Sunday, February 28, 2010

Kempen 'demam bola sepak' TM bermula

KUALA LUMPUR 28 Feb 2010 - Sempena dengan Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan, Telekom Malaysia Bhd. (TM) telah memulakan kempen 'demam bola sepak' dengan memperkenalkan siri kad panggilan prabayar iTalk edisi terhad yang menampilkan pasukan bola sepak kebangsaan England.

Kad iTalk edisi terhad itu memaparkan empat gambar pasukan bola sepak England yang eksklusif seperti logo pasukan, empat pemain pilihan dan gambar pasukan.

Kad-kad ini boleh didapati dalam denominasi RM10, RM20 dan RM30, di samping menikmati masa bualan tambahan percuma bernilai RM3 dan RM5 dengan setiap pembelian kad iTalk edisi terhad England bernilai RM20 dan RM30.

Naib Pengerusi, Produk Runcit TM, Azizi A. Hadi berkata, bola sepak memang menjadi ikutan di kalangan belia Malaysia dan ini terbukti semasa lawatan pasukan Manchester United ke Malaysia pada tahun 2009, yang mana TM merupakan Rakan Kongsi Telekomunikasi Rasmi bagi Siri Jelajah Asia Manchester United 2009.

''Kami berharap melalui medium universal seperti sukan ini, TM dapat mengukuhkan lagi kedudukan di kalangan peminat dan pengguna melalui penyokong-penyokong pasukan bola sepak England tempatan.

''Teruskan bersama TM kerana pastinya ada kejutan bagi para peminat bola sepak tempatan pada bulan Mac dan April tahun ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kad prabayar iTalk edisi terhad England boleh didapati di semua TMpoint di seluruh negara dan wakil jualan iTalk terpilih sementara stok masih ada.

iTalk adalah kad panggilan prabayar yang membolehkan pengguna membuat panggilan antarabangsa dan tempatan pada kadar yang kompetitif.

iTalk boleh digunakan dengan sebarang telefon mudah alih atau talian tetap.

Dengan iTalk, para pengguna boleh menikmati kadar panggilan ke seluruh negara dari serendah 15 sen seminit untuk panggilan dari talian tetap ke talian tetap dan juga kadar panggilan berdaya-saing untuk panggilan antarabangsa dari serendah 10 sen seminit.

iTalk juga menawarkan penjimatan besar untuk ciri panggilan 'home country' yang ditawarkan oleh beberapa produk iTalk, yang mana para pengguna boleh membuat panggilan dari luar negara dan panggilan itu akan dicaj dalam ringgit Malaysia (RM).

Di samping itu, pengguna iTalk juga boleh menikmati kelebihan lain seperti tempoh sah penggunaan selama enam bulan dari tarikh pengaktifan, kemudahan tambahan nilai melalui portal-portal dalam talian bank-bank utama, kedai runcit dan kiosk dan juga keupayaan untuk mengawal kadar mudah alih anda tanpa mengubah nombor atau rancangan panggilan anda.

iTalk boleh didapati di lebih 11,000 pusat pengedaran di seluruh negara, termasuklah semua TMpoint di seluruh negara, mesin ATM Maybank Kawanku, kedai-kedai telefon mudah alih, stesen-stesen minyak dan kedai serbaguna yang mempamerkan tanda iTalk atau secara online di Maybank2u, RHBBank, CIMBClicks dan Mobile88.

Perodua bakal lancar MyVi 1.5 liter

KUALA LUMPUR 28 Feb 2010 - Perodua bakal memperkenalkan model terbaru dari varian MyVi dengan enjin berkapasiti 1.5 liter menjelang suku pertama tahun depan.

Model itu mengambil model asas atau kerangka MyVi sedia ada dengan mengekalkan 'DNA' modelnya yang paling laris itu sambil membuat sedikit perubahan ke atas 'jelmaan baru' tersebut.

Pengarah Urusan Perodua Aminar Rashid Salleh ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tentang pelancaran model itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang spesifikasi serta maklumat terperinci.

"Memang benar Perodua akan melancarkan varian MyVi 1.5 tetapi ia akan dilakukan pada tahun 2011, kemungkinan bulan April dan untuk model SE pula ia akan menampilkan wajah baru yang akan mencipta kejutan kepada para peminat kenderaan di Malaysia pada bulan Jun nanti," kata beliau.

Aminar yang tidak mahu mengulas lanjut tentang model itu, percaya MyVi terbaru itu akan menjadi taruhan Perodua untuk kekal sebagai pengeluar kereta nombor satu di Malaysia selama empat tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, Aminar Rashid juga berkata, Perodua tidak bercadang untuk memperkenalkan model kereta hibrid ke pasaran tempatan.

Ini kerana katanya, pelaburan untuk model seumpama itu amat tinggi, lagipun model-model Perodua ketika ini telah terbukti mampu menawarkan penjimatan penggunaan bahan api.

"Kebanyakan pengeluar kereta memperkenalkan hibrid untuk menjimatkan penggunaan bahan api supaya lebih efisien dan mesra alam tetapi apa yang kami keluarkan telah memenuhi kehendak pasaran selain enjin kami tidak berkapasiti besar," katanya.

Beliau berkata, model-model Perodua sememangnya cukup efisien dari segi penggunaan bahan api serta mesra alam dan pengenalan model hibrid tidak akan dilakukan pada masa depan.

Bagaimanapun, Aminar Rashid tidak menolak sebarang kemungkinan yang wujud pada masa depan kerana perkara sedemikian adalah di luar kawalannya selain berdasarkan permintaan pasaran atau faktor-faktor lain.

Thursday, February 25, 2010

New Horizans mahu buka 11 pusat latihan

Mohit Pande (kiri), Darius Shey dan Datuk Idrus Mohd. Satha (kanan) menandatangani perjanjian dengan Microsoft di Pertaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 25 Feb 2010 - New Horizons Computer Learning Centers Malaysia (New Horizon) memperuntukkan RM6 juta untuk membuka 11 pusat latihan di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idrus Mohd Satha berkata, setakat ini syarikat telah membuka enam cawangan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Bahru.

''Lima lagi cawangan akan dibuka pada di Melaka, Seremban, Sungai Petani, Ipoh dan Kota Bahru pada bulan hadapan. Apabila kesemua cawangan tersebut dibuka kami akan menjadi penyedia latihan teknologi maklumat korporat terbesar di Malaysia.

''New Horizon turut menyasarkan untuk mempunyai 10,000 penerima latihan di semua pusat latihan kami di seluruh negara menjelang akhir tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pembukaan Cawangannya di Petaling Jaya dan Majllis Memeterai Perjanjian dengan Microsoft di sini hari ini.
Hadir sama Naib Presiden Antarabangsa Kumpulan New Horizon, Darius Shey.

New Horizon Malaysia adalah anak syarikat milik penuh Cosmopoint Sdn. Bhd.

New Horizon menyediakan pelbagai bentuk latihan teknikal, aplikasi dan skil perniagaan yang bermula dari asas sehingga kepada aplikasi sistem perniagaan integrasi kompleks.

Idrus berkata, syarikat di Malaysia kini boleh menjalani latihan untuk kakitangan mereka di kesemua 11 cawangan ini atau lebih 300 lokasi di 60 negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Shey berkata, beliau yakin dengan pasaran dinamik Malaysia akan memberi kesan positif terhadap latihan IT kepada pelanggan.

'Disko Rojak' kian popular

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

AYUB Khan, 38, menyediakan rojak pasembor istimewa sambil menyebut perkataan 'rojak!...rojak!...rojak!...' mengikut irama muzik rancak atau disko di gerainya di tapak peniaga sementara Persiaran Gurney, Pulau Pinang.

--------------------------------------------------------------------------------

PULAU Pinang 25 Feb 2010 - Pulau Mutiara sememangnya terkenal sebagai syurga makanan baik kepada pelancong tempatan mahu pun dari luar negara.

Kepelbagaian jenis makanan yang ada mampu membuatkan seseorang itu mahu kembali lagi ke negeri ini.

Salah satu daripadanya yang sering menjadi pilihan pelancong adalah pasembur, iaitu pelbagai bahan makanan dan sayuran dihidangkan dengan kuah pekat.

Pasembur atau rojak yang sering menjadi tumpuan di sini boleh didapati di sekitar Padang Kota Lama, tapak penjaja sementara di Jelutong dan Persiaran Gurney.

Daripada bebola ikan, cucur udang, isi ketam dan udang hinggalah kepada aneka pilihan sayur-sayuran, adunan rojak ini yang telah dituang kuah membuatkan pengunjung tidak sabar menikmatinya.

Bagaimanapun, seorang pengusaha makanan di Persiaran Gurney melakukan inisiatif tambahan 'lain dari yang lain' apabila mengarahkan pekerjanya menghiburkan penonton dengan menari sambil melaungkan 'rojak! rojak!' mengikut irama disko.

Bagi mereka yang pernah ke gerai pasembur itu ia bukan perkara baru tetapi bagi pengunjung yang pertama kali pasti terpaku melihat gelagat pekerja kedai itu yang tanpa segan-silu bergelek dan menari-nari di hadapan ramai pelanggan.

Pada mulanya mesti ada yang menyangka terdapat persembahan hiburan sampingan di gerai itu, namun sebenarnya ia merupakan satu rutin harian yang dilakukan oleh seorang pekerja kedai pasembur 'Ayub Disko Rojak', Kalinder Mydin.

Anak kepada tauke kedai yang ditemui, Siti Nurhafizah Ayub Khan berkata, pertunjukan itu bertujuan menghiburkan pengunjung sambil menunggu makanan mereka disediakan.

Menurutnya, idea itu timbul setelah Kalinder menari sambil menuang kuah rojak milik seorang pelanggan dengan iringan lagu disko hits daripada Kumpulan Vengaboys berjudul 'Boom! Boom! Boom!' yang dipasang ayahnya pada satu hari.

''Sejurus mendengar lagu, Kalinder mula melaungkan 'rojak, rojak' mengikut iringan muzik dan gelagatnya itu membuatkan kebanyakan pelanggan tergamam dan akhirnya memberikan tepukan gemuruh kerana aksinya yang menghiburkan.

''Kejadian tidak disengajakan itu memberi idea kepada ayah dan sejak itu 'Ayub Disko Rojak' mula dipraktikkan ayah dan ia turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan yang kadang-kala turut sama menari," ujarnya.

Mengulas lanjut, Siti Nurhafizah berkata, paling membanggakan apabila media asing pernah membuat liputan kerana menyifatkan ia sebagai satu idea kreatif di samping hidangannya yang lazat.

Tambahnya, hidangan di situ bukan sahaja sedap tetapi dijual pada harga berpatutan mengikut saiz dan antara yang termurah di kalangan peniaga pasembur.

''Sebagai contoh, satu bebola ketam dijual pada harga 70 sen berbanding harga biasa RM1 dan begitu juga bahan makanan lain kerana yang paling penting bagi kami adalah memenuhi kepuasan pelanggan.

''Ayah saya juga pernah dijemput untuk mengadakan demonstrasi resipi pasembur istimewa kedainya di Korea Selatan, namun terpaksa ditolak disebabkan komitmen perniagaan.," jelasnya.

Selain di situ, ayahnya turut membuka cawangan di Padang Kota Lama dan Gelugor tetapi gerai di Persiaran Gurney ini yang paling banyak mendapat sambutan.

''Kami sekeluarga berterima kasih dan bersyukur kerana Kalinder bekerja dengan kami. Tanpanya, gerai kami mungkin tidak meriah seperti sekarang dan mendapat sambutan hangat pelanggan," ujarnya.

Sementara itu, Kalinder yang ditemui mengakui pertama kali dia menari sambil menyediakan juadah pasembur dilakukan secara spontan.

Tambahan pula, katanya, dia memang meminati irama disko sejak remaja lagi.

Dia yang berasal dari Bangalore, Pakistan turut menyuarakan rasa bangga kerana gelagatnya itu mendapat sambutan daripada pelanggan sehingga menjadi 'trademark' dan digelar 'Ayub Disko Rojak'.

''Saya tidak kisah dan tidak malu bergelek sepanjang hari sekiranya ia mampu menarik lebih ramai pelanggan kerana yang penting mereka mendapat kepuasan maksimum daripada layanan diberikan," katanya yang fasih bertutur bahasa Melayu.

