KUALA LUMPUR 7 April 2010 - Worldwide Retail Store S.L., (WRS) merancang menghasilkan produk- produk seperti pakaian, buku dan beg berjenama National Geographic di Malaysia dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pere Matamales berkata, pada masa ini, produk-produknya direkabentuk di Eropah tetapi dikeluarkan di China sebelum diedarkan ke kedai-kedai di seluruh dunia.
Beliau berkata, rancangan itu sejajar dengan hasratnya untuk membuka antara 30 hingga 40 kedai National Geographic pada tahun ini.
"Kami mempunyai pengeluaran cukup untuk mula mengeluarkan produk di Asia," katanya selepas pembukaan kedai National Geographic di Lot 10, di sini hari ini.
Worldwide Retail Store merupakan rakan niaga Persatuan National Geographic yang berpusat di Barcelona, bertanggungjawab mengendalikan kedai National Geographic di seluruh dunia.
Matamales berkata, pihaknya memperuntukan kira-kira euro U7 juta (RM29.4 juta) untuk pelaburan jangka panjang bagi tujuan pengembangan operasi.
Katanya, dalam dua tahun ini, pihaknya mahu mengukuhkan kedudukan di Eropah dan Asia serta mula meneroka pasaran Amerika Latin.
"Pada tahun ini, kami akan membuka kedai-kedai di Mumbai, India pada bulan Jun; Sau Paulo, Brazil (September) dan mungkin Mexico, Chile dan Argentina, kedai utama di Barcelona, Sepanyol sebelum akhir tahun serta beberapa buah lagi di kebanyakan lapangan terbang di Sepanyol.
"Sementara itu, pada tahun depan kami mahu membuka kedai di Panama dan seterusnya mengembang ke Itali, Jerman, kedai induk di Tokyo, Jepun dan New York, Amerika Syarikat," jelas beliau.
Di China, katanya, WRS sedang memajukan dan berbincang dengan beberapa pihak-pihak yang terlibat dalam peruncitan untuk membuka beberapa ratus kedai kecil dengan keluasan bersaiz kira-kira 100 meter persegi.
"Kami bercadang membuka empat kedai utama menjelang tahun ini di Shanghai dan Dalian dengan keluasan 3,000 meter persegi dan di Shenzhen (9000 meter persegi) yang merangkumi sebuah muzium, ruangan interaktif dan kafe," ujarnya.
Menurut Matamales, pihaknya menjangka antara 40 hingga 45 peratus sumbangan dari Asia terhadap perolehan syarikatnya.
"Asia adalah pasaran terbesar di dunia dan dijangka menjadi nombor satu. Kami mahu mempunyai kehadiran di hampir semua negara di rantau itu," tegasnya.
Mengenai kedai di Lot 10, beliau menjelaskan, ia merupakan kedai kedua di Asia dan keempat di dunia selepas Regent Street di London, United Kingdom; Vivo City, Singapura dan lapangan terbang di Malaga, Sepanyol.
"Kedai ini dibuka secara usaha sama dengan YTL Corporation Bhd. yang lazimnya, kami memegang kira-kira 33 peratus kepentingan sebagaimana kerjasama dengan pihak lain dari negara lain.
"Ia meliputi kawasan seluas 450 meter persegi, menampilkan ruang runcit serta ruang pameran dan kafe ala Sepanyol yang menyajikan hidangan lazat," tambahnya.
Sehingga kini, Persatuan National Geographic mempunyai lebih 360 juta ahli dari seluruh dunia menerusi rancangan televisyen, program dalam talian dan majalahnya.
Wednesday, April 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment