Thursday, April 1, 2010

MAHB lancar pelan lima tahun

2010/04/02
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan pelan lima tahun hala tuju perniagaannya yang menyaksikan pengenalan tiga teras utama untuk mencapai wawasan sebagai pengendali perniagaan lapangan terbang bertaraf dunia.

Teras berkenaan ialah:
•Meningkatkan jumlah tahunan penumpang domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada 60 juta menjelang 2014 dengan fokus memantapkan lapangan terbang itu sebagai hab generasi penerbangan masa depan; •Menyediakan perkhidmatan terbaik dengan mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan paling tinggi dan cemerlang berbanding pengendali lapangan terbang terbaik di seluruh dunia; dan


•Pelan pembangunan komersial sebagai pemacu utama mencapai pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan amortisasi (Ebitda) melebihi RM1 bilion, serta pulangan ke atas ekuiti sebanyak 10 peratus.

Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, berkata pelan hala tuju yang bermula tahun ini dan berakhir 2014 itu, merangkumi beberapa aktiviti pembangunan pengurusan dan operasi lapangan terbang di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, selain peningkatan dalam Ebitda, di akhir pelan itu pada 2014, MAHB menjangka pendapatan kumpulan turut meningkat melebihi RM3 bilion.
“Jika pemulihan dilihat di dalam pasaran kebelakangan ini berterusan pada tahun akan datang, syarikat turut berupaya mencatatkan pertumbuhan penumpang lebih tinggi daripada 60 juta seperti yang diunjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran pelan hala tuju lima tahun perniagaan MAHB yang dinamakan ‘Landasan Menuju Kejayaan: Membina Satu Perniagaan Lapangan Terbang Dunia 2010-2014’ di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang mewakili Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Hadir sama Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr Aris Othman.

Bashir berkata, pelan hala tuju itu bertujuan mewujudkan satu model perniagaan kukuh untuk pengembangan melangkaui Malaysia.

“Kami sedang mengkaji peluang perniagaan di seluruh dunia sambil merancang bagi melakukan pengambilalihan di masa depan,” katanya.

Beliau berkata, melalui aspirasi untuk membina ‘Perniagaan Lapangan Terbang Berkelas Dunia,’ MAHB perlu menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam memaksimumkan pendapatan dari aktiviti bukan aeronautika.

Justeru, katanya, MAHB kini sedang mencari pemaju hartanah untuk dijadikan rakan strategik bagi memajukan 1,105 hektar daripada 8,966 hektar simpanan tanah miliknya di sekitar KLIA.

“Kami menjangka dapat memuktamadkan rakan strategik untuk pembangunan tanah itu menjadi antara lain seperti kompleks komersial sebelum hujung tahun ini,” katanya

No comments:

Post a Comment