Ekuinas labur RM40 juta dalam firma kecantikan (25/2/10)

Oleh Shahrizan Salian

shahrizan@bharian.com.my

EKUITI Nasional Bhd (Ekuinas) membuat pelaburan sulungnya bernilai RM40 juta dalam syarikat penjagaan peribadi dan kecantikan utama tempatan, Alliance Cosmetic Group (ACG).

ACG yang ditubuhkan pada 1995 mempunyai portfolio rangkaian produk mantap merangkumi jenama seperti Silkygirl, Silky White dan Stage, selain hak pengedaran eksklusif jenama global seperti Revlon di Malaysia, Singapura dan Brunei serta Elancyl di Malaysia.

Ia adalah pengedar terbesar produk kecantikan untuk pasaran luas di negara terbabit dan juga peserta kedua terbesar dalam pasaran minyak wangi Malaysia.

Pelaburan Ekuinas dalam ACG dibuat menerusi syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkannya secara usaha sama dengan Navis Capital Partners (Navis), antara firma ekuiti persendirian serantau terbesar yang memberi tumpuan terhadap pengambilalihan berorientasikan pertumbuhan di Asia dengan pelaburan yang diuruskan bernilai AS$2.5 bilion.

Ekuinas dan Navis secara bersama akan mengawal SPV itu yang memiliki 80 peratus kepentingan dalam ACG.

Bagaimanapun, pelaburan Ekuinas bernilai RM40 juta itu mewakili kepentingan ekonomi 20 peratus dalam ACG bagi memastikan penggunaan maksimum modal sektor swasta sejajar gesaan kerajaan menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pihaknya gembira dengan pelaburan pertama pengurus dana ekuiti milik kerajaan itu menerusi ACG yang juga syarikat tempatan dengan rekod pertumbuhan pendapatan mantap.

Katanya, pendapatan ACG berkembang daripada RM51 juta pada 2005 kepada kira-kira RM115 juta tahun lalu.

“ACG memenuhi kriteria pelaburan Ekuinas dan kami percaya syarikat itu mempunyai potensi untuk terus berkembang dan muncul sebagai peserta serantau dalam industri,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Ekuinas, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata selain peluang pertumbuhan domestik menerusi peluasan barisan produk baru dan sedia ada, satu daripada tarikan utama untuk melabur dalam ACG adalah peluang untuk membantu syarikat berkenaan berkembang pada peringkat serantau menerusi pasaran Asean.

Katanya, ia juga menyediakan peluang menjadikan Silkygirl daripada jenama sebenar Malaysia menjadi jenama serantau sebenar yang menawarkan produk bermutu tinggi pada harga kompetitif disasar kepada belia.

Ketua polis Algeria ditembak pegawai sendiri

26/02/2010 2:57am

ALGERIA 26 Feb 2010 - Ketua polis Algeria mati ditembak oleh seorang pegawai polis yang tiba-tiba bertindak gila di ibu pejabat polis hari ini, kata Menteri Dalam Negeri.

“Ali Tounsi mati ketika menjalankan tugas... dalam kejadian seorang pegawai polis jelas bertindak gila mengguna senjatanya dengan menerkam, menyerang dan mencederakan Kolonel Ali,” lapor agensi berita APS yang memetik kata-kata dalam satu kenyataan kementerian berkenaan.

Terdahulu, sumber pihak keselamatan memberitahu Reuters, Ali yang telah menyandang jawatan ketua polis lebih sedekad, telah ditembak di pejabatnya oleh pegawai kanan polis yang sedang bertengkar dengannya.

“Lelaki berkenaan kurang senang, dia menarik pistol lalu melepaskan tembakan ke arahnya. Pegawai polis yang ada di situ bertindak menembak balas,” kata sumber itu.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri itu berkata, selepas menembak ketua polis, penyerang telah menembak dirinya sendiri dan dia berada di hospital dalam keadaan parah . Tidak dinyatakan mengenai polis yang membuat serangan balas.

Jurugambar Reuters yang berada di luar ibu pejabat polis di tengah ibu kota itu berkata, kawasan berkenaan telah dibanjiri oleh pasukan polis termasuk barisan pegawai elit bersenjata. - Reuters

Wednesday, February 24, 2010

Google, bank tempatan tawar platform pembayaran baru

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Google dan enam bank tempatan memperkenalkan platform pembayaran terbaru untuk pelanggan program pengiklanan sejagat Google AdWordsnya.

Enam bank yang terlibat adalah Bank Islam, CIMB Bank, Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank dan RHB Bank.

Ketua Pemasaran Google Asia Tenggara, Derek Callow berkata, mulai hari ini pelanggan baru atau sedia ada AdWords boleh membayar kempen carian enjin pemasaran melalui perbankan internet menerusi MEPS FPX.

''Perbankan Internet semakin popular di Malaysia, pilihan pembayaran ini memberikan lebih kemudahan dan masa untuk perniagaan tempatan menguruskan dan membayar kempen mereka.

''Kami berbangga dapat menyediakan AdWords kepada pelanggan sebagai pilihan pembayaran tempatan pertama melalui MEPS FPX. Ini kerana kebanyakan pelanggan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) kami tidak mempunyai kad kredit atau tidak selesa menggunakannya bagi transaksi dalam talian,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Pelancaran Platform Pembayaran Tempatan AdWords di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat & Hubungan Awan Google Asia Tenggara, Dickson Seow.

Tambah Callow, pelanggan AdWords akan lebih menghargai fleksibiliti penggunaan mudah, penyelesaian perbankan selamat pada bila-bila masa dan di mana sahaja serta juga dapat memendekkan waktu memproses daripada 10 hari kepada sehari sahaja.

''PKS merupakan bahagian yang penting dalam ekonomi tempatan dan kami berbangga dapat menyokong serta membantu mengembangkan perniagaan mereka.

''Sebelum ini, pelanggan AdWords yang tidak menggunakan kad kredit akan menggunakan sistem perpindahan antarabangsa yang mengambil masa 10 hari untuk diselesaikan dan ini mengganggu perjalanan perniagaan mereka,'' jelasnya.

Pelanggan AdWords boleh mendaftar ke dalam akaun mereka dan memilih prabayar melalui MEPS FPX untuk memindahkan dana secara elektronik daripada akaun mereka kepada akaun AdWords.

Mereka juga boleh memilih akaun internet pelanggan atau akaun pengurusan korporat.

Google AdWords merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk mengiklankan produk terutama bagi PKS.

AdWords memaparkan proses mendaftar automatik serta murah dan membolehkan pengiklan meletakkan kempen mereka dalam tempoh 15 minit atau kurang.

Selain itu, penggunaan iklan dalam talian ini juga adalah fleksibel dan boleh di iklan atau ditarik balik pada bila-bila masa, bersesuaian dengan bajet yang ditetapkan serta pada waktu yang bersesuaian,

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan pada tahun ini bagi Google terutama untuk AdWords, Callow berkata, mereka akan meneruskan strategi promosi dan pengiklanan yang dibuat sekarang.

Perodua mahu perluaskan pasaran eksport

RAWANG 24 Feb 2010 - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bercadang untuk memperluaskan pasaran eksport pelbagai model kenderaan kompak keluarannya ke luar negara.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh berkata, ini termasuk meluaskan lagi pasaran di negara ASEAN seperti Thailand selain meneroka pasaran baru di Pakistan dan Afrika Selatan.

"Kita bercadang meningkatkan jualan sehingga 3,000 buah bukan sahaja dalam komponen enjin tetapi juga buah diimport sepenuhnya (CBU)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kenderaan Perodua Eco-Challenge di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Rujhan Mustafa.

Tahun lepas Perodua mengeksport sebanyak 2,000 buah kenderaan.

Bagi jualan domestik, Aminar Rashid berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 176,000 buah kereta berbanding 166,000 buah pada tahun lepas.

Januari lalu, Perodua berjaya menjual 16,200 buah kereta berbanding 11,900 buah yang dijual dalam bulan yang sama tahun lepas.

Menurut Aminar Rashid, penjualan yang kukuh juga telah berjaya mempertingkatkan penguasaan pasaran kepada 33 peratus berbanding 31 peratus pada Januari tahun lepas.

"MyVi terus menjuarai jualan dan mendapat sambutan hangat orang ramai namun model Alza yang baru diperkenalkan tiga bulan lalu turut mendapat sambutan menggalakkan dan sehingga semalam, Perodua menerima tempahan sebanyak 21,500 bagi model tersebut," katanya.

Mengenai Perodua Eco-Challenge, Aminar Rashid berkata, 27 institusi telah dijemput untuk menyertai pertandingan tersebut dan hanya 12 terpilih berdasarkan kertas kerja yang diberikan.

Selain menyediakan 12 buah kereta Perodua Viva 1.0 liter manual dan automatik kepada 12 peserta terpilih, turut menyediakan RM10,000 pada setiap peserta untuk tujuan pengubahsuaian kejuruteraan dan reka bentuk.

Pertandingan Perodua Eco-Challenge kali kedua ini bakal berlangsung pada 26 Jun depan di Sirkit Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan meliputi manual dan automatik yang menawarkan hadiah pertama sebanyak RM20,000; kedua (RM10,000) dan ketiga (RM5,000) serta kategori kejuruteraan, reka bentuk dan penyertaan sebanyak RM10,000 bagi juara, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Lotus Evora masuki pasaran Malaysia

HETHEL (United Kingdom) 24 Feb 2010 - Lotus Evora, yang dilancarkan bagi pasaran United Kingdom, akan memasuki pasaran Malaysia menjelang akhir bulan depan, kata Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir.

Beliau berkata, Proton sedang menunggu kumpulan baru kereta Lotus Evora sebelum 'kami bersedia bagi pelancaran'.

Walaupun menurutnya, syarikat itu belum memutuskan harga model itu, namun beliau tidak menafikan bahawa Lotus Evora berharga lebih tinggi daripada 50,000 pound (RM262,000) di United Kingdom sekarang.

"Ini disebabkan oleh struktur cukai Malaysia yang lebih tinggi daripada di U.K. Kami belum memutuskan harganya, kami masih membuat perkiraan. Kami cuba menjadikannya berdaya saing seperti dalam pasaran U.K.

"Kami masih berbincang dengan kerajaan selain mengkaji struktur harga," katanya pada satu sidang akhbar di ibu pejabat Lotus di sini, semalam.

Sidang akhbar itu diadakan sempena lawatan dua hari oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Lotus mulai Isnin.

Lotus Evora, yang pada mulanya dibangunkan di bawah projek yang diberi nama Project Eagle, dilancarkan pada British Motor Show pada Julai 2008.

Kereta itu lebih besar daripada model-model Lotus yang lain seperti Elise dan Exige.

Ditanya tentang rakan kongsi strategik yang disebutkan dalam ucapannya pada majlis makan malam pada Isnin lalu, Syed Zainal Abidin enggan menjelaskan lebih lanjut dan berkata masanya terlalu awal untuk membuat pengumuman.

"Perbincangan bukan sahaja melibatkan Volkswagen tetapi juga Mitsubishi dan Renault bagi mengkaji kerjasama dalam beberapa bidang, iaitu enjin dan komponen," katanya.

Terdahulu, Syed Zainal Abidin berkata, Proton telah menyenaraikan beberapa produk bagi lima tahun akan datang termasuk elektronik dan kuasa enjin.

"Kami sedang memajukan enjin campo turbo yang boleh didapati menjelang akhir tahun atau paling lewat menjelang awal tahun depan. Ini bakal menjadi ciri bagi semua kereta kami," katanya.

Selepas 25 tahun beroperasi, Syed Zainal Abidin berkata, Proton berhasrat menceburi arena antarabangsa dan Geneva Motor Show merupakan langkah pertama ke arah itu dan 'kami akan meneruskannya dari situ'.

Dr Mahathir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, banyak perubahan telah dibuat sejak lawatan terakhirnya ke Lotus kira-kira enam tahun lalu.

Beliau berkata, Lotus telah mencapai banyak kemajuan, baik dari segi prestasi sebenar mahupun idea yang dikemukakan oleh pengurusan.

"Saya telah melihat sebahagian daripada kemajuan teknologi yang telah mereka capai, dan seperti yang kita tahu, kereta yang saya pandu tadi, Evora, adalah daripada teknologi Lotus kerana kita berdepan dengan keperluan meningkatkan kuasa enjin.

