Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/01/20
Kereta api antara bandar di Iskandar Malaysia babit kos RM1.23b
KUB Malaysia Bhd (KUB) dan Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) akan membangunkan rangkaian sistem transit kereta api antara bandar di Johor dengan kos kira-kira RM1.23 bilion. Projek yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2013 itu akan dibangunkan syarikat usaha sama, Metropolitan Commuter Network Sdn Bhd (MCN) yang mana KUB serta Masteel masing-masing akan menguasai 40 peratus dan 60 peratus ekuitinya. Ia akan membabitkan operasi kereta api elektrik menggunakan tapak landasan milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) sepanjang 100 kilometer (km) dalam Wilayah Iskandar Malaysia, menaik taraf 21 stesen KTM sedia ada di laluan berkenaan dan pembinaan empat stesen baru.
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng, (atas) berkata apabila siap, sistem transit kereta api antara bandar itu akan beroperasi seperti komuter di Lembah Klang meliputi JB Sentral ke Kempas Baru dan dari Pasir Gudang terus ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Ia juga, katanya akan dihubungkan dengan sistem transit aliran ringan (MRT) Singapura.
Tai berkata, syarikat usaha sama itu akan membiayai sebahagian kos projek itu menggunakan dana ekuiti dan terbitan bon, manakala bakinya akan diperoleh di bawah Skim Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
“Kami yakin projek ini berpotensi tinggi dan akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Kami juga akan mengembangkannya jika ada keperluan dan peluang,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian bagi penubuhan syarikat usaha sama itu di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu Tai mewakili Masteel, manakala KUB oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Nazar Samad.
Tai berkata, projek sistem transit kereta api antara bandar itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan tempoh konsesi bagi operasinya ialah 25 tahun.
Sementara itu, Nazar berkata, projek itu akan menyumbang secara positif kepada kumpulan KUB, bukan hanya dalam kepada segmen perniagaan pembinaannya seperti membekalkan keperluan pembinaan bagi pusat kawalan, operasi dan penyelenggaraan, tetapi juga memanfaatkan segmen perniagaan sektor hartanah, kejuruteraan dan pembinaannya.
“Perniagaan utama kami dalam bidang teknologi, kejuruteraan serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) akan turut meraih manfaat khususnya dalam menyediakan sistem IT bersepadu untuk proses berkaitan tiket, pengumpulan dan sekuriti.
“Bagi kereta api elektrik, kami sedang menimbangkan sama ada menggunakan teknologi dari China atau Eropah,” katanya
Wednesday, January 19, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment