Thursday, February 25, 2010

'Disko Rojak' kian popular

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

AYUB Khan, 38, menyediakan rojak pasembor istimewa sambil menyebut perkataan 'rojak!...rojak!...rojak!...' mengikut irama muzik rancak atau disko di gerainya di tapak peniaga sementara Persiaran Gurney, Pulau Pinang.

--------------------------------------------------------------------------------

PULAU Pinang 25 Feb 2010 - Pulau Mutiara sememangnya terkenal sebagai syurga makanan baik kepada pelancong tempatan mahu pun dari luar negara.

Kepelbagaian jenis makanan yang ada mampu membuatkan seseorang itu mahu kembali lagi ke negeri ini.

Salah satu daripadanya yang sering menjadi pilihan pelancong adalah pasembur, iaitu pelbagai bahan makanan dan sayuran dihidangkan dengan kuah pekat.

Pasembur atau rojak yang sering menjadi tumpuan di sini boleh didapati di sekitar Padang Kota Lama, tapak penjaja sementara di Jelutong dan Persiaran Gurney.

Daripada bebola ikan, cucur udang, isi ketam dan udang hinggalah kepada aneka pilihan sayur-sayuran, adunan rojak ini yang telah dituang kuah membuatkan pengunjung tidak sabar menikmatinya.

Bagaimanapun, seorang pengusaha makanan di Persiaran Gurney melakukan inisiatif tambahan 'lain dari yang lain' apabila mengarahkan pekerjanya menghiburkan penonton dengan menari sambil melaungkan 'rojak! rojak!' mengikut irama disko.

Bagi mereka yang pernah ke gerai pasembur itu ia bukan perkara baru tetapi bagi pengunjung yang pertama kali pasti terpaku melihat gelagat pekerja kedai itu yang tanpa segan-silu bergelek dan menari-nari di hadapan ramai pelanggan.

Pada mulanya mesti ada yang menyangka terdapat persembahan hiburan sampingan di gerai itu, namun sebenarnya ia merupakan satu rutin harian yang dilakukan oleh seorang pekerja kedai pasembur 'Ayub Disko Rojak', Kalinder Mydin.

Anak kepada tauke kedai yang ditemui, Siti Nurhafizah Ayub Khan berkata, pertunjukan itu bertujuan menghiburkan pengunjung sambil menunggu makanan mereka disediakan.

Menurutnya, idea itu timbul setelah Kalinder menari sambil menuang kuah rojak milik seorang pelanggan dengan iringan lagu disko hits daripada Kumpulan Vengaboys berjudul 'Boom! Boom! Boom!' yang dipasang ayahnya pada satu hari.

''Sejurus mendengar lagu, Kalinder mula melaungkan 'rojak, rojak' mengikut iringan muzik dan gelagatnya itu membuatkan kebanyakan pelanggan tergamam dan akhirnya memberikan tepukan gemuruh kerana aksinya yang menghiburkan.

''Kejadian tidak disengajakan itu memberi idea kepada ayah dan sejak itu 'Ayub Disko Rojak' mula dipraktikkan ayah dan ia turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan yang kadang-kala turut sama menari," ujarnya.

Mengulas lanjut, Siti Nurhafizah berkata, paling membanggakan apabila media asing pernah membuat liputan kerana menyifatkan ia sebagai satu idea kreatif di samping hidangannya yang lazat.

Tambahnya, hidangan di situ bukan sahaja sedap tetapi dijual pada harga berpatutan mengikut saiz dan antara yang termurah di kalangan peniaga pasembur.

''Sebagai contoh, satu bebola ketam dijual pada harga 70 sen berbanding harga biasa RM1 dan begitu juga bahan makanan lain kerana yang paling penting bagi kami adalah memenuhi kepuasan pelanggan.

''Ayah saya juga pernah dijemput untuk mengadakan demonstrasi resipi pasembur istimewa kedainya di Korea Selatan, namun terpaksa ditolak disebabkan komitmen perniagaan.," jelasnya.

Selain di situ, ayahnya turut membuka cawangan di Padang Kota Lama dan Gelugor tetapi gerai di Persiaran Gurney ini yang paling banyak mendapat sambutan.

''Kami sekeluarga berterima kasih dan bersyukur kerana Kalinder bekerja dengan kami. Tanpanya, gerai kami mungkin tidak meriah seperti sekarang dan mendapat sambutan hangat pelanggan," ujarnya.

Sementara itu, Kalinder yang ditemui mengakui pertama kali dia menari sambil menyediakan juadah pasembur dilakukan secara spontan.

Tambahan pula, katanya, dia memang meminati irama disko sejak remaja lagi.

Dia yang berasal dari Bangalore, Pakistan turut menyuarakan rasa bangga kerana gelagatnya itu mendapat sambutan daripada pelanggan sehingga menjadi 'trademark' dan digelar 'Ayub Disko Rojak'.

''Saya tidak kisah dan tidak malu bergelek sepanjang hari sekiranya ia mampu menarik lebih ramai pelanggan kerana yang penting mereka mendapat kepuasan maksimum daripada layanan diberikan," katanya yang fasih bertutur bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment