Sunday, April 4, 2010

Cadangan tubuh francais Ar-Rahnu X'Change Brunei

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/05
Langkah awal Bank Rakyat buka cawangan perbankan Islam

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) bercadang mengadakan kerjasama dengan koperasi utama di Brunei bagi menubuhkan francais Ar-Rahnu X'Change di negara terbabit.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata kerjasama itu adalah langkah awal dalam memenuhi pelawaan kerajaan Brunei kepada Bank Rakyat untuk membuka cawangan perbankan Islamnya di negara berkenaan.

Katanya, pelawaan terbabit disampaikan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika lawatan kerja beliau ke sana minggu lalu selepas tertarik dengan prestasi dan produk perbankan Islam yang ditawarkan oleh Bank Rakyat. Mengikut perancangan, kami akan mulakan dengan produk Ar-Rahnu iaitu perkhidmatan pajak gadai Islam menerusi kerjasama di antara anak syarikat kami dengan koperasi di Brunei.

Bagi membuka cawangan perbankan Islam pula, kami perlu membuat kajian lanjut kerana tidak mudah bagi bank koperasi untuk membuka cawangan di luar negara, ia memerlukan banyak kelulusan daripada pihak berkuasa, katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau sebelum itu mengiringi Ismail Sabri merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Bank Rakyat ketika ini mempunyai 124 cawangan dan 16 rangkaian Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara yang semuanya menawarkan produk Pajak Gadai-i Ar-Rahnu.

Mengenai bilangan cawangan francais Ar-Rahnu X'Change yang akan ditubuhkan di Brunei, Kamaruzaman berkata, pihaknya masih mengkaji bilangan yang sesuai dengan pasaran negara ini.

Semuanya akan dikaji dalam lawatan kami ke sana nanti. Kami juga masih belum menyenarai pendek koperasi mana yang akan bekerjasama dengan kami dan akan mengada perbincangan mengenainya dalam masa yang terdekat ini, katanya

No comments:

Post a Comment