Wednesday, April 21, 2010

Pernec sertai sektor tenaga mesra alam

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/04/22
PERNEC Corporation Bhd, syarikat pelaburan kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperluaskan aktiviti perniagaannya bagi meliputi tenaga mesra alam, dengan tumpuan kepada tenaga solar dan angin.

Pengarah Urusannya, Abdul Karim Abdul Sallam, berkata kumpulan itu yang lebih dikenali sebagai antara peneraju utama sektor telekomunikasi sudah memperkenal rangkaian telefon awam berbayar menggunakan tenaga solar. “Kami kini mahu menceburi sistem penjanaan mesra alam. Kami sudah pun menggunakan tenaga solar pada sebahagian telefon awam berbayar kami dan merancang memperkenalkannya ke seluruh 35,000 rangkaian ‘helo’ di seluruh negara,” katanya sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuching, semalam. Beliau berkata, Pernec sudah mengenal pasti tenaga solar dan sistem turbin tenaga angin sebagai penggerak kepada perniagaan mesra alam kumpulan, selain mengenal pasti rakan kongsi global yang menawarkan kepakaran dan teknologi yang terbukti untuk dikongsikan bersama pelanggan tempatan.

Katanya, kajian menunjukkan kurang daripada dua peratus penjanaan tenaga diperoleh daripada sumber mesra alam seperti hidro, angin atau solar di Malaysia, selebihnya daripada fosil.

“Kerajaan komited untuk mengurangkan pencemaran karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020 dan sebagai organisasi berkaitan kerajaan, Pernec berasakan perlu melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pernec juga menjalankan ujian sistem turbin angin di tiga lokasi berbeza di Kuching, Sarawak termasuk Kuching, Waterfront sempena MSAM 2010 serta beberapa lokasi di Johor dan Sabah.

“Turbin angin kami adalah lebih cekap dari segi menjana lebih tenaga kerana strukturnya yang menegak berbanding turbin angin konvensional yang mempunyai kedudukan melintang,” katanya sambil menambah Pernec juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Felcra, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Felda dan swasta yang berminat menyertai projek ini.

Sempena berlangsungnya MSAM, pengunjung boleh melihat turbin angin berpaksi tegak yang dipamerkan di gerai Pernec bagi mendapatkan gambaran jelas dan pelbagai maklumat mengenai produk itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menerusi pameran itu, Pernec menyasarkan untuk menarik agensi kerajaan seperti Felcra dan Sirim untuk memperkenalkan perkhidmatan itu khususnya di kawasan pedalaman dan kepulauan, terutama di sesetengah kawasan Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik

No comments:

Post a Comment