pelaburan RM160 juta bagi membuka ladang getah berkeluasan 8,000 hektar di Kemboja yang hasilnya akan dapat dituai dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.

“Ia adalah pelaburan jangka panjang kami, namun dalam tempoh terdekat ini, kami jangkakan harga getah akan turun tidak lama lagi apabila terdapatnya sumber baru daripada beberapa ladang baru di dalam negara,” katanya.

“Kami juga akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran menjelang Ogos nanti apabila tiga lagi kilang baru akan beroperasi menjadikan jumlah kilang pembuatan sarung tangan getah kami kepada 20,” katanya

No comments:

Post a Comment