Wednesday, February 24, 2010

KTMB tawar diskaun tiket sempena Matta Fair 2010 12-14 Mac

24/02/2010 6:24pm


KUALA LUMPUR 24 Feb. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menawarkan 25 peratus diskaun untuk pembelian tiket ke semua destinasi antara bandar bersempena dengan Matta Fair 2010 pada 12 hingga 14 Mac ini.

Pengurus Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, tiket-tiket itu boleh didapati di gerai pameran KTMB pada hari berkenaan dan sah diperlakukan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pembelian.

"Kepada pengunjung Matta Fair 2010 yang datang membeli tiket di gerai kami, kami akan memberi potongan tidak kira satu atau dua tiket,” katanya pada sidang media di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.

Antara promosi lain yang ditawarkan adalah diskaun tiket 25 peratus untuk kereta api antara bandar menghala ke stesen Sentral Kuala Lumpur dengan pembelian empat keping tiket bermula dari 11 Mac sehingga lima hari berikutnya.

"Diskaun ini akan diberikan jika pembeli membeli tiket secara berkumpulan dengan minimum empat orang di mana-mana stesen KTMB dengan menyatakan kunjungan mereka ke Matta Fair 2010,” katanya.

Matta Fair 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dijangka dihadiri 80,000 pengunjung dan hampir 900 gerai pameran, yang turut menyaksikan penyertaan negara-negara dari rantau Asia dan Amerika Tengah seperti Mexico. – Bernama

No comments:

Post a Comment