Monday, April 19, 2010

RM10j naik taraf gedung kasut

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/20
Inisiatif Bata perkenal jenama produk kepada pengguna di seluruh negara

BATA Shoe Organization, menerusi anak syarikatnya, Bata (Malaysia) Sdn Bhd, akan melabur RM10 juta tahun ini bagi mengukuhkan kehadirannya di pasaran Malaysia dengan menaik taraf antara 24 hingga 40 gedung kasutnya di seluruh negara.

Pengerusinya, Thomas George Bata, berkata pelaburan itu bagaimanapun tidak termasuk peruntukan untuk meningkatkan kadar penembusan produknya di pasaran tempatan yang membabitkan pembukaan kira-kira 10 lagi gedung lagi di Malaysia. Katanya, setakat kini empat daripada 10 gedung berkenaan sudah dibuka iaitu dua di Semenanjung serta masing-masing satu di Sabah dan Sarawak, sekali gus meningkatkan jumlah cawangan syarikat itu kepada 260 di seluruh negara. “Tahun ini, pelaburan di Malaysia lebih kepada memperkenalkan jenama produk kami kepada pengguna tempatan bagi memperbetulkan pandangan umum yang sebelum ini tidak mengetahui Bata turut menawarkan produk berkualiti lain, termasuk segmen wanita dan lelaki.

“Kedai konsep Bata akan menerima suntikan rekaan ala Eropah yang mana ia dilaksanakan dengan tujuan memberikan imej baru mengikut cita rasa pengguna, daripada golongan kanak-kanak sehingga ke peringkat eksekutif,” katanya pada sidang media sempena lawatannya di Malaysia di Damansara Perdana, semalam.

Bata sebelum itu melawat operasi syarikat di Menara Bata dengan diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Bata bagi Asia Timur, Marcello Pace dan Pengarah Urusan Bata Malaysia, Luciano Bagnobianchi.

Jenama global bagi kasut itu kini mempunyai 70 syarikat di 60 negara serta memiliki lebih 4,700 gudang di seluruh dunia membabitkan empat konsep iaitu Bata City Stores, Bata Superstores, Athletes World dan gudang keluarga.

Bata menambah, pasaran Malaysia adalah antara yang terpenting di Asia Tenggara yang mana tahun lalu Bata Malaysia menjual hampir sembilan juta pasang kasut, sekali gus hampir menyamai jumlah jualan di Indonesia.

Dengan memberikan nafas baru dalam imej kedai konsepnya, beliau yakin bata dapat menarik minat lebih ramai pelanggan di kalangan golongan muda bagi meningkatkan penguasaan pasaran di Malaysia yang ketika ini sebanyak 11 peratus.

Sementara itu, Pace berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dipilih untuk merintis projek pemasaran dalam taliannya yang akan dilancarkan di beberapa negara seluruh dunia, Oktober ini.

Katanya, menerusi laman web itu pengguna bukan saja boleh menempah atau membeli hasil setiap rekaan kasut Bata atau jenama di bawah syarikat itu, malah setiap pembelian turut ditawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke kediaman pengguna.

No comments:

Post a Comment