Monday, April 19, 2010

CCM bakal pengeluar baja utama

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/04/20
Pembukaan kilang terbaru tingkat pengeluaran kepada 670,000 tan setahun

CHEMICAL Company of Malaysia Bhd (CCM) bakal muncul sebagai pengeluar baja terbesar di negara ini apabila kilangnya di Lahad Datu, Sabah, mula beroperasi pada suku pertama tahun depan sebagai pelengkap kepada dua kilang sedia ada di Shah Alam dan Bintulu.

CCM yang menguasai 30 peratus daripada pasaran baja di negara ini juga mempunyai sebuah kilang memproses baja di Medan, Indonesia bagi memenuhi permintaan daripada sektor perladangan di Sumatera. Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Datuk Dr Mohd Hashim Tajudin, berkata pembukaan kilang baja terbaru berharga kira-kira RM60 juta di Sabah itu menjadikan jumlah pengeluaran baja keseluruhan syarikat sebanyak 670,000 tan setahun. “Ini akan menjadikan CCM pengeluar baja terbesar di negara ini, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sawit,” katanya pada temu bual bersama rakan media Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, kilang baja CCM di Lahad Datu itu didirikan khusus bagi membekalkan baja bagi keperluan ladang kelapa sawit di Sabah dan Kalimantan Timur.

“Ini berikutan pembukaan semakin banyak ladang kelapa sawit di kedua-dua kawasan ini,” katanya.

Mohd Hashim menambah, perkembangan pesat industri minyak sawit di negara ini dan juga di Indonesia bakal meningkatkan permintaan terhadap baja keluaran CCM.

Katanya, bahagian pengeluaran baja CCM amat bergantung kepada harga minyak sawit mentah (MSM).

“Dilihat daripada harga semasa MSM pada sekitar RM2,500 hingga RM2,800 setan, kami menjangkakan bahagian ini mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, di sebalik pengembangan bahagian pengeluaran baja, sumbangan utama kepada pendapatan kumpulan itu adalah daripada bahagian farmaseutikal.

CCM adalah antara pengeluar ubat-ubatan dan vitamin yang disahkan halal terbesar di negara ini menerusi jenama seperti Champs, Proviton dan Flavettes.

Sementara itu, mengulas pembabitan CCM pada MSAM kali ini, Mohd Hashim berkata, pihaknya akan melancarkan satu program penjagaan kesihatan khusus untuk penduduk luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

“Tahap penjagaan kesihatan penduduk pedalaman dan luar bandar tidak sebagus penduduk bandar. Justeru, kami akan melancarkan satu program penjagaan kesihatan luar bandar bagi melengkapi usaha bagi tujuan itu yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya

No comments:

Post a Comment