Tuesday, April 6, 2010

Meterai pakatan baharu

Mohd. Khamil Jamil Pengarah Urusan DRB-HICOM Bhd

--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM 6 April 2010 – DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) kini memasuki fasa baharu perkembangan operasinya apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan Potenza Sports Car Ltd. (PSC) dari United Kingdom untuk mengimport dan mengedarkan kereta sport jenama Potenza di rantau Asia Pasifik.

Kerjasama itu terjalin dengan termeterainya memorandum persefahaman hari ini antara DRB-HICOM dengan PSC, pereka dan pengeluar kereta sports jenama Westfield dan GTM (gambar) yang dipasarkan di seluruh dunia.

‘‘Perjanjian itu juga membolehkan kedua-dua pihak mengadakan kajian teknikal dan komersial untuk melihat sebarang kemungkinan untuk mengeluarkan kereta sports Potenza bagi pasaran Asia Pasifik,’’ kata Pengarah Urusan Kumpulan itu, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil dalam kenyataannya di sini.

Beliau menjelaskan, kerjasama itu akan membuka jalan kepada DRB-HICOM menjadi pengimport eksklusif, pengeluar dan pengedar kereta sport Potenza termasuk kenderaannya yang berkuasa elektrik atau hibrid bagi pasaran pemanduan sebelah kanan di rantau ini.

Mohd Khamil berkata, pakatan itu juga menyaksikan kemungkinan pihaknya menjadi rakan untuk projek pembangunan kenderaan baru termasuk memperoleh komponen tempatan serta mendapatkan faedah insentif yang disediakan oleh kerajaan.

‘‘Kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai kemungkinan dalam kerjasama ini dan kami begitu positif terhadap keputusannya,’’ kata beliau lagi.

Mohd Khamil memberitahu Utusan Malaysia, apa yang menjadi minat Kumpulan DRB-HICOM adalah teknologi dan juga hak pengeluaran secara bersama di negara ini serta pemasarannya di peringkat serantau.

‘‘Pembangunan teknologi yang berlaku akan dapat meningkatkan usaha pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta penghasilan komponen tempatan,’’ jelas beliau.

Mohd Khamil menjangkakan, kerjasama kedua-dua pihak akan bermula pada suku ketiga tahun ini dengan kos permulaan bersama berjumlah RM25 juta sebelum usaha R&D dilaksanakan sepenuhnya.

‘‘Potenza telah memajukan teknologi kereta elektrik sambil turut memiliki prototaipnya sekali. Insya-Allah, teknologi ini juga merupakan sebahagian daripada pakej kerjasama kami,’’ tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Westfield Sportscars, Julian Turner yang optimis dengan kerjasama itu berkata, dengan penggunaan infrastruktur pengeluaran dan pengedaran DRB-HICOM, kombinasi jualan dijangka mampu meningkat lima kali ganda berbanding keluaran semasa sebanyak 400 buah kereta setahun dalam tempoh tiga tahun lagi.

Sebelum ini, Kumpulan DRB-HICOM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa peserta global dan kini mengedar dan memasang kenderaan jenama asing seperti Audi, Mercedes Benz, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu dan Mahindra, selain Proton dan Hicom Perkasa.

Jenama-jenama kenderaan itu berjaya menguasai 18 peratus daripada jumlah keseluruhan industri.

No comments:

Post a Comment