Monday, January 10, 2011

Wincor Nixdorf kerjasama laksana projek CCMS

2011/01/11
WINCOR Nixdorf, syarikat terkemuka Jerman yang menyediakan penyelesaian lengkap bagi pengurusan tunai industri peruncitan dan perbankan akan bekerjasama dengan sebuah pasar raya besar tempatan bagi melaksanakan projek perintis teknologi pengurusan kitaran tunainya (CCMS) untuk model pasaran di Asia.

Pengarah Urusan Wincor Nixdorf Retail Solution (M) Sdn Bhd, Stan Singh, berkata berikutan teknologi itu masih baru di rantau ini, maka pihaknya memilih Malaysia sebagai tapak bagi membangunkan model itu kerana pasarannya yang stabil, besar, telus serta atas dasar sebahagian besar urus niaga di sini masih bergantung kepada urus niaga secara tunai. “Menerusi projek perintis ini kami mengkaji dan melihat masalah yang timbul dan penyelesaiannya sebelum dikongsi ke cawangan lain kami di rantau ini. “Sebuah pasar raya besar tempatan sudah menyatakan minat menggunakan teknologi ini dan kami bersedia menyediakan perkhidmatan menyeluruh ke semua rangkaian pasar rayanya di seluruh negara meliputi perundingan, latihan dan sokongan atau perkhidmatan selepas jualan,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

CCMS adalah teknologi penyelesaian lengkap pengurusan tunai industri runcit dan perbankan yang mampu menjimatkan kos operasi sehingga 20 peratus serta meningkatkan kecekapan pengurusan tunai menerusi langkah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.

No comments:

Post a Comment