Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/04/05
Hotel peruntuk RM500,000 laksana promosi mantapkan jenama
DOUBLETREE by Hilton Kuala Lumpur menyasarkan kadar kunjungan dan penginapan antara 60 hingga 70 peratus dalam tahun pertama operasinya nanti.
Pengurus Besarnya, Ian Barrow, berkata pihaknya memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai strategi pemasaran dan promosi bagi memantapkan kehadiran jenama hotel itu di Malaysia.
Katanya, hotel terletak di Jalan Tun Razak yang sebelum ini dikenali hotel Crown Princess menjalani proses pengubahsuaian membabitkan kos kira-kira RM100 juta yang dilaksanakan MGPA, syarikat perunding pelaburan hartanah di Kepulauan Bermuda. Malaysia adalah pasaran yang dinamik bagi perniagaan serta pelancongan dan dijangkakan terus mengukuh tahun ini, mengambil kira persekitaran ekonomi global bertambah baik.
Justeru, kami yakin penerokaan kami di pasaran negara ini akan mengukuhkan lagi jenama Doubletree by Hilton di Asia Pasifik memandangkan kami sudah membuka empat hotel di China sebelum ini, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Pemasaran dan Komunikasinya, Cindy Wong.
Barrow berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menguruskan hotel baru atau sedia ada di Malaysia menerusi jenama Doubletree by Hilton jika ada permintaan kukuh ke arah itu.
Doubletree by Hilton Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini menyediakan 540 bilik penginapan mewah dengan harga korporat daripada RM350 selain lebih 20,000 kaki persegi ruang mesyuarat dengan dua dewan besar, pusat perniagaan canggih serta lima restoran bagi pilihan pelanggan.
Ia adalah sebahagian projek hartanah bercampur bertaraf dunia The Intermark di Jalan Tun Razak merangkumi podium perniagaan dan menara pejabat mewah yang dijangkakan siap sepenuhnya menjelang akhir 2012.
Hotel berkenaan termasuk dalam rancangan pembangunan dan pengubahsuaian empat mercu tanda di sepanjang Jalan Tun Razak membabitkan Bangunan Empire Tower, City Square, Plaza Ampang dan hotel Crown Princess yang sudah berusia antara 14 hingga 17 tahun.
Keseluruhan projek bernilai RM1.3 bilion yang bakal dikenali sebagai The Intermark itu antara lain akan merangkumi perubahan wajah Empire Tower yang dinaik taraf menjadi bangunan pejabat gred A setinggi 62 tingkat dan akan dikenali sebagai Vista Tower.
Barrow berkata pihaknya juga sedang memberi tumpuan bagi pengambilan 420 pekerja bagi mengisi keperluan hotel itu.
Kami sedang mencari tenaga kerja berpotensi dan memberi tumpuan kepada usaha prapembukaan hotel ini dari segi melatih dan membangunkan pasukan kerja baru untuk menyemaikan budaya unik dan gaya perkhidmatan jenama Dou-bletree by Hilton, katanya.
Hotel Doubletree by Hilton Kuala Lumpur itu adalah di bawah Hilton Worldwide, syarikat hospitaliti terkemuka yang mempunyai 227 hotel dengan 57,650 bilik penginapan di bawah jenama Doubletree dan Doubletree by Hilton di seluruh dunia.
Hilton Worldwide turut mempunyai perancangan membuka 18 cawangan lagi menerusi jenama Doubletree dan Doubletree by Hilton termasuk dua lagi di Asia Pasifik pada masa depan
Sunday, April 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment