Sunday, April 18, 2010

9Bio cadang bina kilang vaksin halal

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/19
Pengeluaran produk dijangka pertama di dunia

NINEBIO Sdn Bhd (9Bio), sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan akan membina kilang pengeluaran vaksin pertama di negara ini di tapak seluas 25.1 hektar di Taman Perindustrian Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Selain menjadi kilang terbesar di taman teknologi berkenaan, ia juga bakal muncul kilang vaksin pertama di dunia yang mengeluarkan vaksin halal. Ketua Eksekutif 9Bio, Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila, berkata pembangunan kilang itu akan dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan pelaburan antara RM70 juta dan RM80 juta. Katanya, apabila fasa pertama kilang itu beroperasi sepenuhnya, ia bakal menjadi pengeluar pelbagai vaksin penting dan utama di bawah Kementerian Kesihatan bagi menampung keperluan negara sebelum menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, usaha membina dan mengeluarkan vaksin halal itu adalah langkah proaktif kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa bergantung kepada negara luar bagi memperoleh bekalan vaksin ketika berlakunya wabak.

“Kita mengambil inisiatif membina kilang yang menepati piawaian itu, cuma bagi mengurangkan beban kos pembangunan yang terlalu tinggi, kilang ini akan dibangunkan mengikut fasa yang mana fasa pertama akan dibina bagi mengeluarkan vaksin untuk keperluan negara dulu,” katanya dalam temu bual bersama Berita Harian minggu lalu.

Mohd Azmi berkata, selain peruntukan kerajaan, pihaknya bercadang meninjau pelabur berpotensi dari dalam dan luar negara untuk bekerjasama membangunkan projek itu pada saiz lebih besar.

“Saiz pengeluaran bergantung kepada peruntukan kerajaan dan kalau ada pelabur yang berminat kita alu-alukan,” katanya yang enggan mengulas tarikh kilang itu bakal beroperasi kerana ia bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, Kementerian Kesihatan sudah membeli tanah di kawasan Enstek itu.

Katanya, pembangunan kilang itu adalah antara projek strategik negara membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan serta kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU).

No comments:

Post a Comment