Sunday, April 18, 2010

Produk SimplySiti ke pasaran ASEAN akhir tahun

Siti Nurhaliza menunjukkan produk kosmetik dan penjagaan kulit jenama SimplySiti.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 18 April 2010 - Produk kosmetik dan penjagaan kulit SimplySiti dijangka berada di pasaran negara-negara ASEAN selepas berjaya mengukuhkan jenama itu sebagai satu produk Malaysia.

Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berkata, syarikat itu kini sedang melancarkan promosi agresif untuk meletakkan jenama SimplySiti pada landasan kukuh dalam industri kosmetik negara.

''Untuk tempoh dua bulan ini, kita akan melaksanakan pelbagai program promosi untuk memastikan semua wanita menyedari kehadiran SimplySiti di pasaran,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Sekiranya proses itu berjaya, SimplySiti Sdn. Bhd. mahu meneroka pasaran Indonesia dan Singapura.

Siti Nurhaliza berkata, mengikut perancangan, SimplySiti akan berada di pasaran kedua-dua negara itu sebelum akhir tahun ini.

Malah, katanya, proses perbincangan mengenai pengedaran dan penjualan SimplySiti juga masih dijalankan, namun tidak menolak kemungkinan akan menjual produk kosmetik dan kecantikan itu sama seperti di Malaysia.

Di Malaysia, produk SimplySiti boleh didapati di lebih 200 cawangan Watson di seluruh negara sementara Jusco tidak lama lagi.

Siti Nurhaliza berkata, tidak hanya Indonesia dan Singapura, syarikat itu turut menimbang untuk memasuki pasaran Timur Tengah dan India pada masa akan datang.

Bagaimanapun, jelas beliau, kosmetik dan produk penjagaan kulit SimplySiti perlu menghasilkan kandungan yang berbeza, mengikut cuaca penduduk di negara terbabit.

''Jadi, perkara-perkara begini perlu diambil kira sebelum kita meluaskan produk ini ke negara lain,'' tambahnya.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza berkata, biarpun SimplySiti tidak sampai sebulan diperkenalkan di pasaran tetapi jualannya sungguh memberangsangkan.

Jelasnya, perkembangan positif itu merangsang SimplySiti Sdn. Bhd. untuk terus memastikan produk berkenaan dijual di lokasi yang tepat untuk memudahkan setiap wanita mencubanya.

Beliau menambah, SimplySiti adalah produk untuk semua dan selaras dengan itu, kosmetik dan rangkaian penjagaan kulit jenama itu dijual pada harga kompetitif, meskipun kualitinya setanding jenama antarabangsa.

Siti Nurhaliza menambah, SimplySiti bakal mengeluarkan minyak wangi tidak lama lagi, selain produk makanan tambahan.

No comments:

Post a Comment