"Jadi, ini soal sama ada kita tukar enjin atau naikkan taraf enjin. Lotus sebenarnya telah membantu menaikkan taraf enjin; ia sekarang sebagus 2,000cc," tegas beliau.

- BERNAMA

Mercedes-Benz tampil S-Class baru

MERCEDES-BENZ Malaysia Sdn Bhd menampilkan model generasi baru S-Class yang mengukuhkan komitmennya dalam jualan dan pengeluaran kenderaan Mercedes-Benz
di Malaysia.

Generasi baru S-Class yang dipasang di dalam negara itu didatangkan dalam tiga varian iaitu S300L, S350L dan S500L.

Bagi varian S500L, ia juga adalah kali pertama Mercedes-Benz Malaysia yang mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran kereta penumpang premium tempatan, menjual kenderaan dipasang sepenuhnya di dalam negara pada harga RM1 juta.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Florian Mueller, berkata syarikat itu menjangka menjual antara 350 hingga 400 unit model yang diberi wajah baru daripada siri S-Class W221 itu tahun ini.

Syarikat itu sudah menerima 60 tempahan bagi model S-Class dan menjangkakan bakal menerima 60 unit lagi selepas dilancarkan.

“Sasaran awal kami ialah varian S300L akan menyumbang 80 peratus daripada jualan model generasi baru S-Class, 18 peratus daripada varian S350L, manakala bakinya adalah menerusi varian S500L,” katanya selepas melancarkan generasi baru S-Class Mercedes-Benz di Kuala Lumpur, semalam.

Mueller berkata, model yang dipasang sepenuhnya di kilang pengeluaran di Pekan, Pahang itu menjadi penanda aras untuk industri permotoran masa depan.

Katanya, secara tradisinya model berkenaan dikenali menerusi keselesaannya yang luar biasa, teknologi inovatif dan ciri keselamatan yang komprehensif.

“Ciri-ciri terbabit kemudian menjadi daya ikutan utama dalam industri kereta salun mewah,” katanya.

Generasi baru S-Class ditampilkan dengan pelbagai sistem elektronik pintar yang dapat membantu meningkatkan tahap perlindungan pemandu, cara pemanduan serta ciri-ciri hiburan di dalam kenderaan.

Selain itu, reka bentuk penalaan aerodinamik membolehkan model generasi baru itu mengurangkan penggunaan bahan bakar dan pelepasan karbon dioksida sehingga tujuh peratus.
Varian S300L dijual pada harga RM649,888; S350L berharga RM835,888 dan S500L dijual pada RM1 juta.

KTMB tawar diskaun tiket sempena Matta Fair 2010 12-14 Mac

24/02/2010 6:24pm


KUALA LUMPUR 24 Feb. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan 25 peratus diskaun untuk pembelian tiket ke semua destinasi antara bandar bersempena dengan Matta Fair 2010 pada 12 hingga 14 Mac ini.

Pengurus Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, tiket-tiket itu boleh didapati di gerai pameran KTMB pada hari berkenaan dan sah diperlakukan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pembelian.

"Kepada pengunjung Matta Fair 2010 yang datang membeli tiket di gerai kami, kami akan memberi potongan tidak kira satu atau dua tiket,” katanya pada sidang media di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.

Antara promosi lain yang ditawarkan adalah diskaun tiket 25 peratus untuk kereta api antara bandar menghala ke stesen Sentral Kuala Lumpur dengan pembelian empat keping tiket bermula dari 11 Mac sehingga lima hari berikutnya.

"Diskaun ini akan diberikan jika pembeli membeli tiket secara berkumpulan dengan minimum empat orang di mana-mana stesen KTMB dengan menyatakan kunjungan mereka ke Matta Fair 2010,” katanya.

Matta Fair 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dijangka dihadiri 80,000 pengunjung dan hampir 900 gerai pameran, yang turut menyaksikan penyertaan negara-negara dari rantau Asia dan Amerika Tengah seperti Mexico. – Bernama

MAS akan lancar dua penerbangan terus Johannesburg-KL

24/02/2010 6:26pm

DUBAI 24 Feb. – Malaysia Airlines akan melancarkan penerbangan terus dua kali seminggu dari bandar raya Afrika Selatan, Johannesburg ke Kuala Lumpur mulai 30 Mac ini, menjadikan jumlah penerbangan berjadual perjalanan itu kepada empat kali seminggu.

Dua penerbangan pada Selasa dan Jumaat itu merupakan tambahan kepada penerbangan sedia ada yang beroperasi Isnin dan Khamis.

Pengurus kawasan Afrika Selatan dan Tengah Malaysia Airlines, Yusnodjarwadi Said berkata, syarikat penerbangan itu gembira kerana dapat menawarkan lebih banyak kapasiti ke ibu negara Malaysia dari Johannesburg.

"Permintaan penumpang menunjukkan peningkatan bagi sektor Johannesburg-Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lepas disebabkan tambang yang amat kompetitif yang kami tawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini menunjukkan permintaan yang baik bagi penerbangan Malaysia Airlines memandangkan kami juga menawarkan banyak faedah tanpa tambahan bayaran seperti elaun bagasi 20 kilogram, tempat duduk khusus dan makanan.”

Penerbangan baru itu akan berlepas dari Johannesburg pada pukul 1.40 petang, tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu tempatan) hari berikutnya.

Penerbangan dari Kuala Lumpur pada Selasa, Rabu, Jumaat dan Ahad akan berlepas pada 1.20 pagi dan tiba di Johannesburg pada hari yang sama pada 6 pagi. – Bernama

Tuesday, February 23, 2010

Langsat Terminal labur RM590 juta sediakan kemudahan penyimpanan

JOHOR BAHRU 23 Feb 2010 - Langsat Terminal (One) Sdn. Bhd. telah melabur RM590 juta untuk mengadakan kemudahan tangki penyimpanan minyak dengan kapasiti 480,000 meter padu di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini.

Pengerusinya, Ngau Boon Keat berkata, projek itu mengandungi tiga fasa di mana fasa pertama melibatkan pembinaan tujuh tangki simpanan Nafta dan penyulingan pertengahan dengan kemampuan penyimpanan 130,000 meter padu yang siap dan beroperasi pada September tahun lalu.

"Fasa kedua pula merangkumi 13 tangki penyimpanan untuk diesel dan minyak petrol berkapasiti 270,000 meter padu yang dijangka beroperasi bulan depan.

"Kami telah melabur RM500 juta dalam kedua-dua fasa itu dan telah menambah sebanyak RM90 juta untuk menyediakan tangki penyimpanan berkapasiti 80,000 meter padu untuk fasa ketiga," katanya pada majlis perasmian terminal tersebut di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang di sini semalam.

Projek Langsat Terminal (One) itu dibangunkan dengan kerjasama Dialog Group Bhd., MISC Bhd. dan Puma Energy Asia Pacific BV melalui anak syarikatnya, Trafigura Beheer BV.

Boon Keat berkata, pihaknya kini merancang membangunkan sebuah lagi terminal terminal baru dengan pembinaan tangki penyimpanan berkapasiti 170,000 meter pada.

''Kami juga bercadang untuk mendapatkan tanah untuk membina lebih banyak tangki penyimpanan pada masa depan,'' kata beliau.

Asiaspace sasar 5,000 pelanggan

KUALA LUMPUR 23 Feb 2010 - Asiaspace Wimax Sdn. Bhd. telah menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 hingga 5,000 pelanggan dalam suku pertama tahun ini dengan pelancaran amax city hari ini.

Ia juga merupakan bandar maya/virtual pertama dalam lingkungan Technology Park Malaysia (TPM) yang membolehkan akses dalam talian tanpa had kepada perkhidmatan dan kemudahan menerusi laluan internet yang selesa.

"Permintaan untuknya ada di TPM. Kami mensasarkan 162 penyewa dalam kawasan ini termasuk agensi media, penyedia kandungan, pemaju permainan dalam talian, syarikat IT dan pemaju perisian," kata Naib Presiden, Pemasaran dan Operasi, Ahmad Shah kepada pemberita selepas pelancaran amax city berkenaan.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Projek virtual itu ditubuhkan oleh Asiaspace WiMax dan memperkenalkan platform MIMOS WiWi Technology - rumusan hibrid pertama dunia yang menggabungkan teknologi WiMax (IEEE 802.16e mobile WiMax) dan WiFi.

Beliau berkata, ia dikendalikan di atas frekuensi 2.3 Gigahertz dan direka sebagai alternatif saling hubung.

Menurut beliau, ia turut menyediakan penyelesaian untuk jalur lebar bagi populasi umum (BBGP).

Beliau berkata, fasa pertama pembangunan amax city akan meliputi banyak kawasan utama dan penting di TPM, serta universiti dan kolej.

Para pengguna akan menikmati kemudahan yang disediakan dalam lingkungan zon liputan yang melebihi 700 hektar.

Ahmad berkata, Asiaspace WiMax memiliki Wimax amax, penyedia jalur lebar berkelajuan tinggi tanpa wayar yang menjaminkan perkhidmatan yang kukuh dan boleh dipercayai kepada para pengguna dalam kawasan liputan yang pada masa ini adalah 20 peratus daripada penduduk di Lembah Klang.

Asiaspace WiMax menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar berdasarkan kepada teknologi WiMax kepada pengguna komersial dan kediaman di bawah jenama amax.

MRCB laksana projek RM5b

Ong Tee Keat (kiri) mendengar penjelasan perkembangan terkini projek ruang pejalan kaki KL Sentral daripada Wong Dor Loke di tapak projek di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Izham Jaafar

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 23 Feb 2010 - Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) akan membangunkan hotel, pejabat dan pangsapuri perkhidmatan di KL Sentral bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion.Naib Presiden Kanan, Ketua Hartanah MRCB, Wong Dor Loke berkata, projek-projek yang melibatkan pembangunan di kawasan seluas 650,321 meter persegi itu sedang berjalan dan dijangka siap pada 2012.

''Ia merupakan projek pembangunan pelengkap KL Sentral yang memperlihatkan kemajuan dan kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa,'' katanya selepas menghadiri lawatan projek ruang pejalan kaki KL Sentral di sini hari ini.

Hadir pada program lawatan itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Projek ruang pejalan kaki berbumbung dengan nilai pembangunan kasar RM15 juta itu dijangka siap pada 2012, namun sebahagiannya dijangka siap pada Julai tahun ini.

MRCB akan menyediakan ruang pejalan kaki berkenaan sejauh 350 meter yang menghubungkan stesen monorel dengan KL Sentral di atas tapak kompleks membeli belah Lot G yang sedang dibangunkan.

Apabila projek laluan pejalan kaki itu siap sepenuhnya, jarak perjalanan akan menjadi lebih dekat iaitu kira-kira 150 meter sahaja.

Ditanya mengenai projek lain yang dijalankan MRCB, Dor Loke berkata, pihaknya sekarang sedang membangunkan projek hartanah di Bandar Sri Iskandar di Perak, Kajang di Selangor dan Senawang di Negeri Sembilan.

Katanya, pihaknya menjalankan projek pembangunan perbandaran seluas 2,000 hektar di Perak, perindustrian di Senawang dan pangsapuri di Kajang.

Ditanya mengenai kesan pembangunan KL Sentral kepada kawasan sekitar seperti Brickfields, Naib Presiden Pembangunan Hartanah MRCB, Noorzimi Mohamad Rashidi berkata, nilai pembangunan di kawasan sekitar akan meningkat sehingga tujuh kali ganda berbanding sekarang.

Katanya, kawasan sekitar akan menikmati limpahan kemakmuran yang dicetuskan oleh MRCB melalui projek KL Sentral.

Menurut Noorzimi, kepadatan penduduk akan meningkat termasuk di kawasan sekitar, manakala di KL Sentral akan menyaksikan bilangan penduduk seramai 40,000 orang pada 2015.

''Selain tempat penginapan, kami turut merancang tempat letak kereta yang banyak di KL Sentral. Sehingga 2015, sebanyak 17,000 tempat letak kereta akan disediakan di dalam kawasan KL Sentral,'' ujarnya.

