Friday, April 2, 2010

KL Healthcare rancang buka 3 cawangan baru

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/04/03
Syarikat tumpu negeri ramai penduduk bagi matlamat jangka panjang

KL Healthcare Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perkhidmatan pencegahan penyakit terutama berkaitan jantung, menyasar untuk membuka tiga cawangan baru dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Eksekutifnya, Dr Mohd Rafik Ahmad Marican, berkata tiga lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan itu adalah Ipoh, Melaka dan Johor Bahru.

Katanya, pembukaan cawangan baru itu sejajar matlamat jangka panjang syarikat untuk mewujudkan cawangan di lokasi menjadi tumpuan orang ramai serta mempunyai ramai penduduk. Beliau berkata, cawangan baru itu kelak akan dilengkapi kemudahan canggih bagi menawarkan perkhidmatan pencegahan penyakit, tetapi ia lebih bersifat sebagai sokongan kepada pusatnya perkhidmatan utama di Kuala Lumpur.

Daripada tiga cawangan baru terbabit, Ipoh dijangka yang pertama dibuka iaitu menjelang pertengahan tahun ini, katanya pada majlis perasmian KL Healthcare oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur, semalam.

KL Healthcare yang beribu pejabat di Plaza Sentral Kuala Lumpur diwujudkan dengan pelaburan RM20 j uta, termasuk RM5 juta bagi pembelian peralatan.

Pusat itu yang memulakan operasi sejak Mac 2006, menawarkan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan dan pencegahan penyakit seperti pemeriksaan kesihatan menyeluruh, sakit jantung dan pemeriksaan kanser.

Sementara itu, Mukriz berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Selasa lalu bagi mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serta mencapai status negara maju menjelang 2020, mempunyai struktur menyeluruh ke arah memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan MEB telah menyatakan dengan jelas pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup rakyat semua kaum.

Bagi saya MEB mempunyai tafsiran lengkap untuk dijayakan yang mana dalam pelaksanaannya kita ada Gagasan 1Malaysia di atas dan disokong oleh Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan MEB, manakala asasnya ialah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11, katanya.

Beliau berkata, MEB mempunyai keseimbangan kerana selain menekankan pertumbuhan ke arah meningkatkan pendapatan perkapita rakyat, ia turut memberi perhatian rakyat berpendapatan rendah yang mewakili 40 peratus penduduk tidak terpinggir daripada arus perdana.

Mukriz berkata, cara penetapan MEB yang mengambil kira maklum balas pelbagai pihak adalah langkah luar biasa dan permulaan yang baik kepada Malaysia.

No comments:

Post a Comment