Wednesday, April 7, 2010

BMW unjur jualan Siri X meningkat 20 peratus

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/04/08
Model terbaru BMW X1 dijangka paling dapat sambutan

BMW Malaysia Sdn Bhd menjangka jualan kenderaan BMW Siri X di negara ini akan meningkat 20 peratus tahun ini berikutan pengenalan model terbarunya BMW X1.

Pengarah Urusannya, Geoffery Briscoe, berkata BMW X1 yang direka bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden, adalah sebuah Kenderaan Aktiviti Sports (SAV) yang menumpukan kepada elemen kenderaan sports kontemporari, bergaya, ruang dalaman premium serta prestasi enjin yang unggul dengan kecekapan bahan api yang mengagumkan. Beliau berkata, BMW X1 yang diramalkan menjadi model paling mendapat sambutan di kalangan rangkaian BMW siri X, juga dijangka menetapkan penanda aras contoh baru kepada kenderaan yang mengeluarkan asap rendah di Malaysia kerana ia adalah yang pertama seumpamanya melepaskan karbon dioksida di bawah 170 gram bagi setiap kilometer.

“Ia sebuah SAV yang memberi kepuasan kepada pemandu, pada masa sama menjimatkan serta mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran BMWX1 di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran BMW X1 terbabit disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata buat masa ini, BMW X1 didatangkan dengan enjin diesel iaitu BMW X1 xDrive20d. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM299,800 termasuk pakej BMW Service dan pembaikan selama tiga tahun.

BMW Malaysia merancang memperkenalkan enjin petrol BMW X1 sDrive menjelang Jun ini yang akan ditawarkan pada harga harga atas jalan RM263,800.

Briscoe berkata, selain perspektif kejuruteraan dan keselamatan, BMW X1 juga meraih pengiktirafan bagi reka bentuk kontemporarinya dan adalah sebuah daripada enam model yang dibangunkan BMW Group yang menerima anugerah Red Dot, iaitu anugerah utama di dunia bagi mengiktiraf reka bentuk produk yang hebat untuk pelbagai sektor daripada automotif hinggalah kepada seni bina, barangan rumah dan peralatan elektronik kediaman, sains hayat dan perubatan.

“BMW X1 xDrive20d serba baru ini memaparkan teknologi diesel terkini BMW dengan enjin turbo Diesel 2 liter empat silinder yang sangat berkuasa, manakala BMW X1 sDrive18i yang menggunakan pacuan belakang memiliki enjin petrol 1.8 liter,” katanya.

No comments:

Post a Comment