Tuesday, February 16, 2010

MRO MAS terus berkembang

KUALA LUMPUR 16 Feb 2010 - Perniagaan penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat (MRO) pesawat global MAS Aerospace Engineerings (MAE), yang melonjak sebanyak 30 peratus daripada RM325 juta pada 2007 kepada RM422 juta pada 2008, dijangka dapat mengekalkan peningkatan mendadak prestasinya dalam tahun-tahun akan datang.

MAE yang kini merupakan antara 10 penyedia terunggul perkhidmatan MRO pesawat di dunia itu menjangka dapat mencapai pendapatan dalam lingkungan RM385 juta bagi 2009 dan 2010 . MAE bersama-sama, rakan kongsinya, GMR Hyderabad International Airport Ltd (GHIAL), telah memeterai perjanjian penting dengan syarikat penerbangan India, Spice Jet dan Jet Airways (India) Ltd.

Janji niaga itu dilaksanakan melalui syarikat usaha sama, MAS-GMR Aerospace Engineering Company Ltd. (MAG).

Pengalaman MAE selama 37 tahun dalam bidang ini, serta perkhidmatannya yang berkualiti dan menjimatkan kos itu dikatakan menjadi faktor yang menyumbang kepada kejayaannya meraih kedua-dua kontrak itu.

''Pada asasnya, pengalaman MAE selama 37 tahun dalam bidang MRO itulah yang meraih kontrak Spice Jet itu bagi MAG," kata Ketua Pegawai Eksekutif (Perniagaan Penerbangan dan Aeroangkasa) GMR, Ravindran Devagunam, kepada wartawan di Chennai, baru-baru ini.

"Bukan mudah, kerana persaingan daripada beberapa syrikat yang membida bagi kontrak Spice Jet di India sangat sengit, tetapi pengalaman MAE dan perkhidmatan berkualiti yang diberikan kepada pelanggan tahun demi tahun akhirnya berjaya meraih kontrak itu," katanya.

Di bawah kontrak itu, MAG akan menyediakan perkhidmatan sokongan bagi penyenggaraan kumpulan pesawat Boeing 737 Generasi Baru Spice Jet.

Pengarah Eksekutif Jet Airways, Saroj K. Datta, juga menyebut pengalaman dan perkhidmatan berkesan MAE, serta kemudahan MRO MAG yang bakal beroperasi di Hyderabad sebagai faktor yang menyumbang kepada termeterainya janji niaga MRO selama 10 tahun antara syarikatnya dan MAG itu.

Tetapi MAE tidak mahu berpuas hati dengan apa yang telah dicapai setakat ini. Ia akan terus berusaha untuk berkembang dalam pasaran barunya, India, melalui MAG, dan pasaran lain untuk memperkukuh kedudukannya dalam perniagaan MRO global dan pengurusan angkatan pesawat.

Syarikat itu sedang berunding dengan beberapa pihak di Russia untuk menarik mereka supaya membawa pesawat mereka ke Malaysia bagi MRO, kata Pengarah Urusan MAE, Mohd Roslan Ismail.

Perkembangan perniagaan pengurusan pesawat, dengan perkhidmatan melebihi MRO biasa, yang membolehkan MAE merancang dan melaksanakan jadual penyenggaraan penuh pesawat bagi pelanggan, khususnya telah menyaksikan peningkatan luar biasa jumlah pelanggan dan pendapatan perniagaan, terutamanya dalam dua tahun kebelakangan ini, katanya.

"Kami tidak boleh terus membina hangar," katanya. Pada masa ini, kadar penggunaan hangar MAE adalah kira-kira 80 peratus.

"Atas sebab ini, MAE meningkatkan perniagaan pengurusan teknikal pesawat bersepadu (i-FTM) yang menguruskan logistik dan penyenggaraan pesawat bagi syarikat penerbangan lain.

"Perniagaan i-FTM akan menjadi bidang tumpuan utama bagi MAE pada masa akan datang," ujar beliau.

Dengan peningkatan bilangan pelanggan, termasuk syarikat penerbangan dari negara sejauh Amerika Syarikat untuk mendapatkan perkhidmatan penyenggaraan bagi pesawat masing-masing daripada MAE, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines (MAS), yang memulakan operasinya sebagai bahagian kejuruteraan MAS itu, telah berkembang dari sudut kemudahan MRO dan kapasitinya dalam tahun-tahun kebelakangan ini melalui hubungan teguh dengan rakan kongsi antarabangsa.

Hangarnya di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang kini menyediakan 28 ruang letak pesawat termasuk 10 ruang bagi pesawat badan lebar.

Rakan kongsi MAE yang pernah memenangi anugerah itu, termasuklah GE Engine Services Malaysia, Honeywell Aerospace Services, Hamilton Sundstrand Customer Support dan Pan Asia Pacific Aviation Services.

Perkongsiannya dengan GMR dan pembukaan fasa pertama kemudahan MRO berharga AS$65 juta (kira-kira RM221 juta)milik MAG di Hyderabad, India itu bakal menjadi kemudahan pertamanya di luar Malaysia.

Perkhidmatan penuh penerbangan komersial akan disediakan di kemudahan di negeri Andhra Pradesh, India.

Dengan operasinya yang dijangka bermula pada awal 2011, kemudahan yang berkemampuan menyenggara anggaran 60 hingga 80 pesawat setahun itu, dijangka juga menempatkan, antara lain, pusat latihan penerbangan dan pusat rantaian bekalan.

Ia akan menyediakan khidmat penyelenggaraan bagi pesawat badan kecil seperti pesawat Airbus A320 dan Boeing 737 generasi baru serta, lama kelamaan, pesawat badan lebar seperti A330 dan Boeing 777.

Bagi syarikat penerbangan India, kemudahan itu akan menawarkan penjimatan besar daripada penyenggaraan pesawat kerana menghantar pesawat bagi penyenggaraan di luar negara melibatkan kos yang tinggi, ujar Ravindran. - Bernama

KFCH mahu tingkat bekalan ayam (16/2/10)

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH) merancang menambah penternak ayam kontraknya bagi menampung program pengembangan rangkaian restorannya.

Berikutan itu pengendali rangkaian restoran makanan segera KFC itu meminta usahawan atau bakal usahawan berminat supaya menghubungi anak syarikat KFCH, Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali, berkata di bawah program penternak ayam kontrak itu, KFCH akan membekalkan anak ayam, makanan dan khidmat nasihat berkaitan penternakan ayam.

Katanya, pengusaha hanya perlu menyediakan reban serta tenaga kerja dan apabila ayam sudah cukup matang, KFCH akan membeli ayam berkenaan pada harga yang ditetapkan dalam kontrak setelah ditolak semua kos bahan dan perkhidmatan.

“Namun, usahawan atau bakal usahawan yang berminat perlu memenuhi kriteria ditetapkan antaranya, mempunyai tanah sesuai tidak jauh dari kilang pemprosesan ayam syarikat itu serta modal kerja,” katanya.

KFCH kini mempunyai tiga kilang pemprosesan ayam, iaitu di Johor, Pelabuhan Klang dan Butterworth.

Jamaludin berkata, ketika ini KFCH mempunyai 100 penternak ayam kontrak yang membekalkan ayam bernilai RM220 juta setahun kepada syarikat itu serta rangkaian restoran lain di bawah kumpulan syarikat induknya, QSR Brands Bhd, iaitu RasaMas dan Pizza Hut, selain ayam sejuk beku di bawah jenama Ayamas.

Namun, katanya, berikutan pengembangan rangkaian restoran berkenaan, KFCH kini perlu menambah bekalan ayamnya sekitar lapan peratus setiap tahun.

Beliau berkata, bagi restoran KFC, syarikat itu merancang membuka 40 cawangan baru tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan rangkaiannya kepada 476, manakala bagi restoran RasaMas pula, lima cawangan baru akan dibuka tambahan kepada 40 yang sedia ada.

“Ketika ini penternak kontrak kami mengeluarkan kira-kira 130,000 ekor sehari. Jumlah ini dijangka tidak mencukupi apabila lebih banyak restoran baru dibuka, justeru bagi memenuhi permintaan, kami akan meminta penternak kontrak sedia ada meningkatkan kapasiti keluaran serta menambah bilangan pengusaha di bawah itu,” katanya.

Perodua susun semula rangkaian pengedaran (16/2/10)

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan menyusun semula rangkaian cawangan pengedaran dan bilik pamerannya di seluruh negara bagi membantunya meningkatkan jualan dan mutu perkhidmatan.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata langkah itu yang menjadi antara agenda utama Perodua tahun ini, adalah sejajar misi pengeluar kereta nasional itu untuk mengekalkan statusnya sebagai peneraju pasaran automotif tempatan, selain memperkemas dan menyeragamkan rangkaian cawangan pengedaran dan bilik pameran mengikut identiti korporatnya.

Beliau yang mengambil alih teraju Perodua sejak awal tahun ini berkata, kajian penilaian terhadap semua cawangan pengedaran dan bilik pameran sedang dijalankan dan ia turut meneliti sama ada Perodua perlu menambah atau mengurangkan jumlah cawangan dan bilik pameran sedia.

“Kita tengok keadaan di sesuatu pasaran itu. Jika kita kurang diwakili, kita akan tambah cawangan dan bilik pameran, tetapi jika terlebih, kita akan kurangkan atau pindahkan ke kawasan lain,” katanya.

Ketika ini, Perodua mempunyai 41 bilik pameran jualan yang dimilikinya sendiri dan 139 yang dimiliki pengedarnya, manakala bagi perkhidmatan servis, ia memiliki 46 cawangan sendiri dan 120 dimiliki oleh pengedar.

Perodua kekal sebagai peneraju sektor automotif tempatan tahun lalu dengan mencatatkan jualan 166,736 unit, mewakili 31.3 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan di pasaran tempatan sepanjang tahun lalu iaitu 536,905 unit.

Tahun lalu juga adalah tahun keempat berturut-turut sejak 2006, Perodua muncul syarikat automotif utama tempatan dari segi jualan.

Beliau berkata, Perodua yang mensasarkan jualan lebih 176,000 unit kenderaan tahun ini juga akan memperkenalkan beberapa model yang dinaikkan taraf bagi meneruskan kesinambungan permintaan terhadap model popularnya.

“Tahun ini kita tidak akan melancarkan model baru, tetapi beberapa model popular seperti Myvi dan dan Viva akan dinaikkan taraf bagi mengekalkan minat pelanggan terhadap model berkenaan,” katanya.

Monday, February 15, 2010

CDC bangun kawasan perindustrian

KUALA LUMPUR 15 Feb 2010 - Corridor Development Corporation Bhd. (CDC) akan membangunkan sebuah kawasan perindustrian bercampur seluas 20 hektar (50 ekar) di Sungai Rambai, Jasin, Melaka, pada pertengahan tahun ini.

Projek bernilai RM180 juta itu yang akan dibangunkan secara usaha sama dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), membabitkan pembangunan kawasan perindustrian bercampur termasuk pembinaan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), jeti dan pembangunan semula Pekan Sungai Rambai.

CDC dalam kenyataan hari ini berkata, syarikatnya menerima surat kelulusan daripada kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Datuk Muhammed Kassim berkata projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri Melaka pada 18 Januari 2010 itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan daerah Jasin dan daerah-daerah yang bersempadan dengan negeri Johor, selain kemajuan negeri Melaka secara amnya.

Muhammed berkata, proses pengambilan tanah untuk projek tersebut akan diurus oleh MPJ manakala kos pembangunan projek ditanggung sepenuhnya oleh CDC.

Katanya, pembangunan kawasan Sungai Rambai ini merangkumi pembangunan perdagangan, perindustrian serta penstrukturan semula pekan Sungai Rambai yang akan dilaksanakan oleh anak syarikat CDC iaitu KNVC Corporation Sdn Bhd.

Dalam cadangan projek tersebut katanya, selain kompleks CIQ, projek itu juga melibatkan pembinaan 158 unit kedai dan pejabat, 344 unit rumah mampu milik.

CDC juga akan membangunkan 40 unit kilang teres, 48 unit kilang berkembar, 17 lot kilang dan 246 unit rumah di sekitar kawasan tersebut serta 41 unit rumah kedai. - BERNAMA

Pinggir bandar pilihan Gaya Irama

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
sarah.rohim@utusan.com.my



KC Ang menunjukkan pelan pembangunan Subang Central 1 di Subang , Selangor, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



SUBANG 15 Feb 2010 - Syarikat pembangunan hartanah Gaya Irama Development Sdn. Bhd. (Gaya Irama) terus memberikan tumpuan terhadap pembangunan di pinggir bandar berbanding bandar besar.

