Friday, April 2, 2010

JCorp bangun kampus akademi di Kota Tinggi

Muhammad Ali Hashim (tengah) menyaksikan Pengarah Urusan Kulim (Malaysia) merangkap Pengarah Akademi JCorp Ahamad Mohamad (kiri) dan wakil Pengajian Perniagaan Universiti Oxford Dr. Paul Temporal (kanan), bertukar-tukar dokumen di Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

PETALING JAYA 2 April 2010 - Johor Corporation (JCorp) akan melabur sebanyak RM23 juta untuk membina kemudahan kampus Akademi JCorp di Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi, Johor.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pembangunan kampus yang memberi tumpuan kepada latihan eksekutif itu akan siap pada 2012.

''Beberapa kemudahan utama seperti dewan kuliah utama dan dewan-dewan kuliah akan siap menjelang Januari 2011. Manakala kemudahan lain akan siap sepenuhnya pada 2012.

''Akademi tersebut telah pun memulakan beberapa program dalaman dan luaran berkaitan latihan eksekutif,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara JCorp dan Oxford Said Business School, Universiti Oxford di sini hari ini.

MoA tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Akademi JCorp., Ahamad Mohamad mewakili JCorp manakala Oxford Said Business School diwakili oleh Felo Bersekutu, Dr Paul Temporal.

Muhamad Ali berkata, MoA itu adalah untuk projek penyelidikan Jihad Perniagaan yang merupakan konsep dibangunkan oleh beliau.

''Penyelidikan yang dijangka lengkap pada penghujung tahun ini, dan hasilnya akan dibentangkan di Forum Pemasaran dan Penjenamaan Islam Global Oxford pada 25 hingga 27 Julai,'' katanya.

Perniagaan Jihad, merupakan sebahagian daripada usaha JCorp meneroka alternatif dalam menjalankan perniagaan berasaskan nilai Islam dan prinsip beretika.

Ini telah menarik minat Oxford Said Business School untuk menjalankan penyelidikan mengenainya dan konsep wakaf korporat dan pelaksanaannya kerana memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, katanya.

Sementara itu, Temporal berkata, mereka memilih JCorp kerana percaya dengan keunikan perniagaan mereka terutama dalam penjenamaan Islam.

''Kami mungkin akan melanjutkan kerjasama ini dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada masa hadapan yang juga akan melibatkan program-program lain,'' katanya.

No comments:

Post a Comment