Sunday, April 4, 2010

Pepsi laksana penjenamaan semula

KUALA LUMPUR 4 April 2010 - Jenama minuman ringan, Pepsi kini sedang mengalami fasa penjenamaan semula dengan meletakkan sandaran tahun ini sebagai permulaan kepada 'Dekad Remaja' yang menjanjikan perubahan.

Penjenamaan semula itu dengan moto 'Dunia Lebih Segar' (Refresh your World) menunjukkan perubahan yang dibuat serta rekaan semula logo menjadikan salah satu langkah permulaan transformasi.

Pengurus Pemasaran Minuman Ringan Pepsico (Malaysia) Sdn. Bhd., Melati Abdul Hai berkata, pasaran remaja berubah bagi setiap generasi, oleh itu Pepsi juga perlu menilai dan menterjemah semula bagaimana untuk berhubung dengan pelanggan utama mereka.

''Kami sentiasa melihat ke hadapan dan memastikan jenama Pepsi terus relevan, menyeronokkan dan berkesan.

''Ia merupakan isyarat visual kepada semua pelanggan. Proses penjenamaan semula di peringkat global dimulakan pada penghujung tahun lalu dan merupakan pelbagai inisiatif strategi untuk meningkatkan perolehan dan penguasaan pasaran,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai penjenamaan semula Pepsi di sini baru-baru ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permanis Sdn. Bhd. (Permanis), Erwin Selvarajah dan Pengurus Pemasaran Permanis Sandilands Sdn. Bhd. Hemalatha Ragavan.

Permanis merupakan pemegang francais utama yang membotolkan dan mengedar Pepsi di Malaysia.

Tambah Melati, Pepsi akan meneruskan pelbagai inisiatif untuk membina tradisi mereka dengan menyokong program berkaitan remaja seperti bola sepak dengan pelbagai projek menarik pada tahun ini.

''Selain itu, Pepsi juga terkenal dengan personaliti terkenal sama ada tempatan atau antarabangsa yang membawa jenama produk kami dan pada dalam masa terdekat ini Pepsi akan memperkenalkan personaliti baru bagi penjenamaan semula Pepsi.

''Kami percaya dengan pengenalan personaliti ini dapat membantu menarik lebih banyak lagi penggemar dan pelanggan Pepsi,'' katanya.

Jenama Pepsi telah berkembang secara berterusan sejak diperkenalkan pada 1898, dengan logo reka bentuk semula dilakukan pada 1929.

Pada 1929, logo tersebut ditukar lagi dan akhir sekali pada 2007 apabila Pepsi meletakkan lebih daripada 30 latar belakang pada setiap tin.

Reka bentuk tersebut merupakan yang ke-15 bagi jenama identiti Pepsi.

Katanya, pengguna Malaysia yang terbuka dan Pepsi percaya mereka dapat mengetahui logo terbaru ini adalah relevan, menarik dan berkesan.

Melati berkata, Pepsi adalah salah satu jenama dikenali di dunia dan akan terus berkembang dan berinovasi dalam usaha kekal positif kepada pelanggan utama.

Identiti global terbaru ini, merupakan sebahagian daripada proses kreatif dan strategik sejajar dengan falsafah 'Refresh Your World'.

Selain itu, Selvarajah berkata, bagi Permanis mereka akan memperuntukkan sekitar RM6 juta untuk proses penjenamaan semula Pepsi dan ia akan dilakukan pada setiap tahun bagi jenama Pepsi.

''Kami akan memulakan program promosi selepas sambutan perayaan tahun baru Cina dan melalui promosi yang akan dilaksanakan nanti menyaksikan pertumbuhan digit berganda bagi jualan produk tersebut.

''Penguasaan pasaran Pepsi bagi segmen minuman ringan kola adalah sebanyak 35 peratus di Malaysia dan dengan penjenamaan baru ini Permanis menyasarkan pertumbuhan melebihi 10 peratus bagi jualan dan penguasaan pasaran untuk tempoh 12 bulan akan datang,'' jelasnya.

Pada masa ini, produk-produk Pepsi menyumbangkan kira-kira 25 peratus kepada perolehan keseluruhan Permanis.

Bergerak ke hadapan, Permanis menyasarkan untuk mengeluarkan satu hingga dua produk terbaru untuk syarikat mereka selain meneruskan usaha meningkatkan jualan dan penguasaan pasaran bagi produk Pepsi.

No comments:

Post a Comment