Sunday, April 4, 2010

Perniagaan, minat dorong Maxis sertai perlumbaan Lotus

SEPANG 4 April 2010 - Peluang perniagaan dan minat mendorong Maxis Bhd. mengambil bahagian sebagai penaja rasmi Perlumbaan Lotus.

Tidak wujud unsur campur tangan politik dalam keputusan yang dibuatnya, kata Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean-Pascal Van Overbeke, kepada pemberita semasa majlis makan tengah hari bersama media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Syarikat-syarikat Malaysia haruslah membantu satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila melibatkan maruah negara, katanya.

Beliau berkata, syarikat itu menerima banyak respons positif terhadap penglibatannya dalam Formula One dan merasa pasti ini akan membawa faedah kepada Maxis dan pelanggannya.

Formula One biasanya menarik 400 juta hingga 600 juta peminat yang menonton televisyen di seluruh dunia, menjadikannya acara sukan global yang menarik jumlah penonton ketiga terbesar selepas Piala Dunia FIFA dan Sukan Olimpik.

Maxis adalah penyedia perkhidmatan komunikasi terkemuka Malaysia dengan lebih 12.3 juta langganan mudah alih setakat akhir 2009.

"Kami amat komited, bukan sahaja menaja malah juga dari aspek pertukaran teknologi, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan, dan segalanya," kata Van Overbeke.

Sejak 2009, Maxis telah menjadi penyedia rasmi perkhidmatan sambungan tepat masa jalur lebar besar yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi bagi SIC , yang membolehkan ahli-ahli pasukan perlumbaan berkomunikasi dengan lancar.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Enterpris Maxis, Fitri Abdullah berkata, permintaan bagi sambungan daripada kumpulan media serta pasukan yang mengambil bahagian amat menggalakkan.

"Tahun lepas, kami mula memasang wayar gentian optik di Litar Sepang. Tahun ini kami menandatangani kontrak lima tahun sebagai pemasang wayar utama.

"Sepang juga merupakan litar Formula One pertama yang menggunakan Internet metro," jelasnya.

Bagi pelanggan Maxis, Ketua Perkhidmatan Pembangunan Produk dan Perkhidmatan Infohiburan Maxis, T. Kugan berkata, mereka akan menerima capaian serta merta kepada berita dan maklumat Perlumbaan Lotus serta prestasi pasukan melalui peranti mudah alih dan komputer mereka.

Mereka boleh menikmati perkhidmatan ini pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui peringatan SMS/MMS, jalur lebar serta melalui portal khas Maxis, Malaysian GP Wap Portal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment