Wednesday, April 7, 2010

Julie's mula bertapak di utara China

Su Chin Hock menunjukkan pelbagai jenis biskut Julie's di Alor Gajah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



ALOR GAJAH 7 April - Pengeluar biskut jenama Julie's, Perfect Food Manufacturing Sdn. Bhd. kini meluaskan pasarannya ke utara China selepas mula menembusi bahagian selatan republik itu sejak 20 tahun lalu.

Dengan membelanjakan RM5 juta untuk tujuan promosi pada Ogos tahun lalu, Perfect Food Manufacturing yakin mampu menarik pengguna di kawasan tersebut berdasarkan keunikan produk daripada segi bentuk dan rasa.

Pengarah Urusan Perfect Food Manufacturing, Su Chin Hock berkata, penyelidikan yang dilakukan mendapati kebanyakan penduduk di utara China seperti Shanghai, Beijing dan Hangzau lebih menggemari biskut rasa manis.

''Berbeza dengan penduduk selatan negara China, mereka lebih menggemari biskut perisa gandum.

''Walaupun berbeza, keadaan ini memudahkan penjualan biskut keluaran Julie's yang menawarkan pelbagai perisa untuk dijual di pasaran negara tersebut kerana China sebuah negara yang besar," katanya di kilang biskut Julie's di Klemak di sini, hari ini.

Syarikat itu yang mula mengeluar biskut pada 1980 kini menawarkan lapan jenis biskut pelbagai perisa.

Pada sidang akhbar itu, Chin Hock turut mengumumkan lawatan 41 ahli perniagaan dari China yang akan bekerjasama meningkatkan penjualan biskutnya di negara komunis itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang merancang beberapa strategi seperti melakukan demonstrasi rasa sebenar biskut Julie's di pasar raya - pasar raya.

''Kita menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta dalam tempoh setahun hingga akhir tahun ini dan mungkin jumlah itu lebih dari apa yang dijangkakan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment