KUALA LUMPUR 27 April 2010 - Mutiara Goodyear Development Bhd., (Mutiara Goodyear), merancang memajukan beberapa projek hartanah di atas tanah simpanan miliknya yang melibatkan kos hampir RM3 bilion, dalam beberapa tahun akan datang.
Pengerusi Eksekutifnya Hamidon Abdullah berkata, Mutiara Goodyear mahu membangunkan beberapa projek hartanah mewah dan bercampur di Lembah Klang dan Pulau Pinang di atas tanah berjumlah 400 hektar.
Antara projek-projek yang bakal dibangunkan dan dilancarkan ialah di Taman Melawati, Kajang, Bandar Sunway serta di Bukit Gambir Pulau Pinang.
"Kesemua projek itu dimajukan di atas tanah simpanan kami dan lebih banyak simpanan tanah yang bersesuaian akan diperoleh pada masa depan kerana kesemua tanah tersebut akan habis dimajukan apabila projek yang dirancang siap," katanya selepas taklimat media di sini hari ini.
Menurut Hamidon, beliau kini mengenalpasti beberapa lokasi untuk meningkatkan bilangan simpanan tanah sedia ada dan sedang berunding dengan pihak-pihak tertentu untuk membelinya.
Beliau berkata, ada 40 hektar tanah yang berpotensi untuk dimajukan di sekitar Lembah Klang untuk dibeli oleh Mutiara Goodyear bagi tujuan pembangunan pada masa depan.
"Kita masih berunding dan berharap keputusan dapat dicapai dalam jangka masa terdekat ini," katanya.
Antara projek yang pernah dijalankan Mutiara Goodyear di Lembah Klang adalah Lagenda Mas di Cheras, Kondominium Dataran Prima di Kelana Jaya, Kondominium Vila Lagenda di Selayang, Kondominium Mutiara Upper East di Ampang dan Taman Mutiara Gombak di Gombak.
Hamidon berkata, Mutiara Goodyear melihat prospek hartanah di negara ini akan kembali positif berikutan perkembangan industri yang dilihat begitu pesat.
Ujarnya, pasaran hartanah dijangka kembali rancak berikutan ekonomi yang semakin pulih selain pemaju-pemaju mula menawarkan insentif-insentif serta rekaan yang memenuhi cita rasa pembeli.
"Ini satu perkembangan positif untuk industri hartanah negara dan berharap ia akan kekal untuk tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.
Tuesday, April 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment