Tuesday, April 20, 2010

AirAsia tawar percutian khas penumpang terkandas

Oleh Meor Hisham Zulkifli dan Hanisah Selamat
bhnews@bharian.com.my
2010/04/21
KUALA LUMPUR: Air-Asia menawarkan promosi khas pakej percutian dengan harga istimewa ke mana-mana destinasi kepada penumpang yang terkandas di lapangan terbang sementara menanti penerbangan pulang ke Eropah.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Tony Fernandes, berkata tawaran itu dibuka berikutan ramai penumpang yang tidak mempunyai arah tujuan selepas penangguhan operasi pesawat disebabkan debu hitam letusan gunung berapi di Iceland. “Langkah ini diharap dapat mengurangkan tekanan kepada penumpang yang tidak pasti bila situasi dapat kembali normal malah ia bukan hanya membabitkan destinasi di Kuala Lumpur malah semua laluan kami. “Kita akan memaklumkan promosi ini kepada penumpang di setiap lapangan terbang yang disinggahi untuk membolehkan mereka merehatkan fikiran ke destinasi berhampiran, mungkin dalam seminggu hingga keadaan pulih,” katanya.

Mengulas mengenai kerugian yang ditanggung AirAsia X berikutan penangguhan penerbangan ke London sejak 15 April lalu, beliau berkata, pihaknya tidak terjejas teruk kerana destinasi terbabit hanya satu daripada lebih 600 laluan mereka.

“Kita mempunyai banyak lagi destinasi dalam negara dan di seluruh rantau ini. Ada sedikit kesulitan sejak penangguhan operasi penerbangan ke London tetapi ia tidak menjejaskan kami.

“Berikutan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang, AirAsia mengambil keputusan menawarkan promosi khas pada kadar terendah,” katanya.

No comments:

Post a Comment