Sunday, April 18, 2010

Volvo jadikan Malaysia hab ASEAN

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 18 April 2010 - Pengeluar kereta mewah Sweden, Volvo dalam proses memindahkan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan sedannya dari Thailand ke Malaysia, seiring dengan matlamatnya menjadikan negara ini sebagai hab pemasangan dan pengedaran kenderaan Volvo di rantau ASEAN.

Presiden Rantau Asianya, Goran Larsson berkata, pihaknya sudah melepaskan kepentingan dalam operasi pemasangan di Thailand dan mula membawa masuk peralatan dan perkakasan yang diperlukan ke negara ini yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Pada masa ini ujarnya, Volvo memasang empat model kenderaan iaitu S80, S40, V50 dan XC90 di kilang miliknya Swedish Motor Assemblies di Seksyen 15 di sini dan seterusnya akan memasang model XC60, S60 dan V60 kelak.

Menurutnya, keputusan Volvo memilih Malaysia itu adalah sejajar dengan fakta bahawa negara ini adalah pasaran kereta penumpang terbesar di rantau ini.

''Selain itu, kami juga mahu mengambil kesempatan daripada dasar automotif ASEAN mengikut Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang bakal membolehkan kereta-kereta kami dijual pada harga yang lebih berdaya saing.

''Malaysia akan menjadi hab bagi Volvo untuk pengedaran di rantau ASEAN," katanya semasa wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia di bilik pameran Volvo di Taman Perindustrian Glenmarie di sini baru-baru ini.

Larsson yang baru ditukar ke Malaysia dari Taiwan pada Ogos lalu berkata, Volvo memiliki 'warisan' yang tebal di Malaysia, malah pihaknya mendirikan kilang di Shah Alam sejak 1965.

Beliau juga maklum bahawa beberapa model seperti Volvo 940 misalnya, cukup popular pada 1990-an, malah digunakan oleh ketua-ketua jabatan kerajaan Malaysia.

''Maka itu, kami perlu menyegarkan kembali jenama ini, ditambah lagi kami sudah memiliki barisan model baru yang segar. Langkah menumpukan operasi CKD ke Malaysia adalah sesuatu yang logik," katanya lagi.

Ditanya mengenai kos pemindahan, beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, kosnya tidak begitu tinggi kerana ia membabitkan peralatan sahaja kerana kilang Volvo sudah ada.

''Kilang Volvo di Shah Alam memiliki kapasiti 5,000 kenderaan setahun dan ia belum pun digunakan sepenuhnya," jelasnya.

Ditanya mengenai pengambil alihan automotif China iaitu Geely ke atas Volvo, Larsson berkata, para pelanggan di Malaysia tidak perlu bimbang mengenainya.

''Ini kerana pengerusi Geely sendiri sudah menyatakan model operasi Volvo nanti adalah sama seperti semasa Volvo di bawah kumpulan Ford iaitu bergerak bebas dan diberi fokus dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya.

No comments:

Post a Comment