Wednesday, March 31, 2010

MAHB umum pelan perniagaan

KUALA LUMPUR 31 Mac 2010 - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sedang menimbang dua lagi pelaburan atau pengurusan lapangan terbang di Asia pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid berkata, pihaknya telah menerima beberapa tawaran untuk pelaburan atau menguruskan lapangan terbang pada tahun ini dan sedang menimbangkan satu atau dua cadangan.

''MAHB tidak ada pada kedudukan untuk mengumumkan nama pada masa ini, tetapi kami sedang menimbangkannya. Ia adalah bagi lapangan terbang sedia ada di Asia.

''Idea kukuh mengenai cadangan itu dijangka pada pertengahan tahun ini. Kami sedang berbincang mengenainya pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pembentangan korporat MAHB di Persidangan Invest Malaysia 2010, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan MAHB, Faizal Mansor.

MAHB juga akan membentangkan pelan perniagaannya untuk tempoh lima tahun esok.

Selain itu, MAHB menyasarkan peningkatan 20 peratus kepada RM420 juta bagi perniagaan runcitnya pada tahun ini berbanding 15 peratus atau RM350 juta tahun lalu.

''Perniagaan runcit kami berada dalam keadaan sangat baik pada tahun ini dan berharap ia akan terus kekal," kata Faizal.

Sementara itu, mengenai perkembangan pembinaan Terminal Penerbangan Tambah Murah (LCCT) yang baru, Bashir Ahmad berkata, setakat ini syarikat telah menganugerahkan dua kontrak untuk kerja-kerja tanah dan MAHB melakukan tender terbuka, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

''MAHB menjangkakan pembinaan LCCT baru akan siap sepenuhnya menjelang awal 2012 kerana kami terpaksa melaksanakannya secara tawaran tender terbuka. Ia memakan masa yang lama untuk memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Pada tahun ini juga, dua buah syarikat penerbangan luar negara akan mula beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu pada bulan Mei dan Jun.

Ketika ditanya mengenai tanah MAHB berhampiran KLIA seluas 6,000 hektar, Bashir berkata, mereka bersedia mengkaji semula pelan induk yang terbengkalai pada 1998.

''Ia akan diumumkan semasa pembentangan pelan perniagaan MAHB esok," katanya

No comments:

Post a Comment