Thursday, April 8, 2010

Hong Leong rancang buka 10 cawangan lagi

PUCHONG 8 April 2010 - Hong Leong Bank Bhd. (HLBB) merancang membuka 10 buah cawangan dalam tempoh 18 bulan dengan pelaburan berjumlah RM20 juta.

Kini bank itu mempunyai 186 cawangan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Yvonne Chia berkata, pembukaan cawangan baru itu sejajar dengan strategi bank untuk memperluaskan perniagaan dan pengaruhnya di negara ini.

Jelasnya, selain membuka bank baru, peruntukan sebanyak RM20 juta itu membabitkan kerja-kerja pengubahsuaian bank-bank cawangan sedia ada.

"Kami mahu perniagaan berkembang di negara ini sejajar dengan pemulihan ekonomi negara.

"Selain itu, HLBB mahu membuka bank-bank cawangan di kawasan pertumbuhan baru dan berhampiran dengan komuniti,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian dua buah cawangan HLBB di Bandar Puteri Puchong dan Kelana Jaya di sini hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng.

Ketika ditanya mengenai pertumbuhan dalam segmen pinjaman, pihaknya menyasarkan pertumbuhan sebanyak sembilan hingga 10 peratus tahun ini.

Katanya, kadar itu meningkat berikutan keyakinan orang ramai selain perkhidmatan yang ditawarkan HLBB semakin meluas.

"Kami ingin berkembang secara dalaman (organik) dan memberi perhatian terhadap perbankan pengguna dan korporat,'' ujarnya.

Selain itu, Chia menambah, asas pelanggannya kini sebanyak 2 juta orang di negara ini setakat Mac lalu.

Katanya, pihaknya turut menjangkakan pertumbuhan sebanyak lapan peratus asas pelanggan pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment