Sunday, April 4, 2010

Flora Bliss bangunkan kediaman eksklusif dalam bandar

KUALA LUMPUR 4 April 2010 - Syarikat pegangan pelaburan pembangunan, Flora Bliss Property Development Sdn. Bhd,. (Flora Bliss) merancang melaksanakan lagi projek kediaman eksklusif dalam bandarnya selepas berjaya membangunkan projek pertamanya, The Pearl@KL City Centre.

Projek The Pearl@KL City Centre yang berharga RM793 juta mendapat sambutan menggalakkan.

Jurucakap jualan Flora Bliss, Siti Mariam Mohd. Desa berkata, pembangunan projek seumpama itu, menjanjikan pulangan menarik selain mencipta imej dan prestij pembangunan terbaik di ibu kota.

Beliau berkata, sentimen pembeli pada waktu ini juga semakin positif terhadap konsep kediaman mewah dalam bandar khususnya di kalangan ahli perniagaan, profesional, para pelabur dan sebagainya.

"Pembangunan kediaman dalam bandar kami berbeza kerana menampilkan ruang yang luas, moden dan kontemporari selain lokasi pembangunan juga strategik iaitu terletak di ibu kota,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Flora Bliss adalah syarikat usaha sama pelaburan tiga institusi kewangan di bawah konsep musyarakah melibatkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Kuwait Finance House Bhd. (KFH) dan Inai Berkat Sdn. Bhd.

Siti Mariam berkata, projek The Pearl yang bermula awal tahun lalu dan dijangka siap pada tahun depan.

The Pearl@KL City Centre setinggi 41 tingkat mengandungi 178 buah kediaman yang mempunyai keluasan daripada 288.8 meter persegi (3,109 kaki persegi) sehingga 1,030.01 meter persegi (11,087 kaki persegi).

Harga terendah yang ditawarkan melalui The Pearl@KL City Centre adalah dari RM2.5 juta hingga RM31.6 juta sebuah.

Kondominium mewah turut menawarkan empat buah rumah penthouse.

Bagi penthouse berkeluasan 739.34 meter persegi, dua buah kediaman itu ditawarkan pada harga RM22.67 juta sebuah manakala bagi 1,030.01 meter persegi, dua buah kediaman ditawarkan pada harga RM31.60 juta sebuah.

Siti Mariam berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual semua kediaman yang ditawarkan sehingga akhir tahun ini.

Katanya, sambutan itu digalakkan oleh keyakinan ramai terhadap pemulihan ekonomi tempatan.

"Sehingga kini, 60 peratus daripada 178 buah kediaman sudah dijual dan 40 peratus lagi dijangka dapat dihabiskan sehingga akhir tahun ini.

"Sebanyak 70 peratus pembeli merupakan rakyat tempatan manakala 30 peratus lagi warga asing,'' ujarnya.

Siti Mariam berkata, selain melantik penasihat pemasarannya iaitu Pan-Asia Property Management Sdn. Bhd., Flora Bliss merancang mengadakan siri jelajah Asia bagi mempromosi The Pearl@KL City Centre di persada antarabangsa.

Sehingga kini, katanya, Flora Bliss sudah mengadakan jelajah ke India dan menyaksikan sambutan yang baik daripada kalangan usahawan dan korporat di sana.

"Kami turut menerima tempahan daripada beberapa orang kenamaan dari negara itu,'' ujarnya.

Selain India, Flora Bliss dijangka akan mengadakan jelajah ke Singapura dan Hong Kong pada suku kedua tahun ini.

Siti Mariam berkata, pihaknya turut merancang mempromosi kediaman mewah itu di Sabah dan Sarawak kerana yakin ramai pembeli berpotensi dari Malaysia Timur yang terdiri daripada ahli perniagaan yang mempunyai pejabat dan urusan di sini.

No comments:

Post a Comment