Pengurus Pembangunan Projeknya, KC Ang berkata, ia merupakan fokus utama syarikat memandangkan kawasan pinggir bandar kecil juga memerlukan pembangunan sewajarnya dalam berhadapan dengan arus kemodenan semasa.

''Pada pendapat saya, bandar kecil perlu dibangunkan kerana mempunyai potensi membantu perkembangan ekonomi negara. Kami sedang meninjau kawasan di Johor untuk projek seterusnya selepas berjaya di Selangor.

''Saya sering memikirkan cara terbaik untuk jangka panjang dengan memberikan pembangunan yang mampu dimiliki oleh masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Ang, walaupun pembangunan tersebut khusus untuk masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan, tetapi mereka tidak menolak tepi soal kualiti dan keselamatan.

''Sejak ditubuhkan pada tahun 1994, syarikat memang terkenal dengan menyediakan projek berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

''Setiap projek yang dilaksanakan syarikat adalah mengikut peraturan dan telus. Kami tidak percaya kepada 'hanky panky','' jelasnya.

Ekoran ketelusan syarikat dalam melaksanakan projek, Gaya Irama telah menerima kepercayaan daripada kerajaan negeri Selangor untuk membina Pasar Basah Subang Utama yang dijangka diserah kepada kerajaan negeri itu pada pertengahan Mac depan.

Pasar tersebut menyediakan kemudahan tempat letak kereta bertingkat dan ruang perniagaan selesa dengan ciri moden untuk memudahkan peniaga di kawasan tersebut.

''Apabila pasar tersebut siap, tiada lagi masalah penjaja di kaki-kaki lima atau di tepi jalan ia akan diberikan kepada peniaga di kawasan ini. Dengan pasar yang serba moden dan selesa ia memudahkan peniaga dan pelanggan,'' katanya.

Selain itu, dalam perkembangan terbaru mengenai projek Gaya Irama, Ang berkata, tumpuan syarikat adalah projek pembangunan Subang Central 1 di Pekan Subang, Shah Alam.

Projek itu melibatkan pembinaan 114 unit pangsapuri, 48 unit kedai dengan lebih 400 ruang letak kereta.

Ang berkata, projek pembangunan campuran kediaman dan komersial itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM45 juta.

''Subang Central 1, terletak di kawasan berkeluasan 1.58 hektar dan pada masa ini sedang dalam proses pembinaan dengan 40 peratus telah pun siap.

''Jangkaan kami projek ini akan siap sepenuhnya pada akhir November ini. Setakat ini jualan bagi projek tersebut telah mencecah 90 peratus bagi rumah kedai dan bagi pangsapuri pula adalah lebih 50 peratus,'' katanya.

Terletak di kedudukan strategik antara Shah Alam dan Petaling Jaya dengan kemudahan akses lebuh raya seperti Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).

Terdapat tiga jenis pembinaan bagi reka bentuk pangsapuri iaitu tingkat tunggal standard, duplex moden dan penthouse duplex moden.

Harga pangsapuri tersebut bermula daripada RM148,000 dengan tiga bilik tidur sehingga RM777,725 untuk penthouse.

Friday, February 12, 2010

KEHEBATAN ‘KAPCAI’ (12/2/10)

KARAKTER Ultraman, aktres Aya Hirayama (tengah) dan juara sumo Mongolia, Hakuho bergambar di depan salah sebuah motosikal Honda Cub yang dilelong di ibu pejabat Honda di Tokyo, semalam. – AFP

--------------------------------------------------------------------------------



MODEL motosikal empat lejang pertama keluaran Honda ini menyambut usia ke-50 berada dalam pasaran dunia tahun ini, dengan lebih 60 juta unit terjual di seluruh dunia, rekod tertinggi jualan kenderaan dunia.

Ia membawa kepada penciptaan pelbagai model-model baru yang melonjakkan nama Honda sebagai peneraju segmen ini di Asia manakala siri Honda Wave yang lebih berkuasa banyak digunakan di negara-negara Kesatuan Eropah.

Sempena sambutan setengah kurun kenderaan ini, kira-kira 60 ‘Honda Cub’ akan dilelong melalui Internet bagi tujuan amal dalam projek yang dipanggil ‘Love Cub 50’.

Modenas lancar varian CT 100 (12/2/10)

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), memperkenalkan satu lagi varian model CT, iaitu Modenas CT 100, bagi menggantikan model Kriss yang telah lama berada di pasaran.

Ketua Eksekutifnya, Bastamam Hamzah, berkata pelancaran motosikal yang menggunakan enjin berkuasa 100cc itu mampu membantu Modenas meningkatkan lagi penguasaan pasarannya kepada 15 peratus tahun ini.

"Dengan pengenalan satu lagi varian CT iaitu Modenas CT 100, kami yakin dapat memperbaiki penguasaan pasaran ke tahap 15 peratus dengan sokongan yang berterusan daripada wakil pengedar kami ," katanya pada sidang media selepas melancarkan Modenas CT 100 di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

RMS rancang 9 Ar-Rahnu X'change (12/2/10)

RAKYAT Management Services Sdn Bhd (RMS), anak syarikat milik penuh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) yang mengendalikan perniagaan francais pajak gadai Islam Ar-Rahnu X’change menyasarkan membuka sembilan cawangan baru secara francais tahun ini.

Pengurus Besarnya, Mohamad Sabri Mohamed Nor, berkata ia akan menjadikan jumlah cawangan Ar-Rahnu X’change sebanyak 25 tahun menjelang akhir tahun ini termasuk tujuh yang dimiliki oleh Bank Rakyat.

Beliau berkata, perniagaan francais Ar-Rahnu X’change yang hanya ditawarkan kepada koperasi semakin menunjukkan peningkatan memberangsangkan yang mana ada kalangan francaisi berupaya mencatatkan pengeluaran pembiayaan bulanan melebihi RM2 juta.

“Berikutan itu, tahun ini, kami mensasarkan jumlah pengeluaran pembiayaan terkumpul kami akan meningkat kepada RM88 juta berbanding RM63.5 juta tahun lalu,” katanya selepas perasmian cawangan ke-16 Ar-Rahnu X’change di Balakong, Selangor, semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Hadir sama Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Thursday, February 11, 2010

Enrich sasar jualan tiket naik 50 peratus

Dari kiri: Kakitangan MAS, Eliza Tiong, Maya Khairudin, Fazlena Zakaria dan Sarah Ibrahim Woo menunjukkan kad Enrich yang di keluarkan oleh MAS sempena ulang tahun MAS Enrich yang ke 10, di Kuala Lumpur, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 11 Feb 2011 - Program kesetiaan Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Enrich, diyakini dapat meningkatkan pendapatan daripada jualan tiket penerbangan sebanyak 50 peratus pada tahun ini daripada RM2.9 bilion tahun lepas.

Pengurus Besar Pemasaran Korporat dan Program Kesetiaannya, Raja Datuk Nordiana Zainal Shah berkata, pendapatan jualan tiket penerbangan pada 2009 melonjak 45 peratus kepada RM1.89 bilion daripada RM1.3 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Beliau berkata, Enrich juga merancang menambahkan bilangan keahliannya kepada dua juta pada akhir tahun.

"Dengan 1.65 juta ahli sekarang, Enrich berharap dapat mengukuhkan kedudukannya di Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena ulang tahun ke-10 Enrich di sini, semalam.

Program Enrich merupakan program kesetiaan pelanggan yang mana ahli yang layak menebus mata ganjaran yang diperoleh menerusi pembelian dari rakan dagangan terbabit.

Selain menebus mata ganjaran untuk ditukar dengan tiket penerbangan, ahli Enrich turut diberikan layanan khusus sebelum atau ketika terbang ke mana-mana destinasi menerusi 20 rakan kongsi MAS.

Menurut Raja Nordiana, meskipun trafik penumpang MAS turun daripada 14.8 juta kepada 13 juta pada 2009, pendapatan daripada tiket penerbangan Enrich menyaksikan pertumbuhan positif.

Beliau berkata, kini tumpuan diberikan untuk menambah baik tawaran yang disediakan kepada pelanggan dan menambahkan jumlah mata bagi mereka.

MAHB kaji urus dua lagi lapangan terbang di Asia

Syarikat unjur pertumbuhan penumpang sehingga lima peratus

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) merancang mengurus satu atau dua lagi lapangan terbang di Asia menjelang akhir tahun ini.

"Kami sedang mengkaji prospek itu. Kami akan mengumumkannya sebaik ia dimuktamadkan," kata Pengarah Urusannya Tan Sri Bashir Ahmad.

Di bawah operasi luar negaranya, MAHB kini menguruskan dua lapangan terbang di India dan sebuah lagi di Turki.

Bashir berkata, MAHB mengunjurkan mencatatkan antara empat dan lima peratus pertumbuhan penumpang tahun ini daripada 8.2 peratus yang direkodkan tahun lalu.

"Saya berasakan industri ini semakin pulih sejak beberapa bulan terakhir tahun lalu dan kami yakin pemulihan itu akan diteruskan tahun ini," katanya.

Bashir berkata, empat lapangan terbang antarabangsa di Malaysia yang diuruskan MAHB memperoleh status lapangan terbang pla-tinum di bawah projek pas memasuki pesawat berkod bar Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dengan status platinum itu, MAHB kini memainkan peranan penting di Asia dalam meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang, katanya.

"Kami akan memastikan lapangan terbang lain menggunakan kod bar itu menjelang akhir tahun ini seperti yang dimandatkan IATA," katanya.

Sementara itu, MAHB akan menjadi tuan rumah 'Check-in Asia', forum pemprosesan bagasi dan penumpang bagi pemegang kepentingan industri perjalanan Asia Pasifik dari 24 hingga 24 November ini.

Acara itu dijangka menarik lebih 250 peserta dan 20 peserta pameran.

"MAHB menghargai peluang untuk menyediakan plat-form bagi peserta industri perjalanan udara di rantau ini bagi membincangkan dan memutuskan penyelesaian terbaik mungkin dalam perubahan kaedah pemprosesan bagasi dan penumpang serta sistem berpotensi yang lain," kata Bashir.

Beliau berkata, dengan proses pemeriksaan masuk menggunakan kaedah baru, forum itu akan mendapat manfaat daripada semua peserta industri. – Bernama

LMA bina kilang di Kulim

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my



TREVOR Swete (kiri) bertukar dokumen dengan Muhammad Sobri Osman pada majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah kilang LMA International N.V. di Kulim, Kedah semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KULIM 11 Feb 2010 - Pengeluar produk peralatan dan rawatan perubatan, LMA International N.V (LMA) dari Belanda akan melabur sebanyak RM35 juta (AS $10 juta) untuk membina kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini.

Kilang yang mengeluarkan produk tiub rawatan dan pemulihan saluran pernafasan (supraglottic airway) itu dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan.

Buat permulaan, ia dijangka menyediakan peluang kepada lebih 1,000 pekerja mahir dan separuh mahir dengan kemampuan pengeluaran kira-kira 250,000 unit sebulan.

Pengerusinya, Trevor Swete berkata, pelaburan tersebut sejajar dengan pelan strategik syarikat untuk meningkatkan kualiti produk dengan kos pengeluaran yang minimum.

"Sebelum ini, operasi LMV bergantung kepada kilang-kilang pihak ketiga. Dengan adanya kilang sendiri di KHTP dan Malaysia ini, kita yakin mampu meningkatkan lagi penguasaan pasaran bagi produk berkaitan perubatan di rantau ini.

"Malah, kita juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran produk untuk pasaran Asia pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah antara pengendali KHTP, Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) dengan LMA dekat sini, hari ini.

Hadir bersama ialah Presiden KTPC, Muhammad Sobri Osman dan Timbalan Pengerusi Kumpulan LMA, John Lim.

LMA yang mempunyai kepakaran dalam bidang produk peralatan dan rawatan perubatan terutamanya berkaitan sistem pernafasan ditubuhkan di Antilles, Belanda pada tahun 1998 dan disenaraikan di papan utama Bursa Saham Singapura pada tahun 1995.

Selain mempunyai pejabat urusan di Singapura, LMA turut menjalankan operasi di Jersey, Channel Island (Gugusan Kepulauan British); Bonn, Jerman; San Diego, Amerika Syarikat dan Melbourne, Australia.

Swete berkata, pembinaan kilang yang turut menempatkan bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu akan dilakukan dalam tiga fasa.

Katanya, fasa pertama dijangka bermula dalam tempoh terdekat dan siap menjelang hujung tahun ini.

"Menjelang suku pertama dan kedua kita berharap dapat mengeluarkan produk dengan kemampuan penuh kira-kira 5.5 juta unit setahun," jelasnya.

Beliau memberitahu, LMA mengambil keputusan melabur di KHTP memandangkan kawasan tersebut berupaya menawarkan kemudahan dan infrastruktur bertaraf dunia.

"Selain faktor kos yang efektif dan kemudahan logistik terbaik, KHTP berjaya menunjukkan rekod dan reputasi cemerlang memandangkan lebih 20 syarikat bertaraf multinasional menjalankan operasi di sini sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sobri berkata, pemilihan LMA untuk melabur di situ berjaya membuktikan bahawa lokasi tersebut terus menjadi tumpuan syarikat-syarikat dari dalam dan luar negara.

"Sejak beroperasi pada tahun 1996, KHTP berjaya menerima kemasukan daripada 21 syarikat multinasional dengan jumlah pelaburan RM23 bilion.

Dari segi peluang kerja pula, KHTP telah menawarkan 16,000 orang pekerja meliputi pelbagai bidang seperti pembuatan cip, elektronik, kejuruteraan dan sokongan," jelasnya.

Beliau memberitahu, KTPC akan meneruskan usaha termasuk bekerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih ramai pelaburan asing (FDI) pada masa akan datang.

Ascenteus maju kelab RM1.2b (12/2/10)

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
Projek di Bandar Enstek akan dibiayai sepenuhnya dana dari luar negara

ASCENTEUS Holdings Sdn Bhd akan membangunkan sebuah kelab desa mewah bernilai RM1.2 bilion di Bandar Enstek, Nilai secara usaha sama dengan pemaju hartanah utama India, Davanam Construction Ptv Ltd.

Pengarah Urusannya, Faizan Khan, berkata projek itu akan dibiayai sepenuhnya dana dari luar negara yang akan diperoleh daripada pasaran hutang dan ekuiti swasta.

Beliau berkata, projek di tapak seluas 80 hektar itu akan membabitkan pembangunan vila mewah berkepadatan rendah bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa sesuai dengan cita rasa golongan kelas atasan.

Katanya, ia akan dimajukan dalam tiga fasa dengan fasa pertama akan bermula menjelang suku ketiga tahun ini.

"Kawasan seluas sehingga 10 hektar akan dikhususkan untuk kelab desa itu, manakala bakinya untuk vila dan kediaman mewah.

"Kami merancang membina 40 vila dan kediaman mewah di setiap fasa dan pembangunannya dijangka siap sepenuhnya pada 2014," katanya selepas majlis memeterai perjanjian pengurusan dan penjenamaan antara Ascenteus Holdings dan Davanam Constructions Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Malaysia Davanam Constructions dengan General Hotels Management Ltd (GHM) di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Turut hadir Pengerusi TH Properties Sdn Bhd, Datuk Azizan Abd Rahman.

TH Properties, sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Haji adalah pemaju Bandar Enstek.

Perjanjian itu adalah bagi melantik GHM sebagai pengurus kelab desa berkenaan.

Perjanjian usaha sama antara Ascenteus Holdings dan Davanam Constructions bagi memajukan projek itu telah dimeterai pada Julai tahun lalu.

Faizan berkata, pihaknya yakin untuk menjual hartanah kelas mewah itu kerana hartanah jenis itu di Malaysia mendapat permintaan menggalakkan dari warga asing khususnya dari Asia Barat dan India.

Sementara itu, Ketua Eksekutif TH Properties, Zaharuddin Saidon, berkata pihaknya meletakkan sasaran menyiapkan Bandar Enstek menjelang 2020 iaitu lima tahun lebih awal daripada yang disasarkan sebelum ini.

Katanya, Bandar Enstek yang berkeluasan 2,046.4 hektar itu kini sudah 30 peratus dibangunkan dengan beberapa pembangunan perumahan bernilai RM150 juta seperti rumah teres dan rumah berkembar dua tingkat.

Eurocopter pastikan operasi simulator, MRO berjaya (12/2/10)

EUROCOPTER Malaysia akan memastikan kejayaan operasi kemudahan penyenggaraan dan baik pulih (MRO) serta simulator latihan penerbangan EC225/EC725 barunya di negara ini.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Pierre Nardelli, berkata setakat ini syarikat itu sudah melabur kira-kira RM40 juta dalam kemudahannya di Malaysia.

“Kami berharap dapat mengembangkan kegiatan kami bagi mewujudkan pusat simulator bagi Asia, khususnya bagi industri minyak dan gas,” katanya pada taklimat media mengenai helikopter terbaru syarikat itu, EC175, di Petaling Jaya, semalam.

Nardelli berkata, Eurocopter berharap dapat membuat lebih banyak pelaburan secara beransur-ansur kerana wujud banyak peluang di negara ini.

Eurocopter Malaysia yang diperbadankan pada 2002 adalah satu-satunya pengeluar helikopter yang mempunyai pusat perkhidmatan MRO menyeluruh di Malaysia.

Pada 2009, Eurocopter mencatatkan pertumbuhan pendapatan 58 peratus di Asia kepada 896 juta euro.

Nardelli berkata, perniagaan syarikat itu juga mengekalkan nilai tempahan yang stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Asia, dengan mencapai nilai 504 juta euro.

Eurocopter menyerahkan 558 helikopter awam dan tentera baru pada 2009.

Mengenai EC175, Nardelli berkata, Eurocopter yakin ia akan menetapkan standard baru bagi helikopter jarak sederhana dalam industri minyak dan gas pada masa akan datang.

EC175 yang dilancarkan pada Disember 2008, adalah helikopter terbaru kumpulan Eurocopter dalam kelas tujuh tan.

Beliau berkata, sebanyak 114 helikopter EC175 telah ditempah oleh 14 pelanggan. - Bernama

Petronas bangun pengeluaran minyak Venezuela

CARACAS 11 Feb 2010 - Kerajaan Venezuela semalam menganugerahkan hak pembangunan pengeluaran minyak di lingkaran Orinoco kepada Chevron dan sebuah konsortium yang diketuai oleh sebuah syarikat Sepanyol, Repsol..

Chevron disertai oleh rakan konsortiumnya iaitu Repsol, Petronas dan ONGC dari India akan meneroka dua blok simpanan terbesar selepas tiga tahun Chavez mengumumkan tumpuan peralihan kepada operasi tenaga kebangsaan.

Penganugerahan kontrak itu merupakan yang terbesar di dalam sejarah di bawah pentadbiran Presiden Venezuela, Hugo Chavez selama 11 tahun.

Syarikat minyak yang dimiliki oleh kerajaan, Petroleos de Venezuela (PDVSA) menganggarkan blok yang bakal diterokai itu, Carabobo berpotensi mengeluarkan 1.2 bilion tong sehari dan mampu menarik pelaburan antara AS$10 bilion (RM34 bilion) hingga AS$15 bilion (RM51 bilion) yang diperlukan dari ahli-ahli negara OPEC.

Repsol akan menyertai Petronas dan tiga syarikat India lain dalam membida Carabobo 1 yang merupakan kawasan luas yang dianggarkan mampu mengeluarkan 235 bilion tong rizab minyak.

Konsortium berkenaan menawarkan PDVSA pinjaman berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.57 bilion) dan bon pada nilai yang sama.

Chevron akan meneroka Carabobo 3 bersama syarikat dari Jepun Impex dan Mitsubishi berserta firma dari Venezuela, Suelopetrol, kata Menteri Tenaga, Rafael Ramirez ketika mengumumkannya di Istana Presiden.

Konsortium yang diketuai Chevron itu menawarkan PDVSA pinjaman berbilion dolar dan akan membayar bon bernilai AS$500 juta (RM1.7 bilion).

Manakala blok dua tidak diberikan kepada sesiapa dan akan ditawarkan kepada syarikat atau syarikat-syarikat lain pada prosedur lain, kata Ramirez.

Pengeluaran awal dari blok tersebut mampu mencecah 400,000 tong sehari.

Di dalam kerja-kerja penerokaan itu, PDVSA akan menguasai 60 peratus kepentingan dalam pakatan yang diketuai oleh Repsol, sementara Repsol, Petronas dan ONGC masing-masing akan memiliki 11 peratus manakala dua syarikat India lain akan memiliki baki tujuh peratus. - AFP

Khidmat pemantauan kredit PKS pertama dilancar (12/2/10)

SME Credit Bureau (M) Sdn Bhd, yang menyediakan laporan kredit bagi perniagaan kecil, melancarkan khidmat pemantauan kredit (CMS) pertama negara untuk meningkatkan penarafan syarikat kredit perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarahnya Datuk David Chua berkata CMS adalah cara berkesan dan termampu bagi syarikat PKS mengekalkan tahap penarafan kredit mereka.

"Sistem ini akan memantau perubahan utama dalam perbankan, perniagaan dan maklumat kredit perdagangan dan juga penarafan kredit syarikat PKS," katanya kepada Bernama semalam.



Beliau berkata, perubahan pada data itu akan dihantar sebagai e-mel peringatan kepada syarikat PKS yang melanggan perkhidmatan itu.

"Pelancaran CMS pada 1 Februari lalu akan membantu menangani persepsi sektor PKS sebagai peminjam berisiko tinggi," kata Chua.

Katanya, CMS membolehkan institusi kewangan dan peminjam lain mengakses maklumat kredit terkini, tepat dan boleh dipercayai mengenai sesebuah syarikat PKS.

"Ini akan membantu pemberi pinjaman membuat penilaian kredit dengan lebih cepat di samping mempercepatkan lagi aktiviti pembiayaan," katanya.

Chua bagaimanapun berkata, pengeluaran penarafan kredit itu tidak akan memberi sebarang perakuan untuk sama ada memperluaskan atau menyekat kredit kepada syarikat PKS, malah akan menawarkan saranan untuk tambah nilai.

Beliau berkata, biro itu dijangka dapat mendaftarkan 12,000 pelanggan baru tahun ini.

Firefly sasar pendapatan meningkat melalui Firefly Holidays

11/02/2010 3:29pm


KUALA LUMPUR 11 Feb 2010 – Syarikat penerbangan komuniti Firefly menjangka meningkatkan sumbangan tambahan pendapatan sebanyak 15 hingga 20 peratus dengan pelancaran Firefly Holidays, portal pengembaraan dalam talian pertama negara.

Pada masa ini, pendapatan tambahan portal menguasai lima hingga lapan peratus daripada pendapatan syarikat induk, kata ketua Firefly Holidays, Lau Yin May kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi portal itu di sini hari ini.

Yin May berkata, portal berkenaan yang sebelum ini menawarkan pakej hanya kepada destinasi-destinasi Firefly, kini telah meluaskan liputannya untuk melibatkan lebih daripada 100 destinasi Malaysia Airlines seluruh dunia.

"Semasa pertama kali kami memulakan dengan destinasi Firefly, kami mendapat purata tempahan 300 sehari. Dengan mengembangkan tawaran ini, kami berharap kami boleh berkembang empat hingga lima kali dari segi jumlah serta pendapatan tambahan kami,” kata beliau. – Bernama

Wednesday, February 10, 2010

Vietnam negara operasi keempat AirAsia

KUALA LUMPUR 10 Feb 2010 - AirAsia Bhd. (AirAsia) membeli 30 peratus kepentingan dalam Vietjet Air pada harga VND180 bilion (RM33.450 juta) bagi mengadakan kerjasama penerbangan tambang murah di Vietnam yang akan dikenali sebagai Vietjet AirAsia.

Kementerian Pengangkutan Vietnam telah meluluskan pembelian saham tersebut, menurut AirAsia dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

Vietjet AirAsia yang masih memperincikan laluan, kekerapan dan penerbangan akan beroperasi bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Penubuhan Vietjet AirAsia, sekali gus menjadikan Vietnam sebagai negara keempat operasi syarikat tambang murah itu selepas Malaysia, Thailand dan Indonesia.

