Wednesday, April 7, 2010

TM perkenal perkhidmatan iTalk Whoa

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/08
Pelanggan ditawar kadar serendah 11 sen seminit bagi panggilan antarabangsa guna internet

TELEKOM Malaysia Bhd (TM), menambah nilai perkhidmatan prabayar iTalk dengan memperkenalkan iTalk Whoa, yang menawarkan panggilan antarabangsa pada kadar serendah 11 sen seminit menerusi internet.

iTalk Whoa, adalah laman web khas yang berfungsi bagi memudahkan pengguna membuat panggilan, menghantar SMS dan emel serta kemudahan interaktif lain, termasuk rangkaian sosial tersendiri. Naib Presiden Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung, berkata menerusi pengenalan tambah nilai pada perkhidmatan iTalk itu, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh 500,000 pengguna iTalk menjelang akhir tahun.

Katanya, pengenalan kemudahan baru itu menepati cita rasa pengguna, khususnya golongan muda dan eksekutif profesional yang lebih cenderung menggunakan saluran internet untuk berhubung dan membuat panggilan antarabangsa.

“Bagi menarik golongan ini, kami menawarkan panggilan komputer peribadi (PC) ke PC percuma, panggilan ke seluruh negara serendah 18 sen seminit dan kadar panggilan antarabangsa terendah meliputi 79 negara.

“Kewujudan banyak ‘hotspot WiFi’ dan kemudahan jalur lebar antara elemen penting yang mengukuhkan keyakinan kami untuk me-wujudkan perkhidmatan ini,” katanya pada pelancaran perkhidmatan baru itu di Petaling Jaya, semalam.

iTalk Whoa turut menawarkan kadar SMS dari PC sebanyak 10 sen untuk setiap SMS tempatan, manakala 60 sen untuk setiap SMS antarabangsa. Panggilan antarabangsa bermula serendah 11 sen.

Selaian itu, TM turut melancarkan kempen dengan menawarkan kredit iTalk percuma bernilai RM5 kepada 8,000 pengguna terawal yang berdaftar untuk mencuba laman web iTalk Whoa yang boleh diakses menerusi www.italkwhoa.com.

Kung berkata, perkhidmatan iTalk Whoa itu akan dibangunkan dalam fasa kedua menjelang suku ketiga tahun ini bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan interaktif menarik lain, termasuk panggilan Video dan e-dagangan.

Katanya, perkhidmatan ini akan dibangunkan dengan kerjasama dengan syarikat lain, khususnya bagi memenuhi keperluan dan permintaan pasaran.

No comments:

Post a Comment