Thursday, February 25, 2010

Ekuinas labur RM40 juta dalam firma kecantikan (25/2/10)

Oleh Shahrizan Salian

shahrizan@bharian.com.my

EKUITI Nasional Bhd (Ekuinas) membuat pelaburan sulungnya bernilai RM40 juta dalam syarikat penjagaan peribadi dan kecantikan utama tempatan, Alliance Cosmetic Group (ACG).

ACG yang ditubuhkan pada 1995 mempunyai portfolio rangkaian produk mantap merangkumi jenama seperti Silkygirl, Silky White dan Stage, selain hak pengedaran eksklusif jenama global seperti Revlon di Malaysia, Singapura dan Brunei serta Elancyl di Malaysia.

Ia adalah pengedar terbesar produk kecantikan untuk pasaran luas di negara terbabit dan juga peserta kedua terbesar dalam pasaran minyak wangi Malaysia.

Pelaburan Ekuinas dalam ACG dibuat menerusi syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkannya secara usaha sama dengan Navis Capital Partners (Navis), antara firma ekuiti persendirian serantau terbesar yang memberi tumpuan terhadap pengambilalihan berorientasikan pertumbuhan di Asia dengan pelaburan yang diuruskan bernilai AS$2.5 bilion.

Ekuinas dan Navis secara bersama akan mengawal SPV itu yang memiliki 80 peratus kepentingan dalam ACG.

Bagaimanapun, pelaburan Ekuinas bernilai RM40 juta itu mewakili kepentingan ekonomi 20 peratus dalam ACG bagi memastikan penggunaan maksimum modal sektor swasta sejajar gesaan kerajaan menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pihaknya gembira dengan pelaburan pertama pengurus dana ekuiti milik kerajaan itu menerusi ACG yang juga syarikat tempatan dengan rekod pertumbuhan pendapatan mantap.

Katanya, pendapatan ACG berkembang daripada RM51 juta pada 2005 kepada kira-kira RM115 juta tahun lalu.

“ACG memenuhi kriteria pelaburan Ekuinas dan kami percaya syarikat itu mempunyai potensi untuk terus berkembang dan muncul sebagai peserta serantau dalam industri,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Ekuinas, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata selain peluang pertumbuhan domestik menerusi peluasan barisan produk baru dan sedia ada, satu daripada tarikan utama untuk melabur dalam ACG adalah peluang untuk membantu syarikat berkenaan berkembang pada peringkat serantau menerusi pasaran Asean.

Katanya, ia juga menyediakan peluang menjadikan Silkygirl daripada jenama sebenar Malaysia menjadi jenama serantau sebenar yang menawarkan produk bermutu tinggi pada harga kompetitif disasar kepada belia.

No comments:

Post a Comment