AirAsia berkata, pakatan itu bagi meluaskan kehadiran syarikat tersebut di Vietnam dan menjadikan negara berkenaan sebagai pintu baru keluar masuk dalam rantau ASEAN.

''Malah, ia mengukuhkan kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan ASEAN melalui peluasan operasi di rantau, meningkatkan rangkaian hubungan serantau dan menjadikan rantau ini sebagai juara hab pelancongan,'' katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Vietjet berkata, kelahiran Vietjet AirAsia akan menyumbang kepelbagaian dalam pasaran penerbangan di Vietnam dengan menyediakan lebih banyak pilihan untuk memenuhi pelancong di negara itu dan rantau ini,'' kata Vietjet.

AirAsia menambah, Vietjet AirAsia akan menerokai kepakaran kedua-dua syarikat tersebut bagi memastikan kejayaan operasi dan pemasaran penerbangan tambang murah itu.

Vietjet Air pula berkata, pakatan itu merupakan kombinasi seimbang bagi sistem pengurusan, kepakaran teknikal, pengalaman jangka panjang dalam industri penerbangan, kakitangan dan jenama antarabangsa AirAsia serta pengukuhan kewangan.

Bekas pramugari tauke keropok (10/2/10)

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my



Sue Izawani Sudin menunjukkan keropok lekor resipi sendiri di syarikatnya di Green Technology Park, Seremban 2.

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 10 Feb. – Demi memberikan tumpuan kepada keluarga terutama anak-anak yang masih kecil, Sue Izawani Sudin, 38, meninggalkan kerjaya di awan biru lima tahun lalu.

Pengorbanan itu barangkali berbaloi memandangkan ia membuka ruang kepada wanita itu menceburi industri kecil dan sederhana (IKS) dengan menghasilkan keropok lekor.

Lebih membanggakan, setelah hanya beberapa tahun berkecimpung dalam bidang itu, Sue Izawani mampu memiliki kilang keropok sendiri.

Beroperasi di Green Technology Park, Seremban 2 di sini sejak lima tahun lalu, kilang tersebut kini menjadi pembekal keropok lekor di seluruh negeri ini.

Bercerita tentang pembabitan awalnya dalam bidang tersebut kata Sue Izawani, ia didorong oleh minat dan keinginan untuk membina karier sendiri.

“Saya melihat potensi penghasilan keropok lekor sejak lima tahun lalu memandangkan makanan ini menjadi kegemaran ramai.

“Ketika itu tiada lagi kilang memproses keropok lekor di negeri ini berbanding dengan negeri-negeri lain,” katanya ketika ditemui di kilangnya itu di sini hari ini.

Sue Izawani menambah, bermula secara kecil-kecilan termasuk menyewa kilang tersebut, beliau kini mampu memiliki kilang berkenaan.

Katanya, dalam sehari kilang tersebut menghasilkan lebih 500 kilogram keropok lekor bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pelanggannya terdiri daripada peniaga pasar malam, pasar tani, restoran dan orang awam.

Menurut beliau, keropok lekor serta kuih ‘cakoi’ yang dihasilkannya istimewa kerana menggunakan resipi sendiri.

“Resipi ini saya reka berdasarkan pengalaman sendiri termasuk resipi daripada ibu bapa saya yang berasal dari Terengganu.

“Demi mengekalkan keasliannya, saya menggunakan bahan mentah termasuk ikan berkualiti yang diperoleh daripada pembekal dari Kuala Selangor,” katanya.

Bercakap tentang operasi kilang tersebut kata Sue Izawani, beliau hanya memerlukan antara tiga hingga lima pekerja setiap hari.

“Dahulu ramai tenaga kerja diperlukan iaitu sehingga 10 orang tetapi kini tidak lagi kerana kilang ini memiliki peralatan seperti mesin mengadun, merebus dan memotong.

“Peralatan ini saya miliki dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian yang banyak membantu selama ini,” katanya lagi.

Selain itu katanya, syarikatnya turut memperkenalkan keropok lekor jenama Sue‘s Recipe untuk pasaran pasar raya di negeri ini.

Menyentuh tentang perancangan masa depannya kata Sue Izawani, beliau berhasrat untuk mempopularkan produk tersebut ke seluruh negara termasuk memasarkannya di pasar raya besar.

“Orang mungkin bercakap tentang pasaran global, tetapi kalau pasar raya besar di negara ini pun tidak mampu kita tembusi bagaimana?” katanya.

Berdasarkan pengalamannya, Sue Izawani tidak menafikan bukan mudah untuk berurusan dengan pengurusan pasar raya yang meletakkan pelbagai syarat.

“Sekarang kerajaan mewajibkan semua pasar raya besar menempatkan 30 peratus produk IKS dan saya berharap ia membuka lebih banyak ruang kerana sukar bagi pengusaha individu untuk merebut peluang ini.

“Jika semua pengusaha bergabung perkara ini mungkin dapat dilaksanakan dengan baik termasuk memastikan pengeluaran produk menepati masa yang ditetapkan seperti yang disyaratkan oleh pasar raya terbabit,” katanya lagi.

F&N Holdings edar Red Bull (10/2/10)

FRASER & Neave Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya F&N Beverages Marketing Sdn Bhd mengembangkan rangkaian produk edarannya apabila dilantik pengedar eksklusif minuman bertenaga Red Bull.

Ia semalam memeterai perjanjian bagi hak jualan dan pengedaran eksklusif minuman itu di Malaysia dengan pengimportnya, Allexcel Trading Sdn Bhd.

Ketua Eksekutif F&N Holdings, Tan Ang Meng, berkata syarikatnya menyasarkan jualan RM120 juta daripada rangkaian produk Red Bull dalam tahun pertama ini, mewakili 10 peratus daripada jualan keseluruhan F&N Beverages.



Katanya, hak pengedaran bagi tempoh lima tahun itu akan berkuat kuasa 1 April ini merangkumi semua barisan produk Red Bull yang terdapat di pasaran tempatan iaitu Red Bull Kurang Manis, Red Bull Gold (250 ml) dan Red Bull botol (150ml).

“Perkongsian strategik dengan Allexcel ini akan memperkukuh portfolio F&N Beverages selaras dengan matlamat F&N untuk menjadi syarikat minuman bertaraf dunia.

“Kami sentiasa meneroka peluang untuk meluaskan rangkaian perniagaan dengan syarikat minuman terkemuka bagi faedah bersama. Diharapkan perjanjian dengan Allexcel ini dapat dikembangkan untuk peluang lain pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Tan mewakili F&N Beverages, manakala Allexcel Trading diwakili Pengarah Serantaunya, Jyn Wee.

CDC bangun 30 hektar kawasan perindustrian (10/2/10)

CORRIDOR Development Corporation Bhd (CDC) akan membangunkan sebuah kawasan perindustrian bercampur di tapak seluas 20 hektar di Sungai Rambai, Jasin, Melaka pertengahan tahun ini.

Projek bernilai RM180 juta itu yang akan dibangunkannya secara usaha sama dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), membabitkan pembangunan kawasan perindustrian bercampur termasuk pembinaan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), jeti dan pembangunan semula Pekan Sungai Rambai.

Ketua Eksekutif CDC, Datuk Muhammed Kassim dalam kenyataannya semalam berkata syarikatnya sudah menerima surat kelulusan daripada kerajaan negeri Melaka untuk membangunkan kawasan perindustrian berkenaan.



Beliau berkata, projek yang diluluskan kerajaan negeri Melaka pada 18 Januari lalu itu bakal memberi impak besar kepada pembangunan Daerah Jasin dan daerah yang bersempadan dengan negeri Johor, selain kemajuan negeri Melaka secara amnya.

Katanya, proses pengambilan tanah untuk projek itu akan diuruskan MPJ manakala kos pembangunan projek ditanggung sepenuhnya oleh CDC.

Beliau berkata, pembangunan kawasan Sungai Rambai ini merangkumi pembangunan perdagangan, perindustrian serta penstrukturan semula pekan Sungai Rambai yang akan dilaksanakan anak syarikat CDC iaitu KNVC Corporation Sdn Bhd.

Dalam cadangan projek itu, katanya selain kompleks CIQ, ia juga membabitkan pembinaan 158 unit kedai dan pejabat, 344 unit rumah mampu milik.

CDC juga akan membangunkan 40 unit kilang teres, 48 unit kilang berkembar, 17 lot kilang dan 246 unit rumah di sekitar kawasan berkenaan serta 41 unit rumah kedai.

Ricoh sasar kuasai 26 peratus pasaran automasi pejabat

10/02/2010 4:37pm


SUBANG JAYA 10 Feb. – Penyedia penyelesaian pejabat digital, Ricoh Malaysia Sdn. Bhd,, menyasarkan penguasaan pasaran peralatan automasi pejabatnya meningkat kepada 26 peratus tahun ini, selari dengan unjuran pertumbuhan dalam negara kasar sebanyak lima peratus.

Syarikat itu kini menguasai 21 peratus bahagian pasaran, kata Pengarah Urusannya, Lim Eng Weng.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan mengukuhkan perniagaan percetakan pelbagai fungsi digitalnya berikutan pertumbuhan yang meningkat dalam bidang itu.

"Mengikut pelan perancangan perniagaan kami tahun ini, kami akan melabur dan menjalin usaha sama dengan syarikat teknologi maklumat terkemuka bagi mendapatkan urus niaga yang lebih stabil,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman antara Ricoh dan INTI Education Group.

Eng Weng berkata, Ricoh sedang mengenal pasti industri khusus tahun ini dan merancang mengekalkan paras perniagaan semasa. – Bernama

AirAsia X tingkatkan kekerapan penerbangan ke Hangzhou

10/02/2010 3:03pm


KUALA LUMPUR 10 Feb. – Syarikat penerbangan jarak jauh kepada AirAsia, AirAsia X, akan meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Hangzhou, laluan kepada Shanghai, dengan penerbangan harian bermula 28 Mac, 2010.

"Sambutannya amat menggalakkan memandangkan kami mengendalikan lebih 70 peratus faktor muatan untuk laluan Hangzhou-Kuala Lumpur,” kata Ketua Komersil Serantau AirAsia, Kathleen Tan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, syarikat penerbangan itu sentiasa menyifatkan Hangzhou sebagai laluan timurnya ke rantau Delta Yangtze kerana ia mengambil masa hanya 75 minit ke Shanghai dengan kereta api laju.

AirAsia X akan bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi dan tiba di Hangzhou pada 1.10 tengah hari setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dan pada 5.20 petang untuk sampai ke destinasinya pada pukul 10.20 malam setiap Selasa, Sabtu dan Ahad.

Penerbangan dari Hangzhou akan berangkat pada pukul 2.10 pm dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat dan pada pukul 11.20 malam untuk tiba di sini pada pukul 4.20 pagi setiap Selasa, Sabtu dan Ahad.

AirAsia mempunyai 198 penerbangan setiap minggu dari pelbagai destinasi di ASEAN ke sembilan destinasi di China termasuk Hong Kong dan Macau. – Bernama

Tuesday, February 9, 2010

P1 lancar netbook pertama

PETALING JAYA 9 Feb 2010 – Setelah hampir dua tahun beroperasi, Packet One Network (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) menyasarkan untuk mengeluarkan netbook pertamanya pada separuh kedua tahun ini.

Netbook berkenaan akan dilengkapkan dengan pakej WiMax 2.3 Ghz.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai berkata, pihaknya kini sudah berbincang dengan beberapa syarikat pengeluar peralatan tulen (DMO) di Taiwan mengenai netbook tersebut.

Jelas beliau, harga netbook berkenaan juga dijangka kompetitif dan menarik.

‘’Kami yakin netbook yang bakal dikeluarkan menarik perhatian para pelanggan di seluruh Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan dilengkapkan dengan pakej WiMax 2.3 Ghz,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan taklimat mengenai Hala Tuju PI 2010 di sini hari ini.

P1 merupakan anak syarikat Green Packet Bhd., syarikat telekomunikasi WiMAX pertama Malaysia dengan rangkaian WiMAX paling meluas di dalam negara.

P1 turut menyasarkan untuk meningkatkan pelanggannya lebih 200,000 tahun ini berikutan pelancaran beberapa peralatan baru termasuk netbook.

