Thursday, April 8, 2010

Naza Group labur RM25j buka pusat servis motosikal

2010/04/09
NAZA Group akan melabur RM25 juta untuk membuka pusat sehenti motosikal “Naza World of Bikes” di setiap negeri yang akan mempamerkan semua jenama motosikal yang dijualnya.

Naib Presiden Eksekutif Operasinya, Datuk SM Zulkifli SM Amin, berkata pembukaan cawangan Naza World of Bikes di setiap negeri yang membabitkan pelaburan kira-kira RM2 juta bagi setiap cawangan kecuali di Lembah Klang, dijangka selesai menjelang suku pertama tahun depan.

Katanya, syarikat merancang membuka cawangan pertama Naza World of Bikes di Pulau Pinang, diikuti Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuantan, Johor Baru dan Melaka. “Untuk Lembah Klang saja, kami merancang membuka lima cawangan Naza World of Bikes,” katanya pada pelancaran motosikal Ducati Hypermotard 796 oleh anak syarikat Naza Group, Next Bike Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Next Bike dilantik sebagai pengedar motosikal Ducati sejak 2004 dan setakat ini sudah menjual lebih 800 unit motosikal berkenaan.

Hypermotard 796 yang juga model Ducati pertama dilancarkan oleh Next Bike tahun ini, ditawarkan pada harga RM79,000.

SM Zulkifli menambah, walaupun menghimpunkan semua jenama di bawah satu bumbung, setiap jenama motosikal yang dipamerkan di Naza World of Bikes akan menampilkan identiti korporat mereka tersendiri.

Mengenai jualan Ducati, katanya, Next Bike mendapat pengiktirafan sebagai pengedar kedua terbaik di Asia Pasifik dari segi pertumbuhan jualan dan kepuasan pelanggan tahun lalu.

Beliau berkata, tahun lalu Next Bike menjual 92 unit Ducati dan tahun ini menyasarkan peningkatan hampir sekali ganda iaitu 160 unit.

“Sasaran itu mampu dicapai kerana pengeluar motosikal Ducati di Itali sudah bersetuju untuk memperuntukkan kami dengan jumlah motosikal sebanyak itu,” katanya.

“Kami turut menyediakan pakej pembiayaan menarik untuk bakal pembeli seperti kadar faedah menarik dan tempoh bayaran balik pinjaman yang panjang,” katanya mendedahkan setakat suku pertama tahun ini saja, Next Bike sudah menjual 52 unit motosikal Ducati.

No comments:

Post a Comment