Selain netbook, dua peralatan telekomunikasi yang akan dilancarkan pada tahun ini adalah modem USB capaian tinggi Shuttle dan modem dalaman VOIP WiMax Tower.

MAS kendali Sriwijaya Air

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

PULAU PINANG 9 Feb 2010 - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dilantik sebagai pengendali kerja-kerja pengurusan bagi Sriwijaya Air (SA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas , di sini bermula bulan ini.

Pengurus Besar Kanan MAS (Operasi Lapangan Terbang), Yusop Jaridi berkata, dengan pelantikan itu, pihaknya akan mengendalikan urusan pendaftaran dan ketibaan penumpang serta pengurusan bagasi dan kargo bagi pihak SA untuk penerbangan ke Medan.

"Pelantikan ini adalah satu penghargaan besar kepada MAS kerana diberi kepercayaan oleh SA yang merupakan pengendali penerbangan domestik ketiga terbesar di Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk tempoh dua tahun bagi pihak MAS sementara SA diwakili oleh Pengarah Komersialnya, Toto Nursatyo di sini.

Turut hadir Pengarah Allya Travel & Tours, Ahmad Fazil Hashim yang juga merupakan rakan strategik SA di Pulau Pinang dan Pengarah Urusan Kumpulan IBF International Network Sdn. Bhd., Ahmad Fazli Hashim.

Kerja-kerja pengurusan untuk SA di sini sebelum ini dikendalikan oleh anak syarikat DRB-Hicom, iaitu KL Airport Services Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Toto memberitahu, beliau percaya MAS mampu memberikan perkhidmatan pengurusan lapangan terbang berkualiti kepada penumpang SA.

Menurutnya, MAS cukup dikenali di peringkat antarabangsa menerusi perkhidmatan pengurusan bertaraf dunia, sekali gus diyakini dapat melonjakkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan SA di sini.

''Dengan perkembangan ini, SA yakin jumlah penumpang bagi penerbangan dari Pulau Pinang ke Medan dijangka meningkat sehingga 12,000 orang pada tahun lalu.

''Selain itu, penambahan dua penerbangan dari sini ke Medan yang dijangka bermula pada April ini berbanding hanya satu penerbangan sekarang turut menyumbang kepada peningkatan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Toto menjelaskan, SA juga merancang untuk membuka satu lagi laluan baru iaitu dari Johor Bahru ke Surabaya menjelang April ini selain laluan Kuala Lumpur-Surabaya yang bakal menyusul dua bulan kemudian.

Telekom sertai projek e-pembelajaran

PUTRAJAYA 9 Feb 2010 - Telekom Smart School Sdn. Bhd. (TSS) dan Zeal Hi Tech Sdn. Bhd. telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan penyedia penyelesaian e-pembelajaran Korea Selatan, Dunet Inc, bagi televisyen protokol Internet (IPTV).

MoU Dunet-TSS menumpukan kepada kandungan e-pembelajaran IPTV serta meliputi aktiviti seperti aliran perkongsian pasaran yang berkaitan kandungan pembelajaran dan perkongsian teknologi untuk pembangunan kandungan e-pembelajaran.

Sementara itu, usaha sama Dunet-Zeal memberi tumpuan terhadap penyelesaian dan platform IPTV dan meliputi bidang seperti usaha sama untuk penyelesaian IPTV serta bersama-sama meluaskan pasaran luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corp. (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, MSC Malaysia memperakui firma Korea itu berkeupayaan untuk memperkayakan inisiatif e-pembelajaran IPTV, terutama untuk program yang bermatlamatkan pembelajaran pasca menengah dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Pengalaman ini sangat bermakna untuk MDeC ketika kami meneraju Pasukan Petugas Pembangunan Kandungan yang membantu kerajaan menjana kandungan untuk inisiatif jalur lebar berkelajuan tinggi," katanya pada majlis pemeteraian itu di sini hari ini.

MoU itu adalah hasil daripada keputusan tidak langsung pemeteraian MoU pada 2008 antara MDeC dan Agensi Mempromosi Industri IT Kebangsaan Korea Selatan bagi program sekolah bestari.

MoU itu ditandatangani sempena Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat yang mendorong kepada pertukaran dan deliberasi antara konsortium Malaysia dan Korea Selatan, yang akhirnya menyumbang kepada kerangka kerja projek IPTV.

Badlisham berkata, usaha sama antara kedua-dua negara itu akan menjana perolehan RM10 juta dan mewujudkan kira-kira 2,000 pekerjaan.

Sementara itu, Pengurus Kanan MDeC, Jabatan Sekolah Bestari, Dr Norrizan Razali, berkata kedua-dua pihak perlu melaksanakan pelbagai aktiviti mulai Ogos.

Dr. Norrizan berkata, pemeteraian MoU hari ini akan akan menjurus kepada pewujudan standard e-pembelajaran IPTV dan prototaip.

"Kami akan mengumumkan standard terbabit semasa Pameran Pendidikan dan Inovasi pada Oktober," katanya. - Bernama

PKNS majukan Datum Jelatek RM1.2b

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
bisnes@utusan.com.my

SHAH ALAM 9 Feb 2010. - Kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal berubah wajah menjadi bandar kosmopolitan di bawah pelaksanaan projek mega Datum Jelatek yang bakal siap dua tahun lagi.

Projek bernilai RM1.2 bilion yang terletak bersebelahan stesen aliran transit ringan (LRT) Jelatek melibatkan kerjasama PKNS dengan anak syarikat milik penuhnya, Worldwide Holdings Bhd..

Datum Jelatek melibatkan pembinaan empat bangunan setinggi 45 tingkat yang menempatkan kawasan kediaman, bangunan pejabat, pusat membeli belah dan hotel.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKNS berkata, Datum Jelatek adalah projek pertama PKNS dalam perancangan Pembangunan Semula Taman Keramat iaitu menukar kawasan hartanah yang mundur menjadi lebih moden sesuai dengan perkembangan semasa.

''Projek ini bertujuan memperbaiki keadaan di Jalan Jelatek menjadi satu kawasan hartanah yang sesuai dengan tahap kemajuan di bandar raya Kuala Lumpur.

''Kawasan itu bukan sahaja akan tetap menempatkan semula penghuni asal dari flat tersebut tetapi juga para pembeli baru untuk mendiami apartmen mewah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran awal projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Abdul Khalid menjelaskan bagi merealisasikan hasrat itu, pertemuan dengan seramai 650 penghuni di empat blok flat yang akan dirobohkan diadakan beberapa kali dan 90 peratus daripada mereka bersetuju projek itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah pampasan kepada mereka terlibat hanya akan diumumkan semasa majlis memeterai perjanjian dengan pihak-pihak terlibat pada Mac ini.

Abdul Khalid berkata, setelah itu barulah projek Datum Jelatek bermula dan pembinaannya dijangka mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan mengikut fasa dan mungkin diikuti projek-projek lain dalam konteks yang sama bagi membangunkan semula hartanah milik PKNS.

Sementara itu, Othman dalam ucapannya percaya projek itu bakal memberi banyak kesan positif untuk keperluan sosial yang diperlukan oleh penduduk setempat.

Katanya, kawasan yang terletak antara sempadan Kuala Lumpur dan Selangor, Datum Jelatek bakal memberi impak baru sebagai pintu masuk berpuluh ribu pengguna untuk kedua-dua wilayah tersebut kerana selain jaringan jalan raya, kemudahan LRT dan lebuh raya yang tersedia di kawasan tersebut.

Othman berkata, projek itu juga akan memberi imej baik kepada kawasan Jelatek yang selama ini dianggap sebagai antara kawasan panas dengan kegiatan penagihan dadah serta jenayah lain di Lembah Klang.

Monday, February 8, 2010

Blackberry Storm Celcom jadi rebutan

Orang ramai beratur seawal 2.30 petang bagi mendapatkan BlackBerry Storm2 9520 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 8 Feb. - Celcom Axiata Bhd. (Celcom) menawarkan harga eksklusif Blackberry Storm2 9520 khusus untuk 150 para pelanggannya di restoran Chinoz, Suria KLCC di sini pada Jumaat lalu.

Setiap telefon bimbit tersebut ditawarkan pada harga RM888 berbanding harga asalnya RM1,988.

Celcom dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, kesemua 150 pelanggannya boleh memperoleh telefon bimbit tersebut dari pukul 4.30 petang hingga 10 malam.

Namun, jelas kenyataan itu, para pelanggan beratur seawal pukul 2.30 petang.

Keadaan serupa berlaku di pusat membeli belah Pavilion, di sini pada 15 Januari lepas sewaktu pelancaran telefon pintar baru BlackBerry Bold 9700 dan BlackBerry Storm2 9520.

Pada waktu itu, BlackBerry Bold ditawarkan harga diskaun iaitu RM988.

Celcom berterusan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran BlackBerry di Malaysia dan sentiasa memperkenalkan produk baru untuk perhubungan yang lebih baik.

Bagi memastikan yang terbaik untuk para pelanggan, Celcom telah memperkembangkan BlackBerry daripada pelanggan korporat kepada pasaran luas dengan tumpuan yang lebih menjurus kepada segmen belia.

Ketua Pemasaran Operasi Celcom, Chee Pok Jin berkata, pihaknya cuba untuk memperbetulkan kedudukan jenama BlackBerry untuk pasaran runcit meluas.

Pada masa ini, jelasnya, Celcom memegang 52 peratus penguasaan pasaran segmen BlackBerry di Malaysia dan menyediakan pelan fleksibel dengan kadar berpatutan dan kemudahan e-mell, pesanan segera dan komunikasi rangkaian sosial untuk memberi variasi kepada para pelanggan.

"Kami amat yakin bahawa pelan Celcom Exec BlackBerry akan terus berkembang. Malah, Celcom turut akan memperkenalkan BlackBerry Apps World iaitu aplikasi simpanan untuk para pelanggan memuat turun lebih 10,000 aplikasi dalam telefon pintar BlackBerry.

"Perkhidmatan itu akan ditawarkan kepada para pelanggan pada Jun tahun ini," ujarnya.

KFCH rancang buka 5 restoran Rasamas

Jamaludin Md. Ali ( kiri sekali ) bersama Pengurus Besar Ayamas Food Corporation, Rafiq Moosa ( kanan sekali ) menunjukkan Ayam Hainan Rasamas pada pelancaran Rasamas Ayam Hainan di Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 8 Feb 2010 - Franchisi Rasamas, KFC Holdings (Malaysia) Bhd. (KFCH), akan membuka lima restoran baharu tahun ini, kata Pengarah Urusannya Jamaluddin Md Ali.

Pembukaan restoran yang mengkhususkan sajian ayam itu dijangka menelan kos RM3 juta. Ketika ini KFC mempunyai 43 restoran Rasamas termasuk tiga di Brunei.

Kos bagi setiap restoran tersebut dijangkakan kira-kira RM600,000.

Jamaluddin juga tidak menolak kemungkinan pembukaan lebih daripada lima restoran baharu.

"Kami melihat peningkatan permintaan bagi restoran Rasamas. Justeru itu, sasaran awal kami sebanyak lima, mungkin berubah mengikut permintaan.

"Tahun lepas, kami membuka lapan restoran baharu. Jumlah pembukaan yang berkurangan pada tahun ini adalah disebabkan oleh pelan hala tuju 2010 kami iaitu untuk membina reputasi jenama Rasamas di dalam negara," katanya selepas pelancaran rasmi hidangan promosi Hainan Chicken khusus sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Mengenai perkembangan lain, Jamaluddin berkata, KFCH menjangka sumbangan Rasamas kepada syarikat induk itu meningkat 10 peratus tahun ini.

"Tahun lepas, Rasamas mencatatkan jualan RM22 juta yang mewakili lapan peratus jumlah perolehan KFCH.

"Kami tidak menjangkakan pertumbuhan besar kerana pada masa yang sama kami juga sedang menambahkan restoran KFC di seluruh negara tahun ini," katanya.

Buat masa ini, terdapat 476 restoran KFC di Malaysia dan bilangan ini dijangka meningkat sebanyak antara 38-40 restoran tahun ini.

KFCH mencatatkan pendapatan RM1.673 bilion bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2009. Ini merupakan peningkatan enam peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM135.3 juta, peningkatan 6.2 peratus daripada tempoh yang sama 2008